SEBANYAK 38 peratus daripada 16,650 tan sampah datang daripada isi rumah. FOTO: Syarafiq Abd Samad
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


SECARA purata sebuah keluarga terdiri daripada empat isi rumah membazirkan hampir satu kilogram (kg) makanan setiap hari. Jumlah ini meningkat 15 hingga 20 peratus pada Ramadan termasuk musim perayaan seperti Aidilfitri. Jumlah satu kilogram ini jika ditukarkan kepada ringgit ia bersamaan RM11 sehari, RM210 sebulan atau RM2,600 setahun.

Menjelaskan lebih lanjut, menurut Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS) Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Azrina Sobian, data yang diperoleh ini berdasarkan kajian pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) apabila melihat pertambahan dalam jumlah kutipan sampah pada hari-hari terbabit.

“Jika pembaziran ini dapat dielakkan, berapa banyak jumlah wang dapat dijimatkan seterusnya digunakan untuk keperluan lain,” katanya.

Walaupun secara teorinya ramai beranggapan penyumbang terbesar pembuangan sisa makanan adalah sektor perhotelan namun hakikatnya 38 peratus daripada 16,650 tan sampah datang daripada isi rumah, 25 peratus daripada pasar basah, diikuti restoran (23 peratus) manakala hotel hanya tujuh peratus.


PALING tinggi diletakkan pada tengah meja konsol. FOTO Supian Ahmad

Jenis makanan yang dibazirkan pula terdiri daripada dua bahagian iaitu 40 peratus sisa yang tidak boleh dielakkan seperti tulang, batang sayur dan kulit buah-buahan manakala 60 peratus sisa boleh dielakkan termasuk makanan luput tarikh, makanan rosak sebelum dimasak dan rosak sebelum dimakan.

“Sebenarnya untuk banyak jenis makanan tertentu jika kita faham kaedah pengurusannya ia tahan lama dan tidak perlu dibuang. Misalnya roti jika disimpan di dalam peti sejuk ia boleh dimakan walaupun sudah tamat tarikh luput. Begitu juga makanan yang sudah dimasak jika diuruskan dengan betul dapat dielak daripada rosak atau terus dibuang ke dalam tong sampah,” katanya.

Menolak andaian wanita menjadi penyumbang kepada pembaziran isi rumah, jelas Azrina semua individu termasuk suami, anak dan semua yang berada dalam rumah terbabit bertanggungjawab bagi memastikan pembaziran makanan tidak berlaku.

Dalam keluarga wanita dianggap sebagai pengurus rumah tangga. Jadi golongan itu lebih arif mengenai keperluan mereka sama ada makanan atau keperluan harian. Misalnya ketika membeli juadah berbuka sudah pasti ibu lebih tahu jenis makanan dan jumlahnya bergantung kesukaan anak. Jadi kebarangkalian untuk membeli terlalu banyak jarang berlaku.

“Namun hakikatnya disebabkan kurang berpengetahuan mengenai pengurusan makanan dan kreativiti dalam penyediaan menyebabkan makanan cepat basi dan rosak. Ada juga dibeli secara berlebihan terutama ketika tawaran murah sedangkan keperluannya hanya sedikit. Di sini pentingnya pendidikan kepada wanita supaya mereka dapat menggunakan apa yang dipelajari.

“Sekiranya kesedaran dan pendidikan dapat disampaikan kepada pengurus keluarga ini, ia boleh mengurangkan kadar pembaziran isi rumah,” katanya.

Mengandaikan wanita perlu bijak mendapatkan maklumat mengenai pengurusan makanan yang boleh diperoleh di Internet, menurut Azrina, ilmu ini perlu disertakan dengan kemahiran kerana kedua-duanya saling berkait. Pada masa sama wanita, isteri dan ibu perlu kreatif menjadikan lebihan makanan sebagai menu berbeza.

“Misalnya pelbagai jenis hidangan berasaskan nasi boleh dibuat seperti cucur, apam nasi, bubur dan nasi goreng. Ikan dan ayam lebihan semalam boleh dimasukkan ke dalam nasi goreng.

“Dalam hal ini pentingnya aspek perkongsian maklumat di media sosial sebagai salah satu kaedah penyelesaian masalah pembaziran makanan,” katanya.

KESAN PEMBAZIRAN

Di Malaysia kos yang dikeluarkan untuk menguruskan sampah sebanyak RM2 bilion, bayangkan sekiranya jumlah ini dapat dikurangkan sudah pasti ia dapat digunakan dalam sektor pendidikan dan keselamatan yang jauh lebih penting.

