POKOK dan sayuran yang dijaga dengan baik oleh Norasmah.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

BERMULA sekadar hobi mengisi masa lapang, Norasmah Md Rani tidak pernah menyangka rumahnya kini bukan saja sering menjadi destinasi kunjungan jiran sekampung, malah orang luar yang mahu melihat hasil kebun dapur yang diusahakan sambil membeli sayuran dan pokok ditanamnya.

Ruang luas halaman rumahnya di Kampung Paya Besar, Kuala Ketil, Kedah itu dimanfaatkan dengan pelbagai tanaman dan hasil berbudi pada tanah menjadi pendapatan sampingan buat wanita berusia 37 tahun ini.

Menurut suri rumah itu, permintaan pelanggan sentiasa ada untuk tanaman keperluan dapur seperti kunyit, pandan, kari, daun sup, anak benih dan pelbagai jenis tanaman.

“Tidak sangka pula minat menanam yang dipupuk sejak 2014 ini mendatangkan pendapatan sampingan buat saya di samping kegunaan sendiri.

SURI rumah berbudi pada tanah turut jana pendapatan sampingan.

“Awalnya, saya tanam sayuran yang mudah hidup seperti bendi, sawi, kangkung, bayam, kacang panjang dan tumbuhan herba keperluan dapur seperti pandan, kari dan kunyit.

“Selepas itu baru saya cari benih sayur yang jarang orang tanam seperti daun sup, ketumbar, kubis, kubis bunga, kalian dan pelbagai jenis sawi,” katanya.

Menurutnya, hasil kebun itu banyak menjimatkan perbelanjaan dapur kerana dia tidak lagi perlu membeli sayur. Hasil tanaman digunakan sendiri atau memberinya kepada sanak saudara dan menjual kepada jiran.

Norasmah berkata, menanam sendiri juga lebih selamat kerana dia tidak menggunakan racun serangga berbahaya dan baja kimia.

Katanya, dia turut dibantu suami terutama dalam penyediaan tempat menanam, susun atur pokok dan jualan benih pokok. Selain itu, tiga anaknya juga rajin membantu tugas ringan seperti mengangkat pasu kecil, mengisi tanah dalam pasu dan beg poli serta menyiram pokok.

Bagi menambah ilmu dan berkongsi maklumat, Norasmah menyertai kumpulan berkebun di media sosial antaranya grup Kebun Bandar, grup Tangan Hijau, Jom Tanam Sendiri dan beberapa komuniti hobi itu.

Katanya, komuniti itu memberinya inspirasi dan semangat untuk menanam, malah dia belajar banyak perkara baru menerusi sahabat dalam kumpulan itu yang tidak lokek berkongsi ilmu.

“Dalam komuniti ini juga saya belajar membuat bahan kawalan serangga secara organik dan bebas racun. Menerusi perkongsian ini juga banyak juga ilmu tentang pokok yang saya tidak pernah tahu, belajar teknik menanam atau membiak pokok melalui tut dan biji benih serta banyak lagi perkara menarik yang boleh diteroka. Kami juga berkongsi anak benih pokok sesama ahli,” katanya.

Dalam pada itu, Norasmah turut berkongsi tip menanam yang diamalkannya iaitu pentingnya kesabaran kerana tanaman jenis sayur berdaun misalnya lebih mudah diserang ulat dan serangga.

Katanya, jangan mudah putus asa jika pokok tidak menjadi selain perlu banyak mencari maklumat mengenai penanaman sayur.

“Lebih penting kita perlu rajin dan tidak boleh tinggalkan tanaman tanpa membaja, menyiram atau menjaganya daripada serangga perosak. Seperti manusia, tumbuhan juga perlu ‘makanan’ dan ‘belaian’ untuk tumbuh sihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 4:30 AM