GABUNGAN idea Nazdiana bersama 4 rakan dapat sambutan luar jangkaan. FOTO: Aziah Azmee
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


BENAR kata orang, ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, tidak ada istilah menyerah sekiranya mahu menggapai impian dihajati.

Dalam mengejar impian, masing-masing mempunyai strategi dan langkah tersendiri. Paling utama perlu yakin kemampuan diri dan ada rancangan tepat.

Begitu juga dalam dunia perniagaan, tanyalah mana-mana usahawan tentunya memberi jawapan sama kerana semuanya memasang hasrat untuk ‘kaya dan berjaya’ bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.

Ramadan bulan mulia penuh keberkatan, selain beribadat, kebanyakan usahawan bersetuju ia adalah bulan paling dinanti untuk meraih pendapatan dan keuntungan.

Mengenali wanita optimis kelahiran Ampang, Selangor ini membuatkan penulis sedar soal rezeki adalah sesuatu yang sukar dijangka asalkan ada semangat serta usaha untuk berjaya.


CANTIK dan unik.

Tidak malu mengakui dirinya hanya seorang suri rumah yang memilih menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian, Nazdiana Nazar, 38, berkata, dia sedikit pun tidak malu apatah lagi kerjaya dipilih adalah pekerjaan halal selain tidak membebankan sesiapa.

“Semuanya atas dasar minat dan usaha, disebabkan tidak mahu masa terikat dengan sesiapa atau komitmen yang lebih berat menjadikan saya memilih bergelar usahawan dalam talian.

“Walaupun menyedari terlalu ramai individu yang bergelar usahawan, saya percaya dengan rezeki masing-masing,” katanya.

Mula memilih terbabit dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B), Nazdiana akui semuanya memerlukan kesungguhan dan semangat.

“Apabila anda tekad mahu berniaga, tolong jangan selalu mengeluh terutama membabitkan jualan kerana lumrah yang perlu diketahui, bidang ini ada pasang dan surutnya.

“Disebabkan itu, saya sentiasa gembira dan menikmati hari-hari dengan penuh semangat walaupun ketika jualan tidak memberangsangkan,” katanya.

Kata Nazdiana, memandangkan musim perayaan Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi, dia mula memikirkan sesuatu yang luar biasa dan boleh memberi keuntungan.

“Disebabkan itu, saya katakan seseorang peniaga itu perlu bijak cari peluang dan ruang, jangan hanya menunggu sesuatu yang belum pasti serta perlu berani ambil risiko.

“Beberapa bulan sebelum memasuki Ramadan, saya sudah mula merancang sesuatu yang baru bersama empat teman rapat. Kami adalah rakan sekolah ketika di bangku sekolah menengah dan hubungan persahabatan ini masih terjalin hingga kini,” katanya.

Menggunakan kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing, Nazdiana yang juga graduan jurusan pentadbiran perniagaan dari Universiti Malaya berkata, menggabungkan idea daripada lima individu, akhirnya terhasil produk inovasi terbaharu sampul duit raya atas jenama #meraya.

“Sampul ini mempunyai bentuk istimewa dan rekaan yang eksklusif selain tidak ada di pasaran. Hasil gabungan idea ini berjaya menghasilkan 22 rekaan sampul eksklusif yang sangat unik dan comel.

“Cabarannya pasti ada apatah lagi ketika menghampiri Aidilfitri ini dan terlalu banyak rekaan sampul duit raya dijual di pasaran, namun saya yakin dengan keistimewaan produk sendiri kerana ia sangat lain daripada yang lain,” ujarnya.

Kata Nazdiana, bagi menarik minat terutama kepada pengumpul sampul duit raya, dia menggunakan gambar menarik selain harga ditawarkan tidak terlalu mahal iaitu RM5 untuk 10 keping.

"Syukur, sambutan diterima di luar jangkaan dan kami perlu mencetak semula beberapa rekaan 'laris' bagi menampung permintaan pelanggan. Antara rekaan menarik sampul duit raya adalah botol minyak wangi, bola, kaset dan televisyen.

"Ini bukan semata-mata soal untung namun lebih kepada keseronokan serta kepuasan pelanggan yang sangat teruja sebaik saja menerima sampul raya yang dibeli," katanya.

Menurutnya, dia juga teruja kerana memiliki ejen dan stokis daripada negara jiran Brunei dan Singapura.

"Disebabkan itu saya katakan, seorang peniaga itu perlu bijak dalam merancang sesuatu, kerana saya sentiasa menggunakan konsep terbabit untuk terus bertahan dalam bidang ini.

"Saya juga sangat bersyukur kerana dikelilingi keluarga dan rakan yang banyak membantu serta memberi semangat kepada diri ini," ujarnya.


ANTARA rekaan sampul duit raya.

BIJAK BAHAGI TUGAS DAN MASA

Nazdiana menambah, memandangkan proses perjalanan perniagaannya dikendalikan sendiri dia bersama empat rakan yang lain menyebabkan dia perlu menguruskan soal masa dengan sebaik mungkin.

“Bermula aspek rekaan hinggalah penghantaran barang kepada pelanggan diuruskan kami sepenuhnya dan disebabkan itu saya bersama rakan yang lain sering berbincang bagi mengelak masalah di kemudian hari.

“Syukur, semuanya berjalan lancar, walaupun sedikit penat kerana tidak mengupah pekerja namun saya puas kerana semuanya diuruskan sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia juga berbangga kerana suri rumah sepertinya juga mampu menjana pendapatan sendiri sekali gus membantu kewangan suami dan keluarga.

“Disebabkan itu, saya katakan sesiapa saja boleh berjaya asalkan ada semangat dan perancangan. Percaya pada kemampuan diri kerana dengan usaha gigih kita mampu berjaya.

“Saya juga mengharapkan lebih ramai wanita terutama suri rumah untuk terbabit dalam bidang perniagaan ini kerana anda tidak perlu keluar daripada rumah untuk bekerja dan dalam masa sama, dapat menguruskan soal rumah tangga dan anak tanpa perlu mengabaikannya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:00 AM