SITI Salwa masih belajar selok-belok industri beras. FOTO: Faiz Anuar
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


SUSUK tubuhnya mungkin kecil, tapi semangatnya begitu besar dalam memperjuangkan cita-cita dan impian. Menggalas tugas besar menerajui syarikat beras menuntut wanita muda ini kental dan kalis cabaran.

Bagaimanapun, Siti Salwa Abdul Ghani bersyukur pengalaman selama 17 tahun sebagai setiausaha dan pembantu peribadi kepada pengurusan tertinggi di syarikat korporat memberi kelebihan buat anak jati Terengganu ini.

Meskipun tugasan harian hanyalah sebagai setiausaha ketika itu, dia mula membuka mata terhadap cara ketuanya menerajui organisasi, unit dan jabatan dengan baik hingga dirinya terinspirasi untuk mengikut jejak langkah mereka.

Malah katanya, bekas majikannya juga turut terbuka dalam berkongsi pengalaman dan banyak membantu dirinya menjadi pemimpin yang baik.


SITI Salwa sentiasa berbincang dengan kakitangannya.

“Pengalaman bermula dari bawah mengajar saya menjadi cekal. Pembabitan dalam industri beras ini bermula selepas saya berhenti kerja sebagai setiausaha empat tahun lalu kerana terdapat komplikasi pada kehamilan anak ketiga.

“Walaupun berat rasanya membuat keputusan itu, saya tahu kerjaya tidak akan berhenti di situ. Selepas kelahiran anak ketiga, sudah tertulis rezeki dipertemukan dengan rakan kongsi di Inayu Global Sdn Bhd.

“Kebetulan pula, dia juga ayah kepada bekas ketua saya ketika bekerja di firma guaman dan orang lama dalam industri beras.

“Dari situ idea bekerjasama timbul kerana memikirkan hasil yang mampu dicapai dengan menggabung­kan kepakaran orang lama dan baharu. Perkongsian idea saya dan rakan kongsi yang berpengetahuan luas dalam industri manakala saya pula datang dengan semangat berko-bar-kobar untuk sama-sama memajukan syarikat,” katanya.

Ketika itu Siti Salwa berasakan mustahil buat golongan muda sepertinya berkecimpung dalam bidang itu, tapi gerak hatinya kuat mendesak untuk memanfaatkan peluang yang terbentang di depan mata untuk mengembangkan kerjaya.

Apabila dia mula memasuki syarikat itu dan belajar selok-belok perniagaan, timbul perasaan minat. Daripada hanya sebuah syarikat dengan modul perniagaan dagangan beras secara pukal, Siti Salwa mula berasakan pentingnya mewujudkan identiti korporat melalui penjenamaan produk.

Cubaan pertama Siti Salwa membuahkan hasil dengan dua jenama produk beras basmathi, Royal Mittas dan Royal Haryana mula diedarkan di sekitar Pahang, Lembah Klang dan Melaka tahun lalu dan baru-baru ini syarikatnya membawa jenama Sri Cengkih bagi produk beras putih.

Mengimbau perjalanan kerjaya wanita berusia 36 tahun ini, agak menarik kerana bidang kesetiausahaan yang diceburinya 17 tahun lalu bermula secara tidak sengaja, malah agak jauh menyimpang daripada bidang pengajian yang diambil.

Meskipun memiliki diploma dalam bidang pengurusan dan teknologi maklumat, Siti Salwa memulakan kerjaya sebagai operator telefon di syarikat hiasan dalaman di ibu kota pada 2003 dengan pendapatan hanya RM800 sebulan.

Tuah ayam nampak di kaki namun tuah manusia tiada siapa yang tahu. Sudah tertulis rezekinya, wanita ini ditawarkan jawatan pembantu peribadi kepada pengurusan tertinggi tempatnya bekerja.

“Kebetulan ada kekosongan jawatan ketika itu, ketua menawarkan jawatan itu walaupun saya langsung tiada pengalaman. Saya amat berterima kasih kepada majikan pertama itu kerana menerusinya juga membuka laluan perjalanan saya ke tahap ini.

“Bayangkan betapa ‘kecut’ perut saya ketika itu, dengan tiada pengalaman dan latar belakang pendidikan sebagai setiausaha, namun terlalu banyak perkara yang saya belajar.

“Dari situ jugalah saya membawa pengalaman sebagai setiausaha untuk bekerja dari satu syarikat ke syarikat lain dan pada masa sama terus memperbaiki diri.


SITI Salwa sering turun padang memastikan kelancaran operasi syarikat.

“Saya tidak pernah menyesal mencuba bidang itu kerana dapat bergaul rapat dengan ramai tokoh dan nama hebat di syarikat mega yang saya pernah bertugas,” katanya.

Katanya, dia bukan saja bekerja dengan mereka tapi turut mengambil nilai positif dan aura individu terbabit untuk dirinya menjadi pemimpin hebat seperti mereka.

Memang tidak dinafikan tugasnya kini menuntut lebih banyak masa dan pengorbanan, apatah lagi status diri sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata berusia empat hingga 12 tahun. Bagaimanapun, dia menganggapnya satu pencapaian besar buat dirinya dan bukan bebanan.

Januari tahun lalu, Siti Salwa memulakan kerjaya baharunya sebagai pengerusi syarikat itu dan dia bersyukur kerana suami memberi sokongan padu dan tidak berbelah-bagi kepada dirinya.

Menyifatkan dirinya masih mentah dan bertatih dalam bidang perniagaan, dia yakin dengan sifat ingin belajar dan sentiasa komited menjalankan tugas yang diamanahkan, tiada yang tidak mampu dicapainya.

“Bagi saya, dalam menjalankan perniagaan apa yang penting adalah nilai yang ingin dibawa. Ia bukan apa yang ingin dijual sebaliknya etika bekerja, hubungan dengan kakitangan dan pasukan dan juga bagaimana saya membawa diri ketika bertemu pelanggan.

“Secara tidak langsung, keseluruhan nilai inilah yang akan memacu atau menggerakkan orang untuk menyukai produk yang ditawarkan. Jujurnya, saya masih lagi belajar tentang beras dan untuk pengetahuan beras basmathi ini ada beribu-ribu varian di seluruh dunia. Jadi, ada banyak lagi ilmu yang saya perlu belajar,” katanya.

Katanya, kecekalan dan kekuatan dirinya datang daripada pengalaman hidup. Seawal usia 11 tahun lagi, wanita ini sudah diduga dengan kematian bapa tersayang akibat kanser pankreas, 25 tahun lalu.

Dia melihat ibunya bersendirian membesarkan mereka sembilan beradik. Sedikit sebanyak semangat dan kekuatan wanita itu mengalir dalam dirinya hingga kini.

“Ketika ayah meninggal dunia, ibu baru bersara sebagai guru dan saya tahu kepayahannya dalam membesarkan kami. Tambahan pula dua kakak saya ketika itu menuntut di universiti dan seorang abang pula melanjutkan pengajian di luar negara.

“Sebagai anak bongsu, sayalah yang menemani ibu ke sana sini menaiki bas kerana ibu tidak boleh memandu. Saya pula rapat dengan ibu dan sedikit sebanyak menjadikan saya remaja yang kuat dan berdikari.

“Alhamdulillah, semua adik-beradik saya berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing hasil didikan dan pengorbanan ibu. Kini tiba masanya kami pula membalas jasa ibu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 6:00 AM