MINAT menulis dorong Noraini terus beri motivasi dan nasihat keibubapaan. FOTO: Sharul Hafiz Zam
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


LIKU hidup dan ujian yang singgah tidak pernah melemahkan semangat wanita ini. Berasa untung dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, Noraini Abd Samad tidak pernah meletakkan kesusahan hidup keluarganya sebagai halangan untuk terus maju.

Noraini sedar betapa payahnya kedua ibu bapa membesarkan dan mendidik dia tujuh beradik. Berbekalkan gaji ibu sebagai guru dan bapa pula bekerja sebagai anggota polis, wanita ini nekad untuk berjaya dalam hidup, sekali gus membalas kembali jasa orang tua.

Melalui zaman membesar sama seperti kanak-kanak seusia, Noraini tekun dalam pelajaran, suka bermain dan menulis. Pendek kata, wanita ini ceria menikmati kehidupan riang semahu-mahunya.

“Tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda, saya terus dilantik sebagai pensyarah Kimia di salah sebuah Kolej Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia. Dua tahun mencurah ilmu di sana, saya akhirnya mengambil keputusan meletakkan jawatan untuk fokus pada perniagaan.

“Daripada sekadar ejen produk, saya dilantik menjadi ketua pasukan. Saya belajar selok-belok jualan lebih kurang lima tahun sehinggalah terbit perasaan rindu untuk kembali menyambung pengajian,” katanya yang kini memiliki Ijazah Sarjana Peralatan Kimia dari Universiti Sains Malaysia.

Mengupas sedikit latar belakang wanita ini, rupanya Noraini adalah ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun iaitu Ahmad Fatih Akram Muhammad Waliyuddin.

Selain ligat menguruskan anak dan menyusun pelan perniagaan baru, wanita ini juga aktif menulis artikel motivasi dan keibubapaan untuk siaran di laman web ProParenting.

“Saya minat menulis sejak kecil, bermula di peringkat sekolah rendah. Mak adalah insan yang banyak mendorong saya untuk menulis. Minat ini juga disokong adik-beradik dan beberapa teman rapat.

“Sekarang, saya semakin giat menulis. Banyak idea datang selepas saya melihat sendiri bagaimana rapuhnya institusi kekeluargaan hari ini terutamanya dalam kalangan orang muda. Kebanyakan pasangan mendirikan rumah tangga tanpa ilmu keibubapaan. Mereka tidak mengenal hak sebagai suami dan isteri serta tanggungjawab sebenar terhadap anak.


NORAINI miliki Ijazah Sarjana Peralatan Kimia dan pernah menjadi pensyarah.

“Fonemena ini secara tidak langsung menjadi salah satu punca kegagalan institusi keluarga. Tambahan jika suami atau isteri langsung tidak berusaha memperbaiki kelemahan diri dengan ilmu.

“Natijahnya, anak membesar tanpa sifat tanggungjawab, kurang empati terhadap orang lain dan lemah kawalan emosi. Paling menyedihkan apabila kitaran ini berulang lagi pada generasi seterusnya,” katanya.

Mengambil contoh paling mudah, Noraini berkata, dunia hari ini memperlihatkan betapa ramai ibu tunggal yang terpaksa berhempas-pulas memperjuangkan hak mereka dan anak selepas bercerai. Sedangkan, jika setiap inidividu faham tugas dan tanggungjawab masing-masing selepas berlakunya perceraian, tidak ada pihak yang akan menjadi mangsa penganiayaan.

“Peranan ibu bapa sangat besar untuk terus membimbing anak walaupun selepas mereka berumah tangga. Kalau dilihat, ibu bapa kini cenderung menyebelahi anak sendiri walaupun diketahui melakukan kesilapan.

“Tersilap itu lumrah manusia biasa, tetapi membiarkan anak terus mengulangi kesilapan tanpa cuba mengubah atau memberi teguran sewajarnya, perlu dihentikan.

“Bertitik tolak daripada pengalaman dan pembacaan sendiri, saya berasa terpanggil untuk menggunakan segala pengetahuan yang ada untuk berkongsi ilmu berkaitan dunia keibubapaan dan motivasi.

“Saya mahu melihat institusi keluarga diurus dengan bijaksana. Anak diberi peluang membesar dalam keluarga harmoni dan saling melengkapi antara satu sama lain. Untuk membentuk negara maju dan membina tamadun cemerlang perlu bermula dengan pendidikan di rumah. Asasnya adalah ibu bapa itu sendiri,” katanya.

KOMITED SEBAR ILMU

Bercerita lanjut, kata Noraini, dia memilih cabang kerjaya sebagai penulis atas dasar tanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat terhadap pentingnya ilmu dalam membina kehidupan cemerlang.

“Saya percaya ilmu keibubapaan cukup penting. Masyarakat kita berdepan pelbagai masalah antaranya kepincangan dalam institusi keluarga; ibu bapa terlalu sibuk bekerja hingga mengabaikan anak; perkembangan dunia teknologi tanpa sempadan yang meningkatkan penggunaan gajet dalam kehidupan anak; obesiti berpunca daripada sikap sambil lewa ibu bapa dan sikap obses sesetengah ibu bapa mengejar kecemerlangan akademik anak pada usia terlalu muda.

“Menulis dan menyedarkan masyarakat mengenai realiti yang berlaku memberi kepuasan besar. Saya gembira berkongsi pengetahuan dengan umum tidak kira menerusi teks atau video. Nilainya tidak mampu diukur dengan wang ringgit.

“Ada ramai yang bertanya mengenai kerjaya pensyarah yang saya tinggalkan. Apa yang mampu dikatakan, saya sentiasa yakin kerjaya lama boleh diisi oleh ramai calon lain. Tetapi menjadi usahawan dan penulis memerlukan komitmen tinggi. Saya perlu membesarkan anak seorang diri. Jadi cabarannya lebih besar.

“Selain komitmen masa, tenaga dan wang ringgit, kedua-dua kerjaya ini memerlukan kawalan emosi yang baik dan keberanian yang bukan sedikit. Alhamdulillah, biarpun sukar, saya seronok untuk terus meneroka cabang kerjaya unik ini dengan sokongan keluarga dan teman rapat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:00 AM