COMEL dengan jubah eksklusif dan menawan hati.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


PEMAKAIAN jubah atau fe­syen Muslimah yang me­ngikut syariat tidak terhad buat wanita dewasa saja, malah semakin diminati kanak-kanak perempuan.

Justeru, butik Little Fanna mengambil peluang itu untuk terus mengembang­kan penerokaan dalam industri fesyen kanak-kanak yang jarang diterokai terutama fesyen Muslimah.

Pengasasnya, Hasbullah Hamizan berkata, jika ramai memilih untuk fokus terhadap fesyen wanita sebagai sumber perniagaan, dia dan isterinya merasakan jubah untuk kanak-kanak perempuan masih kurang menonjol.

“Tercetusnya idea penubuhan butik dalam talian kanak-kanak Muslimah ini apabila saya sering menemani isteri membeli pakaian di butik dalam talian yang terkenal. Dari situ saya terfikir untuk menghasilkan jubah khas untuk kanak-kanak.


PILIHAN sedondon untuk ibu dan anak.

“Kami membuat kajian mengenai rekaan, permintaan pelanggan dan material kain di samping melawat butik sedia ada sebagai sumber inspirasi. Berbekalkan ilmu pemasaran dalam talian yang saya peroleh sebelum ini, kami memulakan bisnes ini dengan membuat kedai maya di Facebook,” katanya.

Koleksi pakaian butik itu dipastikan supaya patuh syariah, berkualiti tinggi, eksklusif, sesuai dan selesa dipakai kanak-kanak dengan harga berpatutan.

Di samping kanak-kanak boleh bebas bergaya, Hasbi ingin pelanggan cilik mereka berasa gembira dan cantik apabila menutup aurat memakai jubah yang dihasilkan, sekali gus mendidik kanak-kanak seawal usia untuk membiasakan diri dengan pakaian yang sopan dan menutup aurat.

Jubah kanak-kanak jenama itu juga direka agar sesuai dipakai untuk apa jua majlis bertemakan kasual, majlis perkahwinan yang formal mahupun makan malam istimewa.


FABRIK berkualiti untuk keselesaan si manja.

“Kami mempunyai variasi rekaan daripada ringkas dan menarik sehinggalah elegan dan anggun untuk digayakan kanak-kanak pada bila-bila masa.

“Oleh kerana tumpuan rekaan kami adalah kanak-kanak, warna ceria, lembut dan comel seperti warna pastel dipilih sebagai tarikan untuk mereka. Koleksi terbaru, jubah Naura misalnya digabungkan dengan kardigan manakala perincian seperti ropol pada kaki jubah dan dihias batu kristal serta bunga 3D,” katanya.

Dari segi pilihan material, antara yang menjadi kegemaran mereka adalah como crepe yang berkualiti tinggi untuk menghasilkan jubah selesa dan cantik terletak pada badan kanak-kanak ketika digayakan di samping bagi menampakkan elemen kemewahan berbanding material lain.

Mereka turut memperkenalkan set sedondon untuk ibu dan anak, misalnya koleksi Malaika dengan rekaan minimalis dan tidak sarat tapi tampak elegan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:30 AM