SITI Nor Hasyimah mula berniaga sejak tingkatan empat.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Memiliki kejelitaan tersendiri, pemilik nama Siti Nor Hasyimah Azmi, 24, atau mesra disapa Syma sering dilabel sebagai selebriti kerana mempunyai sejuta pengikut di laman Instagram. Pernah dikecam lantaran sering mempamerkan kecantikannya dan dikatakan menunjuk-nunjuk kekayaan di media sosial, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mengakui apa yang dimuat naik adalah sebahagian promosi dan teknik pemasaran produk di bawah jenamanya.

Malah ia banyak digunakan pemilik produk lain namun melalui pendekatan berbeza. Dia akur apabila ramai yang menyukai paparannya di Instagram, bermakna ada juga yang membenci. Apa yang mampu dilakukan adalah berhadapan dengan mereka secara berhemah.

“Seboleh-bolehnya saya cuba mengelak spekulasi yang bakal mengundang kecaman, memetik isu panas dan sensitif. Saya cuba menjadi lebih semula jadi dan positif dalam setiap perkara,” katanya yang sering diserang perkara berkaitan peribadi, pakaian dan cara hidup.

Turut mempunyai kelab peminatnya sendiri, dia yang juga pengasas produk Syma Beauty mengakui sudah lali dengan setiap provokasi atau kecaman kerana masih ramai memberikan semangat serta menganjurkan pelbagai aktiviti bersama.

“Pelanggan yang sebahagiannya menjadi ahli kelab saya sangat memberikan sokongan. Ini dapat dilihat setiap kali paparan gambar atau aktiviti di media sosial mereka sentiasa memberikan sokongan. Ini memberikan semangat kepada saya untuk terus menghasilkan produk yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Memiliki darah campuran Siam dan Sri Lanka di sebelah ibu dan Melayu daripada bapa, kulit yang cerah dan mulus, mata yang cantik serta memikat diwarisi daripada ibunya. Malah semua sembilan beradik dengan lima daripadanya perempuan mempunyai iras yang sama dengan Siti Nor Hasyimah dan kebanyakannya menceburi bidang peragaan.

Mengakui seorang yang prihatin mengenai kecantikan, sejak awal remaja, Siti Nor Hasyimah sudah mengikuti pelbagai petua ibunya.

Antaranya mengelak makan selepas Maghrib, mengelak tidur siang dan bangun awal pagi setiap hari bagi mengekalkan stamina. Mendapatkan kulit yang sihat, dia rajin mengamalkan makan buah-buahan sebelum nasi dan banyak minum air masak.


ANAK sumber kekuatan Siti Nor Hasyimah.

TINGKATAN EMPAT MULA BERNIAGA

Mengakui zaman kanak-kanak tidak semanis insan lain, ketika kecil banyak yang dia inginkan tetapi tidak dapat dimiliki. Ini disebabkan pendapatan keluarga yang tidak menentu ditambah keperluan adik-beradik lain perlu disediakan juga.

“Saya masih ingat ayah pernah berpesan, dia tiada harta yang boleh diberikan kepada anak. Jika ingin hidup senang belajar setinggi mampu dan carilah harta sendiri. Inilah yang saya pegang sehingga ke hari ini. Pada usia belasan tahun saya sudah menetapkan agar anak tidak merasai seperti yang saya rasakan. Jika boleh saya ingin menyediakan kehidupan lebih baik kepada mereka,” katanya.

Oleh kerana mempunyai ramai adik-beradik perempuan kecenderungan Siti Nor Hasyimah ke arah kecantikan, kewanitaan dan fesyen begitu kuat. Apatah lagi apabila melihat kakaknya bijak melawa jadi perasaan ingin cantik begitu meluap-luap.

Bermula di tingkatan empat, ada rakan sekelas bertanya apa yang dia amalkan untuk penjagaan wajah. Daripada situ dia mula berniaga secara kecil-kecilan dengan mengambil kosmetik dan aksesori wanita.

