KEMPEN Digi dalam mendidik kanak-kanak menjadi warga digital yang bertanggungjawab.
Susunan Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


DALAM kehidupan seharian, kebanyakan daripada kita melayan sahabat dengan baik. Begitu juga sebaliknya. Namun dalam dunia remaja, mereka lebih bebas meluahkan segala yang terpendam di hati dan bersarang di fikiran. Berikutan itu, sikap tidak sopan boleh timbul tanpa sedar atau disengajakan.

Hal ini mencetuskan persoalan mudah. Adakah ia kata-kata tanpa sedar sebegini boleh membawa kepada peningkatan buli siber? Ini kerana kajian menunjukkan bahawa buli siber lebih cenderung berlaku dalam kalangan rakan berbanding dengan orang yang tidak dikenali.

Melihat dari sudut lebih luas, dalam dunia buli siber hari ini, rakan sebaya sering menjadi punca pendedahan gambar di Instagram, meninggalkan komen jelik di hantaran Facebook atau menghina menerusi Twitter.

Menurut Ketua Kemampanan Digi Philip Ling, berdasarkan Digi's 2018 Yellow Heart Cyberbullying and Youth Disposition Survey 2018, sebanyak 20.5 peratus kanak-kanak sekolah mengatakan mereka dibuli dalam talian, manakala 42.1 peratus mengakui tahu siapa dalam kalangan mereka dibuli.

Melihat kepada data hampir satu daripada lima kanak-kanak yang menjadi mangsa buli siber, ia menunjukkan bahawa kes sebegini semakin meningkat dalam kalangan belia, terutamanya apabila penggunaan Internet semakin berkembang.

Antara kes buli siber yang paling kerap berlaku adalah membabitkan sindiran bentuk, saiz atau rupa tubuh; perasaan cemburu terhadap mangsa dan keinginan untuk lebih dikenali dalam kalangan pengguna media sosial.

Sekalipun buli siber sering dikaitkan dengan penghinaan dan komen memalukan, tetapi sebenarnya impak jenayah ini lebih daripada itu. Apabila mangsa dibuli menerusi hantaran atas talian, ia akan meninggalkan kesan besar dalam kehidupan berikutan maklumat berkenaan boleh diakses secara meluas oleh pengguna Internet.

Komen menyakitkan daripada masyarakat siber dan netizen pula akan terus menghantui mangsa selama bertahun-tahun lamanya. Bahkan ia mungkin kekal dalam talian selagi tidak dipadamkan.


KETAHUI jenis platform atau rangkaian sosial yang kerap dilayari anak.

Berbeza dengan si pembuli, mereka mungkin boleh melupakan apa saja hantaran maya yang dibuat dengan serta-merta kerana tidak melihat reaksi mangsa secara bersemuka.

Bayangkan betapa sukarnya mangsa untuk mendepani realiti. Pastinya mereka berasakan seolah-olah dunia sedar dan tahu setiap yang berlaku. Akibatnya, anak tidak lagi selesa berada dalam kalangan keluarga. Mereka mungkin berasa janggal bertegur sapa dengan adik-beradik dan tidak betah di rumah sendiri.

Persoalannya, jika ini berlaku, ke mana arah yang hendak mereka tuju? Jadi pada hari raya ini, kala semua adik-beradik dan anak berkumpul, gunakan kesempatan ini untuk mendidik mereka mengenai buli siber dan apa tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa atau anak jika menjadi mangsa.

UNTUK KANAK-KANAK

1. Hentikan sikap tunggu dan lihat. Usah sekadar menjadi saksi perbuatan buli. Jika kita tidak mengambil inisiatif menghentikan buli siber, maka perbezaan tidak akan dapat dilihat sampai bila-bila.

Keluarga dan rakan perlu memainkan peranan penting. Beri sokongan kepada mangsa buli supaya mereka terus positif. Bercakaplah dengan mereka dan tanya keadaan diri mangsa.

Jika perlu campur tangan, fikirkan jalan bersesuaian. Biar mangsa tahu mereka tidak dibiarkan bersendirian. Sekiranya mangsa dibuli dalam talian, tidak perlu takut untuk meminta bantuan daripada adik, ibu bapa atau guru.

2. Ketahui pilihan yang ada. Lihat sama ada hantaran media sosial yang dibuat pembuli boleh dilaporkan kepada pihak pengendali, disekat daripada terus menular atau dikemas kini supaya tidak diceroboh di masa depan.

Jelaskan kepada anak tentang risiko di media sosial. Selitkan situasi dengan pesan nasihat dan memperkenalkan konsep empati. Beritahu mereka bahawa setiap individu di belakang setiap gambar profil atau nama pengguna boleh membawa perbezaan kepada mangsa serta membantu pembuli memahami beban tindakan diambil.

3. Kanak-kanak harus sedar tabiat mereka ketika melayari Internet. Tanamkan kesedaran dalam diri mereka mengenai pentingnya berfikir dua kali sebelum membuat sebarang hantaran di media sosial.

Ingatkan anak supaya tidak meninggalkan komen yang boleh mengguris perasaan atau apa saja komen yang tidak mungkin akan dikatakan kepada seseorang ketika bersemuka.

Apabila menyiarkan foto dalam talian, pastikan ia tidak mendedahkan apa-apa maklumat peribadi kerana orang mungkin melihat sesuatu secara berbeza. Untuk keselamatan, fikir dua kali sebelum meletak tanda nama pada gambar untuk mengelakkan perkongsian lokasi.

UNTUK IBU BAPA

1. Dalam era keibubapaan digital ini, kita harus sentiasa peka dengan kebiasaan anak melayari Internet. Berbincang dengan mereka untuk mencegah sebarang risiko apabila maklumat didedahkan.

2. Ketahui juga jenis platform atau rangkaian sosial yang kerap dilayari anak. Kongsikan panduan penggunaan Internet dan tetapkan peraturan asas untuk melindungi mereka dari sebarang risiko.

3. Perbualan yang berterusan juga menggalakkan kanak-kanak untuk berkongsi sebarang insiden, pengalaman negatif mahupun masalah. Dengan cara ini, ibu bapa dan anak boleh bekerjasama untuk mengatasi sebarang masalah menerusi pelan pencegahan bersesuaian.

4. Cipta ruang yang selamat untuk kanak-kanak berada di dalam talian dengan tetapan keselamatan keluarga yang tersedia pada kebanyakan aplikasi mudah alih. Ini bertujuan memastikan anak tidak terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dengan usia atau berbahaya.

5. Wujudkan masa santai bersama untuk mengajar perkara penting dalam era digital. Didik mereka menjadi warga digital yang bertanggungjawab.

6. Tonton Digi Yellow Heart Cyber Series untuk mempelajari lebih banyak nilai positif dan empati dalam dunia

digital hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:30 AM