MEGAWATI (kiri) diiringi Pengurus Hal Ehwal Operasi Fonterra, Manisya Ismail (tengah) serta wakil Masjid Seksyen 7, Shah Alam, Ustaz Sharil Ismi (kanan) ketika perasmian Program Fonterra Raikan Ramadan, baru-baru ini. FOTO: Faiz Anuar
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


SEMPENA bulan penuh keberkatan Ramadan dan Hari Susu Sedunia yang disambut 1 Jun, Fonterra Brands Malaysia melaksanakan tradisi tahunannya dalam berkongsi kebaikan tenusu dengan komuniti setempat dan golongan memerlukan di Masjid Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.

Syarikat pemakanan tenusu dari New Zealand itu mengedarkan lebih 500 bungkus bubur lambuk yang diperkaya dengan susu Fernleaf UHT dan pek berbuka puasa produk tenusu kepada orang ramai serta penduduk Flat PKNS Seksyen 7, Shah Alam dan sekitarnya.

Pengarah Pembangunan Produk Baharu, Saintifik dan Hal Ehwal Pematuhan Fonterra Brands Malaysia Megawati Suzari berkata, pihaknya berbangga kerana dapat memberi produk tenusu terbaik untuk menyokong kesihatan dan nutrisi rakyat Malaysia pada Ramadan yang diberkati.

“Di Fonterra, kami bermatlamat untuk menambah nilai kehidupan rakyat Malaysia dan masyarakat di tempat operasi kami. Kami amat berbesar hati kerana dapat meraikan Ramadan dengan berkongsi khasiat tenusu bersama penduduk setempat dan masyarakat yang memerlukan di kawasan sekitar ini termasuk golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal dan asnaf.


MEGAWATI bergambar bersama golongan yang mememrlukan.

“Dalam masa sama, sangat penting untuk mengamalkan diet seimbang dan sihat terutama ketika berpuasa. Susu adalah antara makanan yang mengandungi nutrisi lengkap yang boleh membuat seseorang bertenaga sepanjang hari serta menambahkan nutrien dan cecair yang hilang semasa berpuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Masjid Seksyen 7 Shah Alam, Burhanuddin Ahmad berkata, Ramadan adalah bulan istimewa untuk memberi dan berkongsi rezeki bersama individu kurang bernasib baik.

“Kami berterima kasih kepada Fonterra yang bersama kami hari ini untuk membantu memberi makanan kepada keluarga dan anak-anak yang memerlukan dengan hidangan bubur lambuk dan produk tenusu yang berkhasiat.

“Inisiatif seperti ini wajar dicontohi kerana ia memberikan kegembiraan kepada ramai pihak terutama penerima,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada inisiatif Ramadan, Fonterra turut menganjurkan sesi tadarus al-Quran dan berbuka puasa bersama kakitangannya sempena sambutan Nuzul al-Quran yang jatuh pada bulan Ramadan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Fonterra Brands Malaysia bekerjasama dengan beberapa masjid dan komuniti tempatan untuk meraikan Ramadan dan mengedarkan bubur lambuk yang diperkaya susu Fernleaf dan pek berbuka puasa yang dimuatkan produk tenusu untuk menyokong gaya hidup sihat ketika berpuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 4:30 AM