NURUL Diana berjaya buktikan tiada apa yang mustahil dalam perniagaan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

SAMA seperti individu lain, wanita manis ini juga mengimpikan untuk berjaya dengan cemerlang hasil usahanya sendiri.

Mungkin atas faktor itu juga dia berusaha hidup berdikari untuk mendapatkan apa yang diimpikan. Bagi­nya tiada apa yang mustahil asalkan ada kesungguhan dan jangan sesekali malu dengan kekurangan diri.

Benar kata pepatah, ‘Di mana ada kemahuan di situ ada jalan’. Nurul Diana Sudin, 31, berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil dalam kehidupan asalkan rajin berusaha.

Walaupun perjalanan hidup dan perniagaannya masih jauh, dia tekad membuktikan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan individu lain.

Pada masa sama, wanita manis ini tekad untuk mengubah nasib dan bersama-sama mengajak lebih ramai wanita lain menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Memulakan bicara, Nurul Diana berkata, dengan menggunakan sebuah telefon bimbit, dia gunakan peluang sebaik mungkin untuk memulakan perniagaan. Anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini berkata, sama seperti individu lain, dia juga mengimpikan untuk hidup senang.


BERSAMA keluarga.

“Saya tidak suka berharap, atas sebab itu saya cuba sedaya upaya mencari bidang yang sesuai dengan diri untuk dijadikan sebagai kerjaya sampingan memandangkan saya bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat logistik dan penghantaran.

“Jika ditanya mengapa saya ingin berniaga? Jawapan saya mudah. Tentu saja saya juga mengimpikan kehidupan yang lebih selesa di samping membantu kewangan suami dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian memperbanyakkan kajian mengenai bidang yang mudah diceburi sebelum tekad berniaga dalam bidang kecantikan selepas menemui satu jenama yang sangat membantu dirinya kekal cantik.

“Memang diakui semua wanita mahu tampil cantik dan disebabkan itu saya yakin bidang ini boleh membantu saya berniaga. Dengan menggunakan peluang perniagaan dalam talian, saya memilih berniaga jenama Richglow. Syukur daripada bertatih kini semuanya semakin baik hari demi hari.

“Saya bukanlah seorang pengasas produk namun atas usaha keras, saya kini mempunyai lebih 20 individu yang bernaung di bawah saya sebagai seorang master stokis. Bayangkan betapa terujanya saya apabila diberi kepercayaan memimpin peniaga baharu yang mahu berjaya sama seperti saya,” ujarnya.

Katanya, dia juga perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya tetapnya dengan bidang perniagaan yang dijadikan sebagai kerjaya sambilan.

“Kehidupan saya sama seperti peniaga wanita lain, perlu bijak urus kerjaya, perniagaan dan keluarga dalam satu masa sama. Atas sebab itu, saya berusaha bahagikan masa sebaik mungkin bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan paling utama suami serta anak tidak terabai.

“Mujur saya memilih perniagaan dalam talian, semuanya di hujung jari dan saya tidak perlu berkejar-kejar ke banyak tempat untuk menguruskan perniagaan. Sebenarnya saya hanya memerlukan sebuah telefon bimbit untuk me­nguruskan perniagaan ini,” katanya.

Menurutnya, waktu rehat di pejabat akan digunakan sebaik mungkin untuk memuat turun sebanyak mungkin iklan perniagaan yang sesuai selain menjawab mesej pelanggan.

“Apabila tiba di rumah, saya akan selesaikan dulu semua urusan rumah tangga terutama anak. Pada jam 9 malam baru saya mulakan semula aktiviti perniagaan dalam talian dan syukur semuanya terkawal.

“Walaupun penat, ia tidak menghalang semangat saya untuk terus berjaya. Paling manis apabila saya mampu membeli barangan kemas untuk perhiasan diri. Dulu saya tidak pernah terfikir mampu mendapatkannya kerana kemiskinan. Kecil-kecil sudah dibawa ibu membantunya mengopek buah koko. Upah harian yang tidak seberapa itu hanya untuk mengalas perut kami sekeluarga,” ujarnya.

Atas sebab itu, wanita gigih ini komited meneruskan perniagaannya dan menurut Nurul Diana, dalam keterujaan berniaga, dia tidak sesekali lupa mengenai simpanan sendiri.

“Ramai yang saya dengar keuntungan berniaga tidak nampak atau habis dengan cepat. Perkara itulah yang paling saya takut, bayangkanlah saya berusaha keras untuk berada pada tahap ini dan pastinya saya tidak mahu mengalami perkara yang sama.

“Disebabkan itu, saya akan buat simpanan tetap setiap bulan hasil berniaga. Pada masa sama, saya juga cuba ketepikan sedikit keuntungan untuk disalurkan kepada individu memerlukan terutama fakir miskin kerana saya sendiri tahu betapa peritnya kehidupan mereka,” katanya.

Katanya, kini dia memasang impian dan harapan baharu iaitu untuk bersama-sama membantu lebih ramai wanita khususnya suri rumah menjana pendapatan sendiri hasil berniaga dalam talian.


NURUL Diana mahu bantu lebih ramai wanita khususnya suri rumah menjana pendapatan sendiri hasil berniaga dalam talian.

“Saya akan bercerita mengenai pengalaman diri saya sendiri berniaga kepada kenalan-kenalan terdekat untuk menarik minat mereka menceburi bidang yang sama.

“Tidak kiralah bidang apa yang anda ceburi, asalkan jangan malu, belajar sedaya mungkin untuk menimba ilmu baru kerana hanya diri kita yang mampu mengubah nasib diri sendiri,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 5:30 AM