“Terlalu banyak wang terpaksa digunakan dalam hal pengurusan sampah. Apatah lagi kadar kitar semula di Malaysia hanya 22 peratus berbanding Jepun mencecah 98 peratus. Jika setiap individu memainkan peranan dalam hal pengurangan sampah sudah pasti kos pengurusan ini boleh dikurangkan,” katanya.

Ramai tidak tahu sampah yang tidak ditapis akan mengeluarkan gas metana atau gas rumah hijau. Walaupun jumlah dihasilkan ini sedikit berbanding karbon dioksida, kadar kekuatan metana 34 kali lebih tinggi sekali gus menyumbang kepada pemanasan bumi.

“Keadaan ini juga turut menyebabkan perubahan cuaca panas yang drastik, penghasilan bau kurang menyenangkan dan merosakkan estetika

alam,” katanya.


KETINGGIAN antara elemen untuk tentukan susunan barang. FOTO Supian Ahmad

Di luar negara seperti Syria dan Palestin, kekurangan makanan menjadi masalah terbesar terutama dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. Di Malaysia pula kajian yang pernah dijalankan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2018, ke atas responden yang menetap di rumah pangsa di Kuala Lumpur menunjukkan satu daripada 10 kanak-kanak makan kurang daripada tiga kali sehari.

“Data ini jelas menunjukkan masalah kekurangan makanan bukan hanya berlaku di luar negara sebaliknya di Malaysia sendiri. Ia turut menyebabkan tumbesaran terbantut kerana tidak mendapat nutrisi mencukupi,” katanya.

PANDUAN ELAK PEMBAZIRAN

1. Buat senarai pembelian selepas menyenaraikan barang yang perlu disediakan di rumah. Beli dalam jumlah yang diperlukan sahaja bergantung kepada isi rumah.

2. Jangan terpedaya dengan jualan murah dan membeli dalam jumlah yang banyak. Anda boleh berpakat dengan adik beradik atau jiran jika mahu membeli dalam jumlah banyak (kerana harganya yang lebih murah), supaya setiap orang mendapat bahagian masing-masing.

3. Makanan yang sudah siap dimasak perlu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu makanan yang perlu dimakan terus dan sebahagian lagi disimpan di bahagian sejuk beku.

4. Olah lebihan makanan menjadi menu baharu.

5. Kongsi makanan dengan orang lain. Jika ke bazar Ramadan dan anda mempunyai lebihan makanan berikan kepada jiran. Lebihan makanan juga boleh diberikan kepada haiwan seperti kucing, anjing atau burung.

6. Didik ahli keluarga supaya tidak membazir dan mengajar anak-anak mengenai cara menguruskan makanan. Cara terbaik adalah dengan mengurangkan penggunaan makanan.

Merujuk laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia terdapat tiga cara penyimpanan makanan iaitu penyejukan, pembekuan dan penyimpanan pada suhu bilik. Caranya adalah:

1. Simpan semua makanan dimasak di dalam bekas bertutup, beg plastik bertutup, dibungkus dengan plastik nipis atau kertas aluminium bagi mengurangkan pengeringan, pencemaran, perubahan bau dan tumpah.

2. Simpan makanan yang sudah dimasak di bahagian atas (sejuk beku) dan bahagian ini harus berbeza dengan bahan mentah. Ini kerana bahan mentah seperti daging dan sayur-sayuran mengandungi bakteria merbahaya yang boleh mencemarkan makanan yang sudah dimasak dan menyebabkan keracunan dan basi.

3. Simpan telur dan makanan yang berasaskan telur di bahagian yang lebih sejuk kerana suhu yang lebih rendah merencatkan pembiakan bakteria.

4. Bungkus sayur-sayuran dengan bekas plastik berlubang kerana ini akan mengurangkan kehilangan air dan untuk peredaran udara.

5. Letak sayur-sayuran dan buah-buahan di bahagian bawah peti sejuk bagi mengelakkan ia rosak oleh pembekuan.

ELAKKAN:

1. Untuk menyimpan makanan dalam tin yang sudah dibuka - Sebaliknya pindahkan makanan itu ke dalam bekas plastik atau kaca sebelum disimpan ke dalam peti sejuk. Ini bagi mengelak kandungannya bertindak balas dengan logam tin apabila terdedah ke udara.

2. Menyimpan makanan panas terus ke dalam peti sejuk - Makanan yang panas perlu disejukkan dulu bagi menghalang pertambahan kelembapan dan mengekalkan suhu di dalam peti sejuk.

3. Menyimpan daging, ikan dan ayam di dalam peti sejuk melebihi tiga hari kerana kandungan protein dan kelembapan yang tinggi di dalam makanan akan menggalakkan pembiakan bakteria dan menjadi busuk.

4. Menyimpan makanan atau lebihan makanan lebih dari lima hari kecuali jika disejukbekukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 5:00 AM