SAYUR-SAYURAN dan buah-buahan dapat menguatkan daya ketahanan badan terhadap penyakit. GAMBAR hiasan
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


HIDANGAN sahur yang berkhasiat sangat penting bagi memastikan kita kekal bertenaga sepanjang hari bermula waktu sahur sehinggalah berbuka puasa.

Bagaimanapun, untuk wanita hamil, mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada perlukah mereka menambah saiz hidangan semasa bersahur mahupun berbuka puasa untuk kekal bertenaga?

Tidak kurang juga yang beranggapan inilah masanya ibu hamil menikmati beraneka jenis juadah berbuka daripada manisan, pencuci mulut hinggalah makanan berat.

Menurut Pakar Dietetik, Siti Sarah Mohd Juzup, makanan yang bersesuaian untuk ibu hamil semasa bersahur hendaklah tinggi kalori dan protein kerana ia mampu membekalkan tenaga yang berpanjangan sepanjang berpuasa.

Namun, katanya, corak pemakanan seimbang perlu diamalkan yang terdiri daripada kumpulan makanan seperti karbohidrat, protein, serat, lemak, sayur-sayuran, buah-buahan dan produk tenusu.

“Jenis makanan yang sesuai semasa bersahur mesti terdiri daripada karbohidrat dan disarankan ibu hamil mengambil karbohidrat kompleks yang dipecahkan menjadi tenaga secara perlahan-lahan.

“Ini membantu mengekalkan tenaga sepanjang berpuasa seharian. Karbohidrat kompleks terdiri daripada bijirin penuh seperti beras perang, roti bijirin penuh, kekacang, pasta dan mi bijirin penuh,” katanya.

Selain itu katanya, pengambilan protein juga sebagai sumber penting dalam membina badan dan otot selain memberi rasa kenyang jika mengambilnya.

Katanya, sumber terbaik untuk protein datang daripada haiwan seperti ayam, daging, ikan dan telur manakala kekacang membekalkan protein dan serat yang baik daripada tumbuh-tumbuhan.

Kata Siti Sarah, pengambilan serat dalam makanan semasa bersahur juga penting kerana makanan yang tinggi serat lebih memberi kesan kenyang yang lebih lama berbanding makanan rendah serat.

Selain itu katanya, serat juga dapat membantu mencegah sembelit. Sumber makanan yang tinggi serat terdiri daripada sayur-sayuran terutama yang berdaun hijau dan buah-buahan serta makanan bijirin penuh seperti beras perang, roti bijirin penuh.

Sayur-sayuran dan buah-buahan pula adalah sumber yang baik untuk serat, vitamin, mineral dan fitokimia yang dapat menguatkan daya ketahanan badan terhadap penyakit.

“Pengambilan sedikit lemak dalam makanan pula membantu membekalkan tenaga yang mencukupi untuk ibu dan anak.

“Ibu hamil juga amat digalakkan mengambil segelas susu semasa bersahur untuk keperluan kalsium ibu dan anak. Elakkan minuman berkafein seperti teh dan kopi kerana memberi kesan diuretik yang menyebabkan anda kerap buang air kecil.

“Ini bermaksud penghasilan urin yang lebih banyak menyebabkan kehilangan air yang lebih. Oleh itu, pengambilan air kosong hendaklah capai sasaran sebanyak 1.5 liter hingga ke dua liter semasa bersahur dan berbuka puasa,” katanya.

Ibu hamil katanya harus mengelakkan mengambil makanan yang tinggi kandungan gula kerana boleh menyebabkan lebih cepat berasa lapar dan keletihan.

Siti Sarah turut memberi cadangan resipi bersahur untuk ibu hamil contohnya nasi goreng bersama sup kentang untuk untuk satu hidangan.

NASI GORENG

Bahan:

200 gram (g) nasi perang

3 ulas bawang putih

3 sudu makan cili boh

1-2 sudu teh sos tiram

100 g isi ayam

1/2 biji tauhu - digoreng dan dihiris

50 g sawi hijau

50 g kubis

50 g cendawan tiram

1 biji telur

Garam secukupnya

Minyak masak secukupnya


NASI Goreng.

Cara menyediakannya

1. Tumiskan bawang putih dan cili boh sehingga naik bau.

2. Masukkan telur, ayam, sawi, kubis, cendawan tiram dan gaul rata. Perasakan dengan sos tiram dan garam secukupnya.

3. Masukkan nasi perang dan gaulkan sehingga rata. Kemudian masukkan hirisan tauhu goreng ke dalam nasi goreng dan dihidangkan.

SUP SAYUR KENTANG

Bahan:

2 biji kentang (saiz sederhana) - dipotong 4

50 g brokoli

50 g bunga kubis

1 biji lobak merah & batang saderi

1 biji tomato - dipotong 4

3 ulas bawang merah - dihiris halus

2 biji bawang putih - dihiris halus

Garam secukupnya

Minyak secukupnya -untuk menumis

1 sudu teh lada hitam dikisar

Air secukupnya

Cara menyediakan:

1. Tumis bawang putih, bawang merah sehingga naik bau. Kemudian masukkan air dan biarkan mendidih.

2. Masukkan kentang, brokoli, bunga kubis, lobak merah. Biarkan sehingga empuk sebelum masukkan tomato dan batang saderi.

3. Perasakan secukupnya dengan garam dan lada hitam.

4. Biarkan mereneh seketika sebelum tutup api. Boleh tabur daun sup dan bawang goreng semasa menghidang.

Nasi goreng dihidangkan bersama sup sayur berserta segelas susu, air kosong dan satu hidangan buah-buahan untuk hidangan yang lengkap semasa bersahur.

Contoh bagi satu hidangan buah-buahan:

1 biji (sederhana): epal, oren, pear.

1 potong: tembikai susu, tembikai merah, betik.

1 biji: jambu batu

2 biji kurma

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:00 AM