BERSALAMAN dengan orang yang lebih tua. GAMBAR hiasan
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SETIAP kali tibanya Syawal, kisah mengenai anak yang tidak beradab ketika berziarah muncul semula. Tahun ini ada individu menularkan cerita mengenai kucing peliharaan mati akibat dicekik anak tetamu, juga kisah ‘tragis’ cermin kereta pecah dibaling batu anak-anak yang leka bermain di luar rumah.

Itu belum termasuk sofa yang kotor terkena tumpahan makanan, pinggan mangkuk pecah dilanggar anak-anak yang berlari dan masuk bilik tidur tanpa kebenaran sambil menyepahkan barang kepunyaan tuan rumah.

Bagi jurulatih Lunaworks.co dan penulis ruangan keibubapaan Suraya Ali, apabila memperkatakan mengenai adab sebenarnya perilaku ini boleh dibentuk seawal usia anak dua tahun.

Ia bukan satu proses singkat sebaliknya berterusan dan selari mengikut perkembangan kanak-kanak. Apabila umur anak meningkat empat tahun kebiasaannya mereka sudah boleh menerima dan memahami arahan dengan mudah.

“Di sini pentingnya komunikasi dengan sering memberi penjelasan mengenai sesuatu perkara supaya mereka memahaminya,” katanya.

Terdapat beberapa panduan yang boleh diikuti ibu bapa sebelum pergi menziarahi saudara-mara dan sahabat handai. Antaranya memberi salam, bersalaman dengan tuan rumah seterusnya menikmati juadah yang dihidangkan dengan sopan.


BAWA permainan, buku atau pensel warna bagi mengelak anak bosan di rumah orang.

Bagi anak yang berusia enam hingga dua belas tahun, mereka sudah boleh memahami dan memproses arahan dengan baik berbeza bagi anak-anak di bawah usia lima tahun kerana perlu diberi peringatan dari semasa ke semasa. Antara perkara asas yang perlu diberikan perhatian adalah:

1. Memastikan anak-anak sudah ke tandas sebelum mengunjungi rumah saudara-mara dan bertanya keperluan mereka untuk tandas sebelum ke rumah seterusnya.

2. Pastikan anak-anak memakai pakaian yang tidak terlalu ketat, penuh manik, berlabuci atau panas bagi memudahkan pergerakan mereka.

3. Aktiviti yang boleh dilakukan anak-anak jika bosan adalah dengan ‘bermain’ buku. Minta anak bawa buku cerita kesukaan mereka.

“Saya sendiri akan meminta anak membawa buku sama ada buku melukis atau membaca agar mereka boleh melakukan aktiviti pembacaan bagi mengelak rasa bosan.

“Malah, saya turut membawa buku nota kosong yang dikoyakkan muka suratnya bersama 12 pen pelbagai warna. Tiga untuk anak sendiri dan bakinya untuk anak-anak yang mungkin ada bersama.

“Jadi mereka dapat mengisi masa lapang dengan menulis atau melukis manakala ibu bapa boleh berhari raya dengan tenang,” katanya.

Bagaimanapun, semuanya bermula dengan niat. Justeru ibu bapa boleh memberitahu anak-anak tujuan menziarahi keluarga antaranya merapatkan hubungan silaturahim di antara satu sama lain.

“Beritahu anak-anak tujuan mengunjungi rumah nenek dan saudara-mara adalah mengharapkan reda Allah. Ulangi ayat mengenai kegembiraan orang tua sekiranya anak-anak pulang melawat mereka,” katanya.

ADAB BERZIARAH

Ada banyak adab yang boleh kita pelajari dan amalkan mengikut kesesuaian. Antaranya adalah:

1. Menetapkan masa menziarah

Tetapkan masa dalam anggaran 30 minit sehingga satu jam sahaja untuk sebuah rumah. Tunjukkan masa sebelum turun kenderaan kepada anak-anak. Jika ibu bapa terlajak berbual lebih lama daripada masa yang ditetapkan ajar anak berbisik memberitahu berbanding meragam mahu pulang.

“Masa yang dijanjikan mesti ditepati. Minta maaf kepada anak-anak sekiranya kita terlajak berziarah lebih daripada yang dipersetujui dan minta tambahan 30 minit. Tuan rumah juga sebenarnya gelisah jika kita berziarah terlalu lama,” kata Suraya.

2. Tunjuk penghargaan

Usah kedekut untuk memuji anak. Sebagai tanda penghargaan, ketika di dalam kereta, puji perbuatan baik mereka. Contohnya makan kuih yang berserbuk sambil menadah tangannya dan kemudian membuangnya di sinki atau menghantar pinggan yang sudah digunakan ke dapur.

Aktifkan lensa perhatian kepada perbuatan baik anak di rumah tetamu. Puji dan sebut perbuatan baik itu supaya ia menjadi tabiat iaitu berlumba-lumba melakukan perangai yang baik.

3. Beri peringatan dengan bahasa jelas

Tidak semua ibu bapa bernasib baik mempunyai anak yang berkelakuan sopan di rumah orang. Ini kerana perangai si kecil sememangnya di luar jangkaan. Bagi anak-anak yang melakukan kesalahan kebiasaannya kerana mereka tidak tahu ia adalah salah.

Sebagai contoh terus membuka televisyen di rumah keluarga yang diziarahi. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menegur secara terus kesalahan mereka. Jika ditegur kemudian, anak pun sudah terlupa kesalahannya.

