ZAID yakin orang kita boleh amalkan perkara baik daripada masyarakat lain di samping kekalkan tradisi murni.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


MISKIN bukan alasan untuk gagal dalam hidup. Cuba lihat berapa ramai tokoh yang berjaya mengukir nama di pentas antarabangsa. Sebahagian mereka pasti ada yang pernah melalui saat sukar dalam hidup.

Ada yang ditakdirkan hidup miskin ketika kecil, tidak kurang juga melalui zaman sempit selepas berkeluarga dan memiliki anak. Namun, tidak kira sesukar mana pun kehidupan, usaha gigih dan kesungguhan pasti membawa khabar gembira di akhirnya.

Sempena sambutan Hari Bapa, penulis mempelawa Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berkongsi kisah kehidupannya untuk dijadikan inspirasi mereka yang turut bergelar ayah.

Kata anak kelima daripada enam beradik ini, 50 tahun dulu, dia dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin di Kelantan. Berikutan tidak mampu, ibu bapanya terpaksa menyerahkannya kepada kakak sulung untuk dibesarkan.

“Ketika itu saya baharu berusia lima tahun. Biarpun tinggal dengan kakak, saya tetap tabah mengharungi liku hidup. Saya menyimpan azam setinggi boleh untuk mengubah nasib hidup dengan cara sendiri.


KETIKA sesi penggambaran rancangan Smart Parents.

“Berkat usaha tanpa henti, saya berjaya mengungguli bahagian akademik dengan memperoleh nombor satu pada hampir setiap peperiksaan penggal sekolah rendah.

“Saya berusaha mengasah bakat kepemimpinan dengan mewakili sekolah dalam pertandingan kuiz, olahraga, bola sepak dan hoki. Namun demikian, kejayaan paling besar buat diri saya apabila berjaya menjadi murid pertama dan satu-satunya yang mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

“Siri kejayaan besar ini sekali lagi berulang apabila saya dianugerahkan sebagai Pengakap Diraja, taraf tertinggi untuk seorang pengakap di Malaysia,” katanya.

Bercerita mengenai permulaannya sebagai penceramah motivasi, Zaid berkata, dia banyak mendapat pendedahan awal ketika bekerja dengan syarikat antarabangsa, Procter & Gamble (M) Sdn Bhd (P&G). Antara tugasnya ketika itu adalah menjadi ‘jurulatih kejayaan’ kepada pekerja baharu.

“Saya gembira dan teruja setiap kali dapat membantu mereka berdepan tekanan kerja secara positif. Saya puas hati melihat mereka tidak mudah berputus asa dalam mengejar kerjaya.

“Dari situ saya mula berfikir panjang. Sekiranya melakukan sesuatu dengan betul, saya boleh mempengaruhi orang lain secara positif untuk mereka mencapai apa saja yang diimpikan. Saya mula sedar anugerah Allah SWT yang satu ini. Dia berikan saya kesabaran yang tinggi dan kebolehan untuk berkomunikasi sehingga menyentuh hati orang lain.

“Ternyata kesukaran itu sebenarnya bagus untuk membantu meningkatkan keupayaan diri kita. Jika hidup sentiasa senang, kita akan terperangkap dalam zon selesa, sementara orang lain yang diuji berupaya maju ke hadapan,” katanya.

Menilai kembali persekitaran di sekeliling, Zaid nekad menyusun objektif. Dia mahu mencabar rakyat Malaysia supaya berhijrah dari pemikiran ‘kenapa saya?’ kepada ‘kenapa tidak!.

“Saya percaya, setiap daripada kita boleh mencabar diri sendiri untuk mencapai impian yang sebelum ini dianggap mustahil. Kalau boleh, saya mahu melihat lebih ramai rakyat Malaysia menjadi antara yang terbaik di dunia, dalam bidang masing-masing. Ia bukan mustahil namun memerlukan strategi dan sikap yang betul,” katanya.

Sebagai individu yang komited mengangkat kepentingan ilmu motivasi dan keibubapaan, Zaid sentiasa berasakan kedua-dua cabang itu mampu meningkatkan kualiti diri individu mahupun institusi keluarga.

