WAJAH bujur.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

WANITA hari ini semakin menitikberatkan soal penampilan diri. Selain memerhati gaya bertudung selebriti, merujuk tip penggayaan di laman media sosial dan mengikuti perkembangan fesyen hijab di laman YouTube mahupun Instagram, mengenal kesesuaian gaya dengan susuk diri adalah kunci utama untuk sentiasa tampil anggun.

Apa yang penting, selain menutup aurat, gaya bertudung juga perlu nampak cantik memikat. Seiring perkembangan fesyen semasa, tudung dan selendang kini boleh didapati dalam pelbagai gaya, rekaan dan bentuk. Ada tudung pendek, panjang, empat segi, bentuk bulan sabit, jenis segera, beropol, berbulu, berbatu dan sebagainya.

Itu belum lagi melihat jenis fabrik yang ditawarkan pengeluar tudung. Perhatikan timbunan tudung koleksi sendiri di dalam almari. Tentu ada yang diperbuat daripada fabrik jersi, kapas, likra, sutera, satin, georgette, renda, sifon, kashmir dan sebagainya.

Tidak kira apa pun pilihannya, pastikan penampilan sepanjang Aidilfitri ini tidak dicacatkan dengan penggayaan tudung yang salah, berlebihan atau terlalu sarat dengan perincian sehingga membunuh keindahan hijab itu sendiri.

Pilih tudung jenis bawal atau bentuk segi empat untuk gaya ringkas. Buat beberapa eksperimen dengan teknik lipatan atau pusingan tertentu untuk mendapatkan gaya berlainan. Jika tidak, pilih saja jenis selendang. Tudung panjang ini dikatakan memiliki banyak keistimewaan dalam penggayaan berbanding bentuk segi empat.

Pemakai boleh mengenakan selendang seringkas mungkin dengan bantuan satu kerongsang di bahagian dagu atau memilih teknik penggayaan yang memerlukan kemahiran serta kreativiti tinggi bersama banyak kemasan pin.

Pokok pangkalnya, jenis tudung mana satu yang sesuai dengan bentuk wajah? Kena gaya, penampilan bertudung yang cantik, kemas dan elegen boleh mengundang tumpuan ramai. Salah memilih, gambar raya tentu hilang serinya. Paling teruk, pujian yang diharapkan akhirnya membuahkan kritikan dan senyuman nakal orang yang melihat.


MUKA bujur.

Cuba teliti tip berikut. Adakah anda benar-benar bijak membuat pilihan atau sebenarnya sekadar tangkap muat dan bersikap syok sendiri? Ini penting kerana, sama seperti pakaian, pemilihan tudung yang menarik harus bersesuaian dengan bentuk wajah seseorang. Sebab itu ada tudung yang nampak cantik apabila dipakai namun kurang menawan bagi wanita lain.

1. Bentuk wajah bujur

Wanita yang memiliki bentuk wajah bujur bebas memilih sebarang gaya tudung. Jika anda penggemar selendang, bebas memakai apa juga jenis selendang sama ada daripada fabrik kapas, sifon atau net. Begitu juga dengan tudung siap bersengkuap atau jenis Syria.

2. Bentuk muka panjang

Mereka yang mempunyai bentuk muka panjang ini dicirikan dengan dagu yang panjang. Bezanya adalah bentuk kening yang lonjong dan relatif lebih tinggi dengan jarak pelipis yang sama dengan jarak rahang. Bagi mengurangkan kedudukan kening yang tinggi, disarankan menggunakan anak tudung yang kedudukannya diletakkan ke bawah sedikit sehingga menutupi bahagian kening.

Penggunaan anak tudung Syria bersama selendang adalah disarankan kerana ia dapat membantu menutup sedikit bahagian kening yang tinggi. Seperti mereka yang mempunyai bentuk muka bujur, semua jenis selendang sesuai digayakan.


MUKA bulat.

3. Bentuk muka bulat

Mereka yang mempunyai bentuk wajah bulat disarankan menggunakan cekak lembut terlebih dulu sebelum memakai anak tudung. Pilih anak tudung diperbuat daripada bahan yang lebih anjal supaya ukuran kepala tidak kelihatan bertambah. Pilih selendang daripada fabrik nipis agar ukuran kepala tidak terlalu kelihatan. Selendang nipis atau mini sangat sesuai digayakan. Bagaimanapun, disarankan menggunakan anak tudung bawal sebelum mengenakannya agar bentuk muka kelihatan bujur.

4. Bentuk muka berpetak

Ciri-ciri bentuk muka berpetak adalah lebih lebar di antara pelipis manakala tulang rahang dapat dilihat dengan jelas namun bahagian dagu kelihatan samar. Dalam mengenakan tudung, pastikan tulang rahang dapat disembunyikan di sebalik tudung.

Gunakan anak tudung supaya kesan bentuk wajah nampak memanjang. Jika ingin memakai selendang, perlu bijak menggayakannya. Elakkan gaya ikatan Bienda atau ikatan di belakang tengkuk kerana gaya ini tidak mampu menyembunyikan bahagian tulang rahang yang lebar. Pilih gaya selendang yang menjurus kepada lilitan dan menutupi rahang. Tudung siap bersengkuap juga sesuai dengan bentuk muka berpetak.


MUKA panjang.

5. Bentuk segi tiga

Dagu panjang adalah ciri utama bentuk muka segi tiga, ditambah dengan jarak pelipis yang lebih lebar dibandingkan pangkal rahang. Gunakan tudung yang ditarik sejauh mungkin ke belakang dan bertemu di tengkuk agar bahagian rahang tampak terbuka. Untuk mengisi bahagian yang kosong di sebelah kiri dan kanan telinga disarankan menggunakan anak tudung seperti net.

Bagi membolehkan tudung di bahagian kening terangkat, gunakan cekak lembut sebelum memakai anak tudung. Buat mereka yang mempunyai bentuk muka segi tiga penggunaan selendang bukan satu masalah kerana mereka menghampiri bentuk muka bujur. Bagaimanapun, pastikan cara pemakaian selendang dapat menutupi kekurangan wajah. Paling sesuai adalah gaya pintalan atau gaya sanggul kerana ia dapat membuatkan bahagian rahang tampak lebih terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 5:00 AM