JULIA mahu buktikan apa dilakukan berbaloi kerana rezeki bukan di tangan manusia.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


MEMILIKI susuk tubuh tinggi lampai, wajah manis dipandang dan bijak menyusun kata-kata bagaikan pakej lengkap buat wanita hebat ini.

Di sebalik kesempurnaan personaliti diri, wanita yang juga ibu kepada dua cahaya mata lelaki ini turut memiliki kekuatan dan semangat ingin berjaya yang luar biasa.

Ketika orang lain lena dibuai mimpi, dia bersengkang mata meneruskan perniagaan pakaian dan telekung, apabila ditanya penulis jawapannya mudah, dia mahu gunakan peluang yang ada pada Ramadan ini untuk mendapatkan rezeki halal sempena kedatangan Aidilfitri.

Tidak sesekali menyerah kalah dan menggunakan istilah penat berpuasa sebagai alasan, Julia Muhamad, 45, terus melangkah bagi memastikan impiannya bergelar usahawan wanita berjaya dapat dicapai.

Pada masa sama, dia juga mahu membuktikan keputusan dibuat dengan meletakkan jawatan sebagai guru berbaloi walaupun pada mulanya berdepan pelbagai kata sindiran daripada banyak pihak.

Memulakan bicara, Julia berkata, apabila meletakkan jawatan tetap ramai yang mempersoalkan keputusan itu selain tidak kurang yang mengeji.


BERUSAHA melakar kejayaan dalam bidang diceburi.

“Mungkin ramai yang bimbang adakah saya dapat teruskan cita-cita saya bergelar usahawan dan atas sebab itu ramai yang mempersoalkan keputusan saya.

“Bukan mudah juga untuk saya hadam semua itu, ambil masa hingga berbulan-bulan namun suami dan keluarga tidak lekang memberi semangat untuk saya terus melangkah. Namun apabila difikirkan, apakah salah untuk kita memasang impian menjadi orang kaya? Islam tidak pernah menghalang umatnya menjadi orang kaya asalkan menurut landasan yang dibenarkan. Malah Nabi Muhammad SAW dan ramai sahabat Rasulullah berniaga serta kaya,” katanya.

Menurut Julia, rangsangan keluarga dan persoalan itu menguatkan semangatnya. Dia akhirnya berjaya bangkit dan terus memasang strategi untuk memulakan perniagaan.

“Katakan bidang apa yang saya tidak lakukan. Fesyen, kecantikan atau kesihatan semuanya saya cuba untuk memastikan keputusan yang saya lakukan ini tepat dan syukur, Allah permudahkan dan buka laluan.

“Apabila nampak ada sinar dalam perjalanan perniagaan ini, saya tekad lakukan yang terbaik. Saya mahu buktikan kepada semua apa yang dilakukan ini semuanya berbaloi kerana soal rezeki bukan di tangan manusia tetap ia sudah ditetapkan Yang Maha Esa,” ujarnya.

Katanya, terlalu banyak impian yang mahu dicapainya terutama untuk memberi kehidupan lebih selesa kepada ibunda tercinta juga membantu suami dan seluruh ahli keluarga.

“Saya bukan berasal daripada keluarga senang dan atas sebab itu juga menjadikan saya terus kuat untuk mengubah nasib hidup. Saya selalu berfikir sampai bila mahu makan gaji kerana saya ingin lakukan sesuatu yang mencabar diri.

“Syukur, walaupun tidak mudah namun satu persatu urusan perniagaannya berjalan lancar dan dalam masa sama saya juga semakin serasi dalam bidang ini. Kedua-dua anak semakin meningkat dewasa dan ia memudahkan urusan harian saya sebagai seorang ibu, selain suami, anak selalu menemani saya sekiranya perlu ke ibu kota atau mencari stok fabrik di Vietnam atau negara lain,” katanya.

RAMADAN DAN SYAWAL PUNCA REZEKI

Menggunakan kesempatan pada bulan mulia ini, Julia berkata, beberapa bulan sebelum kedatangan Ramadan, dia sudah melakukan perancangan rapi bagi memastikan urusan hariannya di bulan puasa berjalan lancar.

“Saya tahu ramai peniaga sama seperti saya dan akan memberikan yang terbaik pada bulan ini kerana ia adalah bulan rezeki buat semua peniaga asalkan anda tidak malas.

“Saya korbankan banyak perkara dalam bulan ini termasuk masa dan tenaga. Berkorban waktu tidur itu juga biasa bagi kebanyakan peniaga tambah-tambah dalam bulan mulia ini dan ketika kita menerima banyak pesanan.

“Saya juga sangat berterima kasih kepada semua kakitangan yang banyak membantu saya bukan saja pada Ramadan malah pada setiap masa kerana tanpa mereka saya tidak dapat menguruskan perniagaan dengan baik. Bagi saya menjadi seorang majikan bukan bermakna anda hanya perlu memberi arahan namun ia lebih daripada itu kerana kami ibarat sebuah keluarga,” katanya.

Katanya, dia sering mengingatkan dirinya supaya tidak bersikap mementingkan diri dan lebih memahami kakitangan terutama ketika dilanda masalah.


JULIA bersama keluarga yang menjadi sumber kekuatannya.

“Cubalah jadi ketua yang mudah didampingi kerana keseronokan dan kebahagiaan ketika bekerja sebenarnya kunci kejayaan dalam apa juga bidang.

“Syukur selama lebih 15 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, terlalu banyak pengalaman yang saya pelajari. Walaupun bukanlah usahawan ternama yang mempunyai empayar perniagaan gah, bagi saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 5:30 AM