IERA jaga integriti pelanggan. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


BERBEKALKAN komputer riba, sebuah buku nota, sebatang pen dan secangkir kopi, di sebuah restoran makanan segera, wanita ini rancak mengetuk papan kekunci demi mencari bait ayat bagi menyudahi penulisan buku untuk pelanggannya.

Mengibaratkan ruang kecil itu sebagai pejabat bergerak, bagi Iera Yusoff, 43, dengan bergelar penulis upahan sejak empat tahun sehingga sekarang dia mampu mengatur masa di antara kerjaya dan keluarga, pada masa sama menjana pendapatan sehingga lima angka.

Berpengalaman dalam dunia penerbitan lebih 20 tahun, ibu kepada 10 cahaya mata ini melalui pengalaman sarat suka dan duka dalam bidang yang dicintainya. Pernah bergelar wartawan dan menghasilkan majalah sendiri, kemudian beralih angin dalam bidang komunikasi korporat, Iera mula tersedar dengan gaji melebihi RM10,000 sebulan, dia tersekat dek masa yang sangat terbatas untuk keluarga.

“Ketika itu saya begitu komited bekerja, keluar pagi malam baru pulang ke rumah. Apabila saya jenguk ke bilik tidur anak bongsu, hati terasa sayu. Saya terfikir sampai bila perlu begini. Tanpa sedar anak meningkat usia sedangkan saya tertinggal banyak kenangan terindah membesarkan mereka. Lalu saya tekad ambil keputusan berhenti kerja kerana ingin memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga serta mendapatkan semula perkara yang selama ini saya terlepas,” katanya.


PENULIS upahan tidak boleh 'sentap' andai penulis samaran mendapat nama.

Empat bulan sebelum berhenti kerja, Iera sudah membuat perancangan apa yang akan dilakukannya sebaik bergelar suri rumah. Perkara pertama ialah membuka semula syarikat kemudian membeli komputer riba dan mesin pencetak. Dia juga menyertai kelas penulisan iklan (copywriting) dan iklan Facebook serta membuat uji kaji ke atas produk sendiri.

Katanya, bermula daripada situ dia mula menulis pelbagai buku biografi berkaitan perniagaan. Sebelum penulisan bermula, dia dan pelanggan sudah menetapkan beberapa syarat yang perlu diikuti kedua-dua pihak. Di sinilah bezanya di antara penulis biasa dengan penulis upahan kerana mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengiktiraf diri sebagai penulis dan meletakkan nama di kulit muka hadapan.

“Saya faham sebagai penulis, satu kepuasan apabila melihat nama tercatat pada kulit buku atau novel kerana ia hasil titik peluh sendiri. Tetapi sebagai penulis yang diupah, latar belakang saya seperti misteri,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, wanita yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang komunikasi korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini mengakui apa saja penulisannya, dia langsung tidak mengharapkan namanya dikenali. Bukan itu saja, dia juga tidak boleh hadir pada majlis pelancaran buku, mengambil gambar atau memuat naik cerita mengenai apa yang ditulis.

“Sebarang bentuk keadaan atau situasi yang boleh menyebabkan orang menyangka buku dilancarkan mempunyai kaitan dengan diri saya menjadi satu kesalahan, sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan pelanggan.

“Saya perlu menjaga integriti selepas menulis kisah mereka. Semuanya sudah ada hitam putih, saya dan mereka tidak boleh melanggar syarat yang telah ditetapkan. Sebagai penulis upahan, menjaga integriti pelanggan adalah paling penting,” jelasnya.

Turut mengadakan bengkel melatih perintis penulis upahan, jelas Iera, dia faham ramai wanita berada dalam situasi seperti dirinya. Tertekan dengan kerjaya pada masa sama terpaksa membantu kewangan suami. Tetapi golongan ini tidak mampu melakukan apa-apa, hanya bertahan dengan kerjaya masing-masing.

PENULIS UPAHAN SESUAI UNTUK WANITA

Ramai tidak tahu dunia penulisan tanpa nama ini sangat luas dan ia sesuai untuk wanita yang ingin kembali kepada keluarga pada masa sama menjana pendapatan sampingan.

“Ramai orang ingat penulis upahan hanya untuk buku atau novel, sebaliknya di dalam bengkel saya terdapat 35 jenis penulisan. Ia termasuk menulis skrip, lirik lagu, iklan, novel, teks ucapan, resume, surat, e-book, buku biografi dan autobiografi.

