ZAKIRA mahu lihat wanita lebih berkaliber. FOTO: Rohanis Shukri
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


HAMPIR 10 tahun berkhidmat dalam bidang perbankan, Zakira Ramlee, 41, tidak pernah membayangkan kerjaya dalam bidang yang menjadi kecintaannya sejak kecil bakal berakhir kerana dia tidak diberikan kelonggaran untuk menjaga anak yang sedang sakit. Dia masih ingat ketika itu dua anaknya mengalami demam panas yang teruk sehingga dimasukkan ke wad.

“Ia amat menyedihkan kerana dalam keadaan terdesak saya tidak dapat memberikan perhatian kepada anak. Akibat kecewa, saya nekad berhenti kerja kerana anak adalah sumber kekuatan dan keutamaan saya. Selepas memberikan surat peletakan jawatan kepada ketua, ramai bertanya adakah saya serius dan tidak sayang dengan kerjaya yang semakin berkembang.

“Siapa tidak sedih apabila terpaksa berhenti kerja dalam keadaan belum bersedia. Tetapi saya yakin ada hikmah tersembunyi yang mungkin saya tidak tahu. Suami pula memberikan sokongan penuh kerana ketika itu saya sangat komited dengan kerja. Saya keluar pagi, malam baru pulang ke rumah. Ada kala terpaksa mengabaikan keluarga,” katanya memulakan cerita.

Memegang gelaran wanita bekerjaya menyebabkan Zakira mula memikirkan apakah yang akan dilakukan selepas ini. Mindanya tidak pernah berhenti berfikir sehingga dia nekad menceburi bidang pelaburan walaupun dia langsung tiada pengalaman dalam bidang ini.


ANTARA anugerah yang diperoleh dalam bidang kewangan syariah.

Mempunyai keperibadian tinggi dan berani membuat keputusan, ibu kepada empat cahaya mata ini mengakui dalam setiap perkara dia akan cuba melakukan yang terbaik.

“Sama juga dalam bidang pelaburan, saya cuba lakukan dahulu sebelum memikirkan masalah yang datang. Akhirnya saya mampu menjana pendapatan lima angka melebihi gaji ketika bekerja di bank. Paling penting saya memperoleh masa bersama anak kerana jadual kerja diatur sendiri,” katanya.

Mengakui walaupun seorang yang pemalu, ketika bekerja dia menukar 100 peratus sifat yang ada dengan menjadi lebih berani dan berkeyakinan. Cara dilakukan Zakira adalah dengan berkunjung ke mana-mana pejabat sama ada kerajaan atau swasta kemudian mengetuk pintu mereka. Jika tidak dia akan menunggu di luar menghulurkan sapaan kepada sesiapa sahaja yang ditemui.

“Mungkin bagi orang lain cara saya ini agak keterlaluan, namun untuk berjaya saya harus buang sifat malu dan berani meyakinkan pelanggan. Mulanya saya mendapat penolakan, tetapi bukan semua tidak menerimanya. Dalam lima pelanggan mungkin seorang berminat dengan pelaburan saya. Ia sudah mencukupi,” katanya tersenyum.

Bermula dengan seorang pelanggan kemudian ia berkembang menjadi lebih besar. Begitulah rutin harian Zakira setiap hari sehingga dia bertukar kepada syarikat pelaburan syariah, PMB Investment Berhad di bawah Pelaburan Mara Berhad.

Memiliki agensi sendiri, Zakira kini mengorak langkah membantu lebih ramai wanita menjana pendapatan menerusi perniagaan kewangan. Sambil melihat wanita lebih berkaliber, berdaya saing dan memiliki ketelitian berbanding kaum Adam.


MENERIMA anugerah pencapaian tertinggi jualan.

“Apa yang diperlukan adalah komited untuk berjaya dan sentiasa mencari jalan meningkatkan kemampuan diri. Sekiranya tiada modal saya akan memberikan sokongan. Inilah yang saya lakukan untuk melihat kejayaan di bawah agensi saya. Sebab itu saya sangat teliti membuat pemilihan perunding kewangan di bawah agensi saya,” katanya.