“Sebaiknya terus beritahu “Adik, jangan buka televisyen di rumah orang ya. Letak semula alat kawalan TV di tempatnya.

“Begitu juga apabila berada berdua sama ada di sofa mahupun dalam kereta, ingatkan lagi sekali dengan berkata ‘Lain kali adik jangan buka TV di rumah orang. Biar tuan rumah yang buka. Kita tetamu, tidak boleh berbuat demikian’. Perkara ini perlu diulang-ulang,” katanya.

Bagi anak-anak kecil seawal usia tiga tahun biasanya mereka akan mengangguk-angguk faham manakala bagi anak yang lebih besar mereka akan menjawab “Okay, mama dah beritahu tadi. Kami dah faham.”

Sebenarnya anak-anak keliru jika ibu bapa menggunakan bahasa beralas seperti “Tengok perangai dia, sampai rumah orang terus pegang alat kawalan TV. ” Anak-anak belum dapat menilai ayat ibu bapa apakah ia ayat marah, gembira atau tidak kisah.

Usah ditambah “Ha orang tegur dia buat tak tahu sahaja!” Akhirnya nanti kita suami isteri yang berbalah di rumah saudara dan hari raya pun menjadi tidak harmoni.

4. Ajak anak makan bersama

Bagi anak-anak yang kerap berlari di dalam rumah ketika orang tua mahu berbual, hentikan perbuatan itu dengan mengajak mereka duduk dan menikmati hidangan. Beritahu mereka tindakan berlari menyebabkan orang tua tidak selesa dan mereka mungkin terlanggar saudara-mara lain.

Berikan alternatif yang mereka boleh berlari petang nanti ketika di taman permainan. Anak-anak akan mendengar kata dan tidak sabar untuk menumpahkan seluruh tenaga yang ada ketika di taman nanti.

Ibu bapa yang mempunyai anak aktif perlu menumpukan perhatian terhadap setiap perilaku anak. Ini disebabkan anak-anak kecil belum mempunyai koordinasi tangan yang sempurna jadi mereka memerlukan banyak latihan dan perhatian.

5. Jaga barangan tuan rumah

Berikan lebih perhatian apabila anak-anak menggunakannya peralatan makan seperti gelas, pinggan dan mangkuk kaca. Jangan benarkan anak mengangkat bekas kuih kaca dan membawanya ke sana sini. Ajar mereka makan di ruang yang disediakan sahaja.

Namun sekiranya berlaku perkara tidak diingini seperti tertumpah minuman di sofa atau gelas jatuh dan pecah, sebagai ibu bapa anda haruslah bertanggungjawab dan bangun membersihkannya.

Ambil penyapu dan bersihkannya walaupun tuan rumah menghalang anda melakukannya. Selesai mengemas minta maaf sekali lagi bersama anak-anak. Jangan sesekali berkata ‘biasalah budak-budak bukan tahu apa’.

“Anak-anak akan mempelajari perbuatan dan kata-kata ibu bapa. Tunjukkan kekesalan dan pohon kemaafan kepada mereka. Beritahu anak-anak ‘kasihan pada mak cik ni, ini mungkin pinggan yang paling disayangi. Apa rasanya sekiranya barang kesayangan kita dirosakkan,” katanya.

Ibu bapa juga boleh memberikan sedikit ‘duit raya’ dalam jumlah yang besar (jika ada) untuk membantunya menggantikan peralatan yang dipecahkan anak-anak. Mungkin tidak cukup untuk menggantikan keseluruhannya namun ia sebagai tanda ihsan sesama manusia.

#ELAK MEMUKUL

Ada ibu bapa cepat naik tangan sekiranya anak-anak melakukan kesalahan. Sebenarnya perbuatan fizikal seperti memukul, mencubit atau menampar kebiasaannya akan memberikan kesakitan emosi yang lebih kepada anak-anak berbanding kesakitan fizikal. Dibimbangi kesakitan emosi ini akan disalurkan kepada kepada ahli keluarga iaitu isteri dan anak-anaknya suatu hari nanti.

Jelas Suraya, anak-anak sudah tahu erti malu. Sebaiknya tegur dengan baik dengan berkata “Apabila adik buat begitu (perbuatan nakal), ia membuatkan mama sedih. Mama mahu jadi mama yang lebih baik dan ajar adik kelakuan baik.”

Sekiranya teguran dan peringatan berkali-kali tetap tidak berjaya, ibu bapa boleh mengasingkan anak-anak daripada kawan-kawan atau adik-beradik-nya yang bermain selama 15 minit. Ia suatu masa yang lama untuk bersendiri dan menginsafi perbuatan nakal mereka.

Bagi ibu bapa muda yang ditegur individu lebih berusia (atau malah lebih muda) mengenai adab anak-anak, terimalah dan berdoa. Terima teguran dengan penuh kasih sayang dan berdoa supaya hati kita dan anak-anak dilembutkan.

“Mungkin bukan semua teguran sesuai namun pastinya kata-kata itu disulami rasa tanggungjawab dan mengambil berat. Usah jadikan media sosial tempat melepas marah dan geram kerana kebencian itu berjangkit sama seperti kasih sayang. Sebarkan perkara yang membawa kebaikan sahaja,” katanya.

Tambah Suraya, adalah menjadi tanggung jawab semua pihak untuk mendidik anak-anak supaya berakhlak dan beradab mulia.

“Semua ini boleh diperoleh seandainya ibu bapa peka dan mempunyai ilmu keibubapaan dalam zaman yang serba mencabar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 4:30 AM