KEHADIRAN anak kembar Mohammad Azmir dan Nurul Akmar menambah kemeriahan Aidilfitri tahun ini.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

KETIBAAN Ramadan dinanti setiap umat Islam apatah lagi bulan penuh keberkatan ini memberi kita peluang meningkatkan amal ibadat dan merebut pahala berlipat ganda.

Dalam keterujaan menyambut bulan mulia ini, ramai yang gagal menguruskan kewangan dengan berbelanja mengikut nafsu sama ada ketika membeli juadah berbuka mahu pun persediaan menyambut Aidilfitri.

Bagi guru tadika, Khairunnisa Khirrudin, 33, sememangnya realiti kehidupan kini agak mencabar tambahan pula baginya yang tinggal di Lembah Klang, pentingnya berjimat dalam perbelanjaan harian terutama ketika menyambut Ramadan dan Syawal.

Tambahan pula, katanya, keluarga besar terdiri daripada lima anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun pasti menuntut dia dan suami, Omar Syaqif Mohamad Sauffi, 32, menguruskan perbelanjaan dengan betul.

“Apa yang kami buat adalah menyimpan duit lima bulan awal khas untuk raya sebanyak RM200 sebulan. Jadi, apabila tiba Ramadan kami tidaklah kelam-kabut kalau duit tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian.

“Tambahan pula anak kami ramai, jika tidak buat begini (menyimpan lebih awal) tentu susah hendak menguruskan kewangan,” katanya.

Katanya, dia dan suami biasanya mula membeli barangan keperluan seperti baju raya pada minggu kedua Ramadan, diikuti persiapan kuih raya, kasut dan aksesori pada minggu ketiga dan minggu terakhir fokus untuk persiapan rumah dan lauk raya.


KHAIRUNNISA dan suami mengamalkan sikap berjimat dalam membuat persiapan untuk lima anak mereka.

Bagi kakitangan kerajaan, Mohammad Azmir Mohammad Zamri, 35, Ramadan kali ini disambut secara sederhana seperti tahun sebelum ini dan dia gemar menyusun perbelanjaan dari awal untuk mengelak pembaziran.

Katanya, jika tahun sebelum ini dia dan isteri Nurul Akmar Abdul Razak, 34, menempuh Ramadan bertiga bersama anak sulung berusia lapan tahun, tapi tahun ini agak berlainan kerana kehadiran cahaya mata kembar dan pasti perbelanjaan bertambah dari segi persiapan menjelang hari raya dan kos sara hidup.

“Saya beli awal bahan asas makanan untuk memudahkan isteri memasak hidangan bersahur dan berbuka, itu pun hanya masakan mudah dan ringkas.

“Jika membeli juadah buka puasa di bazar Ramadan pula hanya yang ringkas seperti kuih-muih atau air minuman. Ahli keluarga sudah bertambah, jadi tidak berbaloi beli di bazar kerana kos akan meningkat,” katanya.

Mengenai rutin perbelanjaan pula katanya, dia dan isteri sudah membuat simpanan setiap bulan sejak tahun lepas lagi untuk menampung kos belanja hari raya tahun ini.

Katanya, sudah menjadi rutin buatnya sekeluarga untuk membeli keperluan Aidilfitri sejak awal Ramadan agar tidak perlu bersesak membeli persiapan di saat akhir.

Selain itu, dia dan isteri sentiasa mengamalkan sikap beringat dan mendahulukan keperluan dari kehendak untuk mengelakkan terlebih belanja atau boros.


PERSIAPAN Aidilfitri Noor Hayani bertumpu kepada bayinya.

Bagi Noor Hayani Yusuf, 33, tahun ini lebih bermakna apabila pertama kali menyambut Aidilfitri bersama bayinya berusia 10 bulan dan teruja membuat persiapan buat anaknya itu.

Katanya, persiapan Aidilfitri untuk anak sulungnya itu sudah dibuat sebelum puasa lagi dan memperuntukkan gaji pada bulan itu untuk membeli keperluan buat anaknya itu.

“Meskipun ini pertama kali membeli keperluan untuk anak, tapi saya tidaklah amalkan sikap membazir. Saya tetap membuat tinjauan kedai yang tawarkan harga berpatutan tapi selesa untuk bayi.

“Saya tetapkan pakaian bayi saya tidak lebih RM50. Untuk gaji dan bonus bulan ini pula saya fokus kepada pakaian sehariannya, jadi tidaklah membazir sangat sebab ia memang untuk keperluannya setiap hari,” katanya.

Kakitangan kerajaan yang menetap di Tanjung Malim ini turut menasihatkan kepada rakan lain terutama golongan ibu untuk belajar berjimat cermat, menyesuaikan perbelanjaan dan bukan berbelanja tanpa had di sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi kini kurang memuaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:10 AM