GAYA klasik, manis meraikan Aidilfitri.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


ANGGUN bergaya lebaran kali ini, Rumah Kebaya Bangsar (RKB) tidak terkecuali menampilkan pelbagai koleksi busana indah potongan tradisional dan moden, sesuai buat semua golongan wanita.

Mengangkat elemen klasik yang diberi sentuhan segar mengikut trend fesyen semasa, busana di butik ini jarang sekali menghampakan berikutan menawarkan lebih 20 rekaan kebaya dan kurung termasuk kebaya Riau, kurung mini, kurung Riau Pahang dan kurung Kedah.

Menjengah butik RKB yang terletak di Jalan Maarof, di Kuala Lumpur, majoriti koleksi kurung Pahang dan kebaya Riau Pahang kali ini, lebih menitikberatkan perincian sulam bunga klasik serta moden.

Ketua Pegawai Eksekutif Syus Holding Sdn Bhd, Zul Izwan Mohd Taher berkata, sulaman klasik yang dipilih untuk koleksi lebaran tahun ini bermotifkan bunga melati, melur dan tanjung. Sulaman moden pula bermotifkan sakura.

“Rekaan, perincian dan potongan busana pula banyak diinspirasikan pengasas jenama ini sendiri, Nursyuhada Md Isa. Dia banyak melakukan kajian, penelitian dan eksperimen untuk menghasilkan rekaan terbaik.


ANGGUN dan sopan untuk menziarahi keluarga dan sanak-saudara.

“Bagi kurung dan kebaya bersulam, kita masih lagi menggunakan fabrik kapas Jerman. Kain ini tidak memerlukan penjagaan rapi dan mudah digosok. Ia sepadan dengan ciri sulaman yang kemas dan ringkas.

“Sementara bagi busana lain, pemilihan fabriknya bergantung kepada rekaan baju, sama ada berkonsepkan moden, klasik, mewah, elegan, sofistikated atau minimalis.

“Jika orang tanya, apa keunikan dan keistimewaan koleksi kami, sudah tentu terletak pada pemilihan fabrik dan potongan asli pakaian tradisi. Semua koleksi ini sesuai untuk digayakan pada Aidilfitri nanti,” katanya.

Membandingkan kebaya butiknya dengan rekaan sedia ada di pasaran, Zul Izwan berkata, pihaknya menawarkan busana mengikut potongan tubuh yang sedikit longgar, tidak panas, selesa dan mudah untuk pemakai bergerak.

“Memandangkan pengikut fesyen hari ini lebih sukakan konsep minimalis, jadi kami hasilkan busana dengan gabungan fabrik berkualiti tinggi, rekaan ringkas dan berciri klasik.

“Bagi yang sukakan busana mewah atau sarat perincian, kita juga ada kurung Kedah moden, lengkap dengan pelapik lengan, kurung moden daripada fabrik broked dan kebaya songket. Semua padanan ini masih sesuai untuk digayakan sepanjang lebaran, khususnya ketika mengunjungi rumah terbuka,” katanya.


GANDINGAN kain batik dan kebaya polos potongan moden tampak unik.

Selain kebaya klasik dan bersulam, Zul Izwan berkata, butik itu juga menawarkan koleksi kebaya daripada fabrik satin oriental, padanan kain batik, pario, songket dan kapas berjalur.

“Terpulang kepada pemakai sama ada mahu tampil menawan pada lebaran nanti dengan koleksi premium RKB atau siap pakai. Semua busana memiliki keistimewaan tersendiri dengan perincian renda, sulaman, bunga 3D, manik, cantuman songket mahupun broked,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 5:30 AM