“Saya bertuah kerana memiliki keluarga dan kerjaya yang saling berkait rapat. Secara peribadi, saya berpendapat tiada makna jika kita hanya berjaya dalam satu bidang saja sedangkan untuk berjaya kita perlu mengubah minda dari bekerja kepada memimpin.

“Kita semua adalah pemimpin, tak kira jawatan atau kerja. Ibu bapa adalah pemimpin di rumah. Kita perlu memimpin melalui teladan. Perbaiki diri dahulu dan orang lain akan terpengaruh dengan kebaikan yang kita tonjolkan.

“Sejak dulu, saya memilih cabang kerjaya ini atas dasar mahu melaksanakan fardu kifayah. Saya mahu mencetuskan pemikiran baharu untuk keibubapaan zaman serba mencabar ini. Saya pasti masyarakat kita boleh mengamalkan apa yang baik daripada masyarakat lain di samping mengekalkan tradisi yang bagus,” katanya.

Selain berkongsi ilmu Zaid berkata, dia selalu menganggap dirinya sebagai usahawan kerana perlu membawa keuntungan kepada syarikat dan menjaga kebajikan pekerja.

“Bagaimanpun, cabang kerjaya ini tidak pernah mudah. Banyak ujian dan cabaran sukar yang terpaksa dilalui sepanjang bergelar pakar motivasi ibu bapa dan remaja. Antaranya, sikap ego ibu bapa yang tidak nampak kesilapan sendiri.

“Ada juga ibu bapa yang bersikap ‘diktator’, memaksa anak melakukan perkara yang mereka tidak ingini seperti memilih kursus mahupun peluang kerjaya,” katanya.

BAHAGI MASA

Tidak dapat tidak, kerjaya kini pasti menuntut Zaid untuk menghabiskan lebih banyak masa di luar berbanding bersama anak atau keluarga. Sebagai bapa dan pemimpin keluarga, dia mengakui perlu bijak membuat keputusan.

“Saya akan pastikan anak tahu jadual kerja saya. Biasanya, saya juga akan meminta izin mereka sebelum mengambil tugas yang mungkin banyak memerlukan masa terutama di hujung minggu. Pernah mereka tidak bersetuju, jadi saya menolak tugasan berkenaan.


BERIADAH bersama isteri dan anak.

“Saya juga banyak membabitkan anak dalam persediaan program. Saya ajak mereka mencetak atau menyusun barang dan beri sedikit upah sebagai ganjaran. Ini sedikit sebanyak memberi peluang untuk saya rapat dengan anak.

“Setiap kali ada masa terluang, saya akan habiskan bersama. Kalau saya ada di rumah, kami akan makan dan solat bersama. Perkara sebegini, banyak membantu merapatkan hubungan,” katanya.

Memandangkan tugas sebagai bapa banyak membantu dirinya memahami isu, Zaid cukup mengambil berat terhadap respons anak untuk dijadikan pengalaman.

“Alhamdulillah, saya dapati anak juga gembira dengan cara saya. Mereka banyak memberi maklum balas mengenai perasaan sebagai anak yang mungkin tidak akan saya ketahui jika tidak rapat dengan mereka.

“Saya harap perkongsian ilmu keibubapaan setakat ini boleh membantu lebih ramai orang. Kalau boleh, biarlah amalan baik yang saya kongsi menjadi ikutan dan kekal menjadi bekalan selepas tiada,” katanya.

Jelas Zaid, sukar untuk dirinya menggambarkan perasaan apabila dapat membantu mengubah kehidupan seseorang kepada yang lebih baik menerusi ceramah, nasihat mahupun panduan yang diberi.

“Saya bersyukur dikurniakan isteri yang tidak jemu memberi dorongan. Dia saya anggap sebagai kawan terbaik dan rakan kongsi perniagaan, bahkan kehidupan saya.

“Sepanjang di sisi, dia sangat memahami cabaran yang saya hadapi dan sentiasa membantu dalam membuat keputusan yang tepat. Selain isteri, ibu juga sentiasa menjadi penyokong nombor satu. Dialah yang akan berada di depan televisyen setiap kali saya muncul dalam rancangan tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:30 AM