Sebagai Pengurus Agensi Kumpulan (GAM) Zakira Wealth Advisory, wanita ini mengharapkan dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar, kerjaya sebagai usahawan kewangan adalah satu pilihan yang tepat.

“Pada masa sama saya ingin mendidik golongan muda untuk membuat simpanan jangka panjang. Sepanjang menceburi bidang ini saya perhatikan orang muda gemar berbelanja dan suka menunjukkan gaya hidup mewah di media sosial. Mereka kurang kesedaran pentingnya membuat simpanan kecemasan. Jadi tugas saya mendidik anak muda untuk mengasingkan pendapatan mereka kepada perkara yang lebih mendatangkan keuntungan,” katanya.

LALUI ZAMAN SUKAR KETIKA KECIL

Raut wajah yang tenang dan murah senyuman, ramai tidak tahu di sebalik kejayaan Zakira dia meniti pengalaman sukar apabila dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan. Dibesarkan nenek di Kelantan, dengan hanya pendapatan sebagai penoreh getah kehidupan Zakira diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Saya tidak pernah malu dengan kehidupan sebagai penoreh getah. Malah ia banyak mematangkan kehidupan saya. Apa juga yang saya inginkan saya cuba dapatkannya sendiri dengan menoreh getah,” katanya mengimbas kenangan lalu.

Tamat tingkatan lima, berbekalkan sebuah beg pakaian, Zakira ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Tidak mengharapkan sebarang bantuan keluarga, Zakira yakin Kuala Lumpur adalah lubuk mencari rezeki serta peluang untuk merubah kehidupan keluarganya.

“Alhamdulillah dengan hanya berbekalkan keputusan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya diterima bekerja di sebuah bank berpusat di Singapura dan satu-satunya pekerja Melayu,” katanya.

Di Kuala Lumpur keluarga tidak pernah tahu kesusahannya. Pernah hanya makan roti dan minum air kosong bagi mengalas perut disebabkan duit tidak mencukupi. Namun semua ini dipendamkan sahaja kerana Zakira tidak mahu ibunya susah hati jika mengetahui keadaannya di sini.

“Keyakinan saya sangat kuat. Mengandaikan peluang ini ibarat rezeki, saya menunjukkan kesungguhan dan memberikan yang terbaik dalam kerjaya sehingga mendapat kepercayaan ketua,” ujarnya.

Sebagai wanita yang sistematik dan teliti dalam membuat perancangan, Zakira tidak pernah melupakan keinginannya untuk menyambung pengajian di peringkat diploma. Berbekalkan duit gaji setiap bulan, dia mendaftar di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) sebagai pelajar separuh masa.

“Selepas habis waktu pejabat saya akan ke kelas yang bermula jam 6 petang sehingga jam 10 malam. Beginilah rutin harian saya setiap hari sehingga berjaya mendapat diploma dalam bidang perakaunan. Alhamdulillah, dengan gaji diperoleh saya mampu menyara nenek dan keluarga di kampung,” katanya gembira.

Menjadikan keluarga sebagai penguat semangat, jelas Zakira, dia begitu komited dalam pengajiannya kerana ingin mendapatkan keputusan cemerlang. Inspirasinya adalah Tun Dr Mahathir dan wanita ini hanya tidur tiga jam sehari kerana menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran.

“Saya tidak boleh leka dan main-main dalam pelajaran kerana saya menggunakan sepenuhnya wang sendiri serta masa yang sangat terbatas. Pada masa sama saya memikirkan nenek dan keluarga di kampung yang perlu disara,” katanya.

Ujarnya, melihat perubahan yang dimilikinya kini, Zakira sangat bersyukur kerana hasil penat lelahnya dia mampu membahagiakan keluarga dan memberikan kehidupan lebih baik kepada mereka.

Pada masa akan datang Zakira berharap dapat memperbesarkan agensinya dengan menghasilkan lebih ramai usahawan kewangan syariah selain mencipta kejayaan dalam bidang yang dicintainya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:00 AM