“Asalnya rakan bertanya apa yang saya amalkan. Lama-kelamaan mereka mula mendapatkan produk daripada saya. Semakin lama saya semakin seronok menjual barang kerana dapat mengumpul duit sendiri.

“Saya menjadi semakin aktif berbisnes secara tidak sengaja. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mula serius walaupun langsung tiada ilmu berniaga. Saya mula kumpul duit sendiri dan menggunakannya untuk membeli keperluan peribadi,” katanya.

Melihat hasil yang sangat positif perasaan untuk mengukuhkan perniagaan semakin kuat, lebih-lebih lagi apabila dia mengambil keputusan bertunang dan berkahwin pada usia 20 tahun.

“Saya bermula dengan menjual produk orang lain terlebih dulu. Produk berasaskan kecantikan dan fesyen kerana saya sangat meminatinya. Saya mula belajar mengenai pemasaran dan sangat fokus apa yang saya lakukan. Lama-kelamaan bermula dengan hobi ia bertukar menjadi karier. Lebih penting apabila ia membuahkan hasil yang agak lumayan,” katanya.

Pada awalnya, wanita ini banyak mendapat khidmat nasihat perunding kecantikan mengenai kajian dan produksi produk. Lama-kelamaan berdasarkan pengalaman dia kini mempunyai kumpulan penyelidik produk sendiri, bagi memastikan jenama dihasilkan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Syma Bio Tech Sdn Bhd bukan saja membuat kajian mengenai produk yang bakal dihasilkan tetapi juga mengkaji permintaan pasaran semasa serta keperluan pengguna. Jadi apa yang kami hasilkan memang dekat di hati wanita,” katanya. Kini produknya sudah memasuki pasaran Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Thailand.


SITI Nor Hasyimah ada kumpulan penyelidik sendiri supaya mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

SUAMI BERI SOKONGAN

Walaupun bertemu jodoh pada usia yang masih muda, pasangan suami isteri ini saling menjadi pelengkap di antara satu sama lain. Biarpun dihambat kesibukan sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, Siti Nor Hasyimah tidak pernah beranggapan ia halangan untuk berjaya.

“Saya bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami dan ringan tulang membantu sama ada dalam perniagaan dan urusan anak. Suami sentiasa ada bersama saya apabila saya memerlukan. Selepas melahirkan dua cahaya mata saya jadi lebih bersemangat kerana perniagaan yang dibina ini bukanlah semata-mata untuk bermewah sebaliknya memastikan anak-anak dan keluarga hidup selesa,” katanya.

Memiliki diploma pendidikan awal kanak-kanak, jelas wanita lembut dan kental jiwanya ini, hidup berniaga bukan semanis seperti yang dilihat di kaca televisyen. Mental perlu kuat, idea perlu kreatif selain mengorbankan masa dan tenaga demi mengejar cita-cita. Dalam perniagaan tindakan perlu cepat manakala keputusan harus tepat. Jika tersalah pilih akan mengakibatkan kerugian.

“Usahawan juga perlu berdepan persaingan. Walau apa juga situasi saya perlu bekerja keras memastikan sentiasa berada di hadapan. Saya juga perlukan kumpulan yang padu, setia dan seiring dengan visi syarikat.

“Ini kerana untuk berjaya memerlukan sokongan satu pasukan bukan seorang diri. Setakat ke hari ini saya sentiasa meletakkan diri dalam satu tahap yang tinggi agar saya tidak mudah melatah dan menyerah kalah. Di sinilah perlunya kematangan menguruskan bisnes walaupun usia saya baru mencecah 24 tahun,” katanya.

Bercerita mengenai Ramadan, sama seperti tahun sebelumnya jadual harian wanita ini sangat padat, terutama memenuhi program berbuka puasa bersama keluarga dan aktiviti keagamaan. Pada malam hari memang sudah jadi kewajipan untuk menunaikan solat Tarawih bersama suami.

“Pada masa sama saya juga merancang aktiviti meraikan anak yatim dan golongan fakir miskin. Tahun ini saya ingin memberi tumpuan kepada gelandangan dengan memberikan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur kerana komuniti mereka agak tercicir daripada pandangan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:00 AM