LATIH anak untuk lebih mesra sekurang-kurangnya sebulan sebelum lebaran dengan membawanya ke masjid atau surau ketika Tarawih. FOTO hiasan
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


BERBAKI dua minggu sebelum kedatangan Syawal, bukan saja kanak-kanak malah golongan dewasa tidak terkecuali bersemangat menanti kedatangan bulan penuh kegembiraan terutama untuk bertemu ahli keluarga.

Dalam keterujaan itu, tentu ada ibu bapa mula berasa bimbang mengenai sikap si anak terutama ketika berkumpul dengan sanak-saudara.

Mana tidaknya, si anak lebih banyak mendiamkan diri, kelihatan seperti sombong, tidak menjawab apabila ditanya dan lebih menyedihkan apabila ada yang memilih gajet sebagai teman setia serta tidak suka bergaul dengan saudara-mara walaupun seusia.

Sikap ini lebih ketara apabila berdampingan dengan orang yang jarang ditemui walaupun masih di dalam kelompok keluarga seperti ibu atau bapa saudara juga sepupu.

Ia membuatkan ibu bapa runsing memikirkan keupayaan si kecil untuk menyesuaikan diri bersama individu lain.

Kanak-kanak ‘kurang bercakap’ ini sering kali tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan yang diajukan sedangkan mereka tahu jawapannya. Ini berlaku disebabkan pelbagai faktor.

Kaunselor kanak-kanak Rubiah Asri berkata, musim perayaan boleh digunakan sebagai masa terbaik mendidik anak bergaul mesra dengan individu lain.

“Ketika hari raya, kita banyak bertemu orang ramai dan ia boleh digunakan sebaik mungkin mendidik anak berkomunikasi dan sekurang-kurangnya menegur sanak-saudara serta berkongsi cerita terutama yang seusia dengannya.

“Tidak perlu terlalu memaksa, cukup sekadar mengingatkan dan ajar mereka supaya menjawab apabila ditanya dan beranikan diri bergaul dengan saudara sebaya. Didikan itu perlu dilakukan dalam tempoh sebulan berpuasa supaya si anak ingat dan cuba mempraktikkannya,” katanya


AIDILFITRI adalah saat terbaik untuk melatih si kecil anda berkomunikasi.

.

Menurutnya, sikap kanak-kanak yang tidak mahu bercakap, enggan bergaul dan mempunyai personaliti seolah-olah tidak suka bersosial kebiasaannya disebabkan faktor genetik yang diperoleh daripada keturunannya juga faktor sekeliling.

“Kebiasaannya, apabila ibu atau bapa kurang bercakap atau pendiam, anaknya mempunyai potensi lebih besar untuk mewarisi sikap itu.

“Namun, semua itu boleh dididik, gunakan masa hari raya ini untuk menyemai rasa seronok dalam kalangan anak-anak untuk lebih suka berinteraksi dan keluar daripada kemampuan dirinya,” ujarnya

Tambahnya, disebabkan itu dorongan dan didikan ibu bapa serta individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kanak-kanak itu amat penting kerana ia dapat memberikan pengaruh besar dalam pembentukan keperibadiannya.

“Boleh semai rasa seronok untuk bertemu ramai ahli keluarga itu dari sekarang. Walaupun agak terlambat, masih boleh dilakukan. Boleh juga gunakan masa memasukkan duit raya ke dalam sampul sebagai saat untuk bercerita kepada anak, maklumkan kepada mereka duit itu akan diberikan kepada sepupu-sepupunya.

“Dalam masa sama, cuba ketepikan gajet dalam tempoh ini dan gantikan dengan aktiviti bermanfaat yang boleh menambah keterujaan si anak untuk bertemu saudara-mara pada hari raya kelak,” katanya.

Asuhan dan bimbingan

Menurut Rubiah, paling utama jangan sesekali menggalakkan si anak hanya bergaul dengan adik-beradiknya, sebaliknya beri mereka rangsangan untuk bermain dan berbual bersama saudara-mara lain.

“Situasi ini banyak terjadi apabila ramai kanak-kanak bersikap agak sombong dan hanya mahu bercakap bersama adik-beradik. Bukan saja dilihat tidak ‘manis’ malah sikap ini juga membuatkan kanak-kanak terbabit berterusan dengan sikap kurang mesra itu.

“Seperti yang saya katakan tadi, ibu bapa perlu memainkan peranan baik dalam situasi ini. Jika boleh sebelum pulang ke kampung halaman, belikan bunga api atau alat permainan yang boleh dimainkan bersama apabila tiba di kampung. Ingatkan kepada anak supaya berkongsi dan bermain bersama-sama. Katakan juga kepada anak bahawa apabila kita berkongsi, kegembiraan akan lebih terasa. Bahkan dia akan menjadi insan yang disenangi semua,” katanya.


GALAKKAN anak bercakap dengan saudara-mara ketika hari raya.

Menurutnya, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh terbaik dalam bersosial dan tidak terlalu bergantung hidup dengan alat komunikasi terutamanya telefon pintar dan gajet lain.

“Raya adalah saat untuk kita beramah mesra dengan seluruh ahli keluarga dan kenalan. Golongan dewasa juga perlu menunjukkan contoh yang tepat serta jangan sesekali asyik melayan telefon bimbit ketika di kampung.

“Ini kerana anak sering melihat apa yang ibu bapa lakukan. Jika ibu bapa itu sendiri tidak banyak bercakap dan hanya menghabiskan masa dengan melayari Internet, jangan terkejut jika anak juga ikut tingkah laku itu.

“Musim perayaan ini sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh si ibu dan si bapa mendidik anak bergaul dan bermesra dengan ahli keluarga. Didik dari awal, ajar mereka bercakap lembut dengan golongan berusia dan meluangkan masa bermain bersama rakan sebaya di kampung,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menggalakkan si anak bercakap, paling utama jangan sesekali bandingkan atau merendah-rendahkan anak yang pendiam dengan orang lain bagi memastikan mereka tidak terasa dan terus mendiamkan diri.

Tip galakkan anak beramah mesra di Hari Raya

Banyakkan komunikasi dan bercerita mengenai keseronokan berhari raya. Ceritakan juga betapa indahnya apabila mempunyai ramai saudara-mara yang menyayanginya.

Mencari idea untuk memastikan anak akan bercerita dan bercakap bersama sepupu atau ahli keluarga yang lain.

Sentiasa menunjukkan contoh sifat peramah seperti bergaul mesra dengan saudara-mara serta jiran tetangga sebelum kedatangan Aidilfitri.

Minta pandangannya dalam perkara yang membabitkan dirinya terutama berkaitan lebaran seperti baju, kasut atau barangan yang akan dibawa pulang ke kampung.

Jangan sesekali memperkecil-kecilkan dirinya kerana ia akan lebih memburukkan keadaan.

Galakkan anak bermain permainan tradisional yang semakin dilupakan dan perlu membabitkan orang lain seperti sahibba, batu seremban, dam ular, teka aksi dan congkak. Jika ada ruang yang luas di halaman, boleh ajak mereka bermain teng teng, galah panjang atau badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 5:00 AM