SENAMAN guna pemberat di rumah (guna botol) oleh jurulatih kecergasan, Nurina Mohamad.
6. TURUNKAN badan ke kiri dan ke kanan secara berselang seli. Posisi ini sangat baik untuk bahagian belakang.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


MEMILIKI tahap stamina yang baik ketika menjalani ibadat puasa sepanjang Ramadan antara perkara yang perlu dititikberatkan setiap individu supaya sentiasa kekal cergas sehingga ke sebelah malam.

Bagi memiliki tahap kesihatan yang baik selain tidak mengalami kesakitan badan ketika berpuasa, kita juga digalakkan untuk melakukan senaman secara rutin.

Ramai yang keliru adakah sesuai untuk bersenam ketika berpuasa namun jawapannya mudah iaitu setiap individu digalakkan untuk bersenam kerana ia mampu membuatkan tubuh anda kekal cergas.

Bahagian belakang badan terutama bahu antara bahagian yang sering mengalami kesakitan dan rasa lenguh terutama sekiranya individu itu tidak mengambil air secukupnya selain tidak melakukan senaman secara rutin.

Melalui teknik yang betul, bukan saja kesakitan pada bahagian belakang badan boleh diatasi dan dielakkan, malah pada masa sama boleh membina otot di bahagian terbabit.

Menurut jurulatih kecergasan bertauliah Nurina Mohamad, senaman untuk bahagian belakang penting dilakukan bagi memastikan individu itu mampu menjalani ibadat berpuasa dengan sempurna selain tampil cergas sepanjang masa.

“Ramai yang sakit belakang dan lenguh badan, namun perkara itu dapat diatasi dengan melakukan senaman yang betul.

“Namun diingatkan individu terbabit perlu mendapatkan teknik yang betul dalam senaman terlebih dulu bagi memastikan tidak berlaku kecederaan ketika bersenam,” katanya.

Menurut Nurina, Ramadan tidak menjadi penghalang untuk kita kekal sihat dan melakukan senaman bagi memiliki badan yang sihat.

“Ketika berpuasa, senaman boleh dilakukan pada malam hari iaitu selepas solat Tarawih dan ia tidak perlu dilakukan setiap hari, cukuplah secara konsisten dua atau tiga kali seminggu.

“Saya yakin dengan teknik senaman belakang yang betul, ia bukan saja mampu membantu individu itu tampil sihat, malah pada masa sama membina otot badan,” katanya.

LANGKAH DEMI LANGKAH


1. BERDIRI tegak sambil mengangkat dua tangan ke atas. 2. MASIH dalam posisi sama, buka dan tutup kedua-dua tangan sambil diangkat ke atas. FOTO: Hafiz Sohaimi

3. DALAM posisi menurunkan sedikit badan ke kanan diselang dengan menegak.

4. TURUNKAN badan dan tangan mencecah ke lantai.

5. TUKAR posisi ke kiri namun dalam pergerakan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 5:00 AM