“Individu boleh memilih mengikut kepakaran masing-masing. Jika meminati bentuk laporan, carilah guru yang dapat mengajar secara lebih teliti supaya mereka menguasainya,” jelasnya.

Katanya, dinilai dari segi kerja, penulis upahan melakukan tanggungjawabnya sama seperti penulis biasa yang perlu mematuhi etika kerja serta sumber yang jelas. Bezanya mereka tidak menggunakan nama sendiri.

Dalam hal ini penulis upahan membantu tiga golongan dalam menghasilkan karya mereka iaitu individu yang ada idea tetapi tiada masa menulis, mereka yang pandai berkata-kata tetapi tidak pandai menulis dan akhir sekali mereka yang tidak boleh bercerita serta tidak boleh menulis.

Walaupun menulis bergantung kepada bakat, ia boleh dipelajari menerusi pembacaan dan pelbagai kelas yang dianjurkan pihak tertentu.


BANYAK membaca sifat penting penulis upahan.

Katanya, memiliki ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah menjadi satu bonus kepada penulis upahan kerana tingkat pendidikan ini akan membezakan jumlah bayaran mereka.

“Sebagai penulis upahan, saya berbangga dengan hasil penulisan sendiri walaupun nama tidak tertera dan orang tidak tahu itu adalah hasil kerja saya. Bagi saya penulis upahan tidak boleh ‘sentap’ jika novel atau buku mereka laris di pasaran, atau juga penulis samaran mendapat nama. Prinsipnya tidak penting siapa penulisnya, yang perlu disebarkan adalah ilmu," katanya.

ZAMAN KANAK-KANAK MINAT MENULIS

Menulis seawal usia 12 tahun, sejak kecil wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini gemar mencatat apa saja yang dilihat, didengar dan dirasa ke dalam buku catatan. Kemudian apabila ditawarkan dalam aliran Sains, Iera tidak berminat lalu memohon aliran Kesusasteraan Melayu.

Kemudian dia melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, sehingga ditawarkan jawatan sebagai pelukis tiga dimensi untuk beberapa projek di Putrajaya.

Namun, sifatnya yang sukakan cabaran mendorong Iera menukar kerjaya dari satu syarikat ke satu syarikat, semata-mata ingin mencuri pengalaman dan memahirkan diri dalam sesuatu bidang terutamanya penerbitan.

Kegawatan ekonomi tahun 1998 memaksa Iera bertukar bidang kepada dunia yang diminatinya sejak kecil. Bermula dari bawah berkuli hanya sebulan dengan sebuah rumah penerbitan semata-mata ingin mencuri kemahiran, akhirnya memberi iera kepakaran dalam industri penerbitan.

“Selepas melepaskan jawatan sebagai pelukis draf, saya mula menulis kerana sememangnya meminati bidang penulisan sejak kecil. Sehinggalah saya ditawarkan sebagai pengarang dan ketua pengarang untuk menjaga tiga majalah berbeza.

“Saya mula berangan membuka syarikat sendiri dan akhirnya pada usia 24 tahun, saya menubuhkan Sonique Artscape dan bergelar pengarah urusan dan pengarang untuk majalah berkonsepkan wanita, remaja lelaki dan teknologi maklumat,” jelasnya.

Ketika berdepan masalah kewangan, pelbagai kerja dicuba bagi mencari nafkah termasuk menjadi pegawai media di beberapa syarikat popular, namun dia berasakan masih tidak mempunyai masa buat keluarga. Di sinilah kerjaya penulis upahan bermula apabila wanita ini secara drastik berhenti kerja dan tekad bergelar penulis tanpa nama sepenuh masa.

Kini Iera sudah menulis hampir 10 buku pelanggan tidak termasuk hebahan media, iklan atau laporan projek yang datang silih berganti. Pernah dalam satu masa dia mengambil 15 penulisan iklan copywriting untuk produk berbeza.

“Jadual bergantung kepada persediaan dan juga kemampuan diri sendiri. Kadang-kadang ada yang ambil hanya satu projek besar tetapi ada risikonya kerana bekerjasama dengan usahawan memerlukan komitmen. Ada sesetengah projek terpaksa diberhentikan sementara. Jadi lebih selamat jika ada projek sampingan lain sebagai gantian,” katanya yang ditemui di studio Balai Berita NSTP baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:30 AM