TURBAN sisip tepi. FOTO: Rosela Ismail
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


SERBAN atau turban lazimnya dianggap aksesori kepala paling ringkas dan mudah untuk wanita yang baru berjinak-jinak mengenakan hijab, menutup rambut. Kalau diperhatikan asal usul busana ini, ia bukanlah gaya baharu, bahkan menjadi persalinan tradisi sesetengah kaum sejak berabad lamanya.

Ada yang mengaitkan pemakaiannya dengan agama, menonjolkan kepahlawanan, tidak kurang juga membabitkan budaya serta adat istiadat. Kalau dulu, lilitan kepala ini cukup sinonim dengan lelaki di Asia, Asia Barat, India, Afrika sehingga Jamaica.

Mengambil contoh paling hampir, di India ia dipakai sebagai simbol kelas sosial atau kasta. Mereka yang memakai serban hanyalah daripada kelas atasan. Penganut agama Sikh atau Punjabi pula percaya pemakaian serban yang dipanggil dastar adalah wajib. Sementara dalam Islam sendiri, pemakaian serban adalah sunat buat kaum lelaki, tetapi tidak boleh dipakai ketika dalam ihram.

Hari ini, seiring perkembangan fesyen, penggayaan tudung juga tidak terlepas daripada mengalami pelbagai revolusi. Ada yang sesuai digayakan, ada juga yang dikatakan tidak menepati syarak.

Namun bagi wanita Muslim yang belum bersedia bertudung litup sepenuhnya, barangkali pemakaian turban boleh jadi satu permulaan baik dalam menampilkan gaya sopan.

Penggayaannya juga tidak terhad. Terpulang sama ada hendak dijadikan aksesori kepala atau dipakai bersama pelapik tudung untuk menutup aurat di bahagian leher hingga kolar baju.

Kata jurumekap artis, El Manda Zuhairy (@mandalicious_ official), tidak ramai wanita yang berani mengenakan turban kerana bimbang tidak bersesuaian bentuk wajah, selain tidak tahu cara melilit selendang di kepada.

“Turban yang ringkas tidak memerlukan sebarang pin untuk kemas. Keselesaannya bergantung kepada jenis fabrik yang dipilih dan sesuai dipakai untuk ke pejabat, aktiviti riadah, santai mahupun memenuhi majlis formal.

“Lazimnya, pemakaian turban bercorak dipadankan dengan busana polos. Begitu juga sebaliknya. Namun, jika kita mengenakan busana mewah, pilihlah tudung atau selendang bertepatan dengan perincian baju.

“Fabrik organza, sutera, satin dan sifon umpamanya, sesuai dijadikan pelengkap busana mewah. Pilih sama ada bercorak atau mempunyai perincian manik sepadan. Bagaimanapun, kalau sekadar untuk penampilan kasual, ringkas atau santai, pilih saja fabrik jenis kapas, satin pusam atau pelbagai tudung bawal,” katanya.

Bagi yang masih bingung hendak melilit turban dan kurang yakin untuk menukar penampilan sopan, El Manda berkongsi langkah pemakaian paling ringkas. Apa yang perlu hanyalah fabrik empat segi sama atau paling mudah, tudung bawal.

LANGKAH DEMI LANGKAH


LIPAT tudung menjadi segi tiga.

LETAKKAN secara terbalik (di belakang kepala) dan ikat kemas.

AMBIL ikatan di sebelah kanan dan sisip ke bahagian belakang.

KEMASKAN ikatan sebelah kiri dan bawa perlahan ke sisi kanan.

PASTIKAN gulungan sempurna dan sisip ke bahagian belakang.

TURBAN ringkas boleh digayakan mengikut kesesuaian dan keselesaan individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 4:30 AM