NURUL Atiqah sertai lebih 50 program amal
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

BERTUBUH kecil molek namun memiliki semangat luar biasa dalam memastikan nikmat kehidupan dapat dikongsi bersama insan lain yang memerlukan.

Mungkin daripada luarannya gadis muda berhati murni ini kelihatan sama seperti individu lain. Hakikatnya dia mempunyai sesuatu yang layak dikagumi dan dijadikan inspirasi terutama kepada generasi muda masa kini.

Memiliki wajah dan senyuman manis, pemilik nama Nurul Atiqah Mohd Hiffni,29, gembira dengan kehidupannya sebagai sukarelawan khususnya dalam membawa kebahagiaan sesama manusia.

Memulakan bicara, Nurul Atiqah berkata, dia mula terbabit dalam aktiviti sukarelawan sejak 2015 apabila menjadi tenaga pengajar di bawah satu projek khas di Shah Alam, Selangor.

“Ketika itu saya tergerak hati untuk bersama-sama membantu kanak-kanak dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan. Jauh di sudut hati ini, saya tanam azam untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat menimba ilmu dengan sebaik mungkin.

JIWANYA pada dunia sukarelawan.

“Program itu menjadi detik permulaan saya menjejakkan kaki ke dunia ini, dunia yang penuh keseronokan, keikhlasan dan perkongsian dengan individu yang tidak dikenali. Dari situ, saya belajar erti sebenar kehidupan dan sangat menghargainya. Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata betapa rasa bertuahnya diri terpilih untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Nurul Atiqah berkata, tidak terhenti di situ, dia kemudian semakin rancak mengikuti pelbagai program amal dan sukarelawan seiring peningkatan usia.

“Jika ditanya mengapa saya memilih bidang ini sedangkan ia memerlukan banyak pengorbanan terutama dari segi masa dan tenaga, bagi saya nikmat kehidupan sebenar adalah dengan cara memberi juga berkongsi.

“Kita hidup dalam bermasyarakat, bukannya hidup seorang diri. Saya sentiasa berpegang dengan prinsip setiap apa yang kita miliki terutama berkaitan rezeki bukan semuanya adalah hak kita kerana ada sebahagiannya milik orang lain,” ujarnya

Menurutnya, walaupun perlu menyusun jadual hariannya sebaik mungkin bagi memastikan jadual di tempat kerja tidak terganggu, semua itu tidak menjadi halangan untuknya.

ABDULLAH Salleh (berdiri tiga dari kiri) dan Mohd Zahid kini bergelar usahawan berjaya.

“Jadual harian saya memang agak sibuk, malah pada hujung minggu ada saja aktiviti. Memandangkan kebanyakan program amal diadakan pada hujung minggu yang memerlukan mengambil cuti, saya dapat menyusunnya. Syukur semuanya dipermudahkan dan apa yang penting saya perlu bijak membahagikan masa juga menyelesaikan tugasan harian supaya ia tidak tertangguh.

“Jika mengajar tuisyen amal pula, saya akan terus pergi ke kelas sebaik saja habis waktu bekerja setiap hari kerana ia diadakan pada waktu malam. Penat tentu saja terasa namun semua itu terbalas sebaik melihat kesungguhan dan kegembiraan semua individu yang terbabit terutama kanak-kanak yang dahagakan ilmu,” katanya.

Katanya, atas sebab itu juga, dia perlu bijak dalam memastikan rutin hidupnya berjalan lancar terutama membabitkan soal jadual kelas, aktiviti sukarelawan, keluarga, rakan dan waktu rehat.

“Ada yang bertanya mengapa saya sanggup, jawapannya mudah kerana akan merasai satu kepuasan yang tidak dapat dijual beli apabila melihat insan lain tersenyum bahagia. Itulah antara kebahagiaan saya yang tidak boleh dinilai dengan duit.

“Ini adalah jiwa saya dan atas sebab itu juga saya bertekad untuk tidak akan berhenti dalam membantu bagi membawakan kegembiraan kepada insan memerlukan,” katanya.

TERUS BERAMAL

Nurul Atiqah berkata, demi merancang lebih banyak aktiviti sukarelawan dan program amal, dia bersama beberapa kenalannya menubuhkan sebuah kumpulan sukarelawan khas dalam membantu insan memerlukan sejak tahun lalu.

“Saya semakin bersemangat dalam dunia sukarelawan ini. Bagi saya walaupun kadangkala berdepan pelbagai dugaan apabila menganjurkan program terutama dari segi dana, semua itu tidak menjadi halangan.

KEBAJIKAN masyarakat setempat sentiasa menjadi fokus Mohd Zahid dan Abdullah Salleh.

“Saya yakin niat yang baik akan dipermudahkan. Pelbagai program dirancang bermula daripada program amal pendakian Bukit Broga bersama kanak-kanak kurang upaya. Saya juga amat berbesar hati apabila turut terpilih menjadi antara sukarelawan yang ditempatkan di luar negara tahun lalu dalam membantu kanak-kanak memerlukan di sana,” ujarnya.

Menurutnya, dia juga amat bersyukur kerana keluarga terutama ibu sangat memberi sokongan untuk dia terus bergiat aktif dalam bidang itu.

“Setiap kali saya menyertai apa juga program dan misi bantuan terutamanya di luar negara, tentu saja saya perlu meminta keizinan mama. Syukur, dia sangat memberi galakan dan membenarkan saya terus aktif dalam bidang ini.

“Bagi saya dalam apa juga perkara atau bidang diceburi, restu dan doa ibu adalah perkara paling penting bagi memastikan semuanya dapat berjalan lancar dan dipermudahkan Allah,” ujarnya.

Nurul Atiqah berkata, kini selepas lebih tiga tahun berkecimpung dalam bidang itu, dia sudah menyertai lebih 50 program amal di pelbagai lokasi termasuk di luar negara.

“Seronok, puas dan sebak. Semuanya bercampur baur apabila terbabit dalam aktiviti seperti ini. Antara yang tidak dapat saya lupakan sepanjang terbabit dalam aktiviti ini adalah melihat kesungguhan adik-adik kurang upaya yang berjaya menawan puncak bukit.

“Pada awalnya kami menjangkakan tidak ramai yang akan terhenti separuh jalan namun ternyata tanggapan itu meleset kerana semua peserta berjaya menawan puncak walaupun ada yang mengalami masalah kaki. Di situ kami dapat melihat kesungguhan setiap peserta untuk berjaya,” katanya.

Menurut Nurul Atiqah, kini selepas terbabit dalam bidang ini, terlalu banyak yang dapat dipelajarinya terutama bersyukur dengan setiap nikmat dianugerahkan.

“Saya juga mengharapkan semakin ramai individu terutamanya generasi muda turun padang untuk sama-sama berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan insan kurang bernasib baik. Ibu bapa yang mempunyai anak kecil juga disaran supaya memupuk minat serta sikap membantu dan berkongsi sejak kecil.

“Bidang ini perlukan kekuatan jiwa. Jiwa yang sanggup berkongsi seikhlas hati tanpa mengharapkan sanjungan, balasan atau ganjaran. Bagi saya kehidupan kita akan lebih bermakna apabila kita berkongsi kegembiraan dengan insan lain,” katanya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:00 AM