WANITA hamil dalam keadaan sihat tidak menyebabkan risiko kepada bayi mereka. GAMBAR hiasan.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


BERPUASA penuh ketika hamil pastinya menjadi impian setiap wanita kerana peluang itu bukan datang setiap tahun.

Namun, tahap kekuatan diri dan kesihatan bayi yang dikandung kadangkala menjadi sebab mengapa ada di antara wanita hamil perlu berbuka.

Mengikut Mazhab Syafie, sekiranya dikhuatiri berpuasa itu akan memudaratkan ibu atau bayi atau kedua-duanya, ibu terbabit diwajibkan berbuka dan puasa itu boleh diganti kemudian hari.

Walaupun diberi kelonggaran, kajian perubatan mendapati 70 peratus daripada wanita Muslim yang hamil memilih terus berpuasa sepanjang Ramadan selagi mampu.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah berpuasa tidak mendatangkan risiko kepada bayi yang dikandung sedangkan si ibu tidak makan dan minum dalam tempoh lebih 10 jam?

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, ramai wanita yang hamil mengambil keputusan tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan bayi dalam kandungan.

“Bagi saya, selagi wanita yang hamil itu masih mampu berdiri dan menjalankan rutin kerja sehariannya, selagi itu dia mampu berpuasa kerana ibadat puasa tidak akan menyebabkan bayi mereka berada dalam bahaya.


DR Zubaidi Ahmad.

“Tidak dinafikan apabila seseorang ibu hamil tidak mengambil makanan atau minuman untuk jangka masa yang agak lama ketika berpuasa menyebabkan mereka menjadi lebih letih,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, hakikatnya, bayi dalam kandungan tidak akan mengalami kekurangan nutrisi walaupun ibu berpuasa.

“Bayi akan tetap mendapat nutrisi pemakanan kerana nutrisi itu bukan dibekalkan daripada makanan yang diambil tetapi daripada simpanan yang banyak di dalam hati.

“Namun, sekiranya wanita yang hamil berasakan diri mereka tidak sihat, pening, rasa hendak pitam, kabur penglihatan atau tanda membimbangkan, dinasihatkan segera berbuka dan dapatkan pemeriksaan doktor,” katanya.

Sekiranya ibu hamil mengalami tanda seperti di bawah perlulah segera berbuka:

1. Pening, pengsan, lemah atau letih. Cuba berehat selama setengah jam dan jika tiada perubahan segera hubungi doktor anda.

2. Loya atau muntah.

3. Sekiranya usia kandungan melebihi 20 minggu, perhatikan jika terdapat perubahan ketara pada pergerakan bayi anda (tidak bergerak /kurang menendang).

4. Berasa sangat dahaga atau air kencing berwarna gelap, berbau kuat dan kuantitinya pula sedikit. Ini adalah tanda dehidrasi.

5. Berat badan tidak bertambah atau berkurangan berat badan.

6. Rasa sakit seakan-akan sakit bersalin.

7. Sakit kepala atau demam.

TIPS PEMAKANAN UNTUK WANITA HAMIL

- Utamakan mengambil makanan yang berprotein tinggi seperti daging dan telur kerana protein boleh disimpan di dalam tubuh pada kadar yang lebih lama berbanding kumpulan vitamin yang lain.

- Banyakkan juga mengambil makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar supaya mampu menahan lapar.

- Jangan lupa mengambil vitamin tambahan ketika sahur bagi mengekalkan kesegaran badan sepanjang hari.

- Lewatkan bersahur. Kalau boleh, bersahurlah hingga ke saat-saat akhir imsak supaya anda tidak cepat berasa lapar pada siang hari.

- Usahakan untuk minum dua liter air masak selepas waktu berbuka hingga ke waktu imsak. Minum sedikit-sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan dehidrasi di siang hari.

- Jika anda penggemar kopi, hadkan pengambilannya kepada satu atau dua cawan saja. Ini kerana kafein dalam kopi bersifat diuretik, iaitu akan membuatkan anda kerap kencing.

- Pelbagaikan pilihan makanan berbuka dan sahur, sebaiknya pilih sajian sihat.

- Pilih makanan yang melepaskan tenaganya secara perlahan seperti karbohidrat kompleks, makanan tinggi serat, kekacang dan buah-buahan kering untuk membekalkan tenaga yang berpanjangan.

- Elakkan mengambil makanan yang banyak gula kerana ia akan meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat. Kemudian paras gula ini akan turun mendadak yang membuatkan anda berasa pening.

- Makan secara sederhana ketika berbuka. Makan perlahan-lahan. Tahan keinginan untuk makan banyak. Anda boleh makan lagi selepas menunaikan solat Tarawih atau antara solat Tarawih.

- Elakkan makan makanan berasid atau bergoreng (berminyak) yang boleh membuatkan anda mengalami masalah pedih ulu hati, terutama sebelum tidur.

- Wanita hamil yang berpuasa mungkin mengalami kesan sampingan seperti hipoglisemia (paras glukosa dalam darah yang lebih rendah daripada normal), ketosis dan dehidrasi.

- Risiko ini dikatakan meningkat jika berpuasa pada awal kehamilan (trimester pertama atau tiga bulan pertama) kerana biasanya pada fasa ini banyak berlaku komplikasi kehamilan yang kurang menyenangkan.

- Oleh itu, doktor tidak menggalakkan ibu yang berada pada fasa pertama kehamilan untuk berpuasa. Bagaimanapun, tiada satu nasihat yang seragam yang boleh digunakan oleh semua wanita hamil yang ingin berpuasa.

- Walaupun berasakan badan mereka dalam keadaan baik, ibu hamil yang ingin berpuasa dinasihatkan berjumpa doktor supaya doktor boleh memeriksa keadaan dan keupayaan anda untuk berpuasa.

- Namun, dalam keadaan tertentu, doktor akan melarang anda berpuasa sekiranya anda mengalami:

1. Kencing manis

2. Penyakit hati yang tidak berfungsi

3. Lelah yang teruk

4. Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal

5. Kehamilan kembar

6. Risiko kelahiran pra-matang

7. Masalah lain berkaitan kehamilan yang serius.


IBU hamil perlu berwaspada dengan keadaan diri ketika berpuasa.

USAH PAKSA DIRI JIKA ADA 5 TANDA

Kebanyakan wanita hamil berusaha untuk tetap berpuasa menjelang Ramadan namun diingatkan dalam Islam, diharuskan berbuka apabila ia dapat membahayakan kesihatan diri atau membahayakan kesihatan kandungan.

Dari segi kesihatan pula, rata-rata pakar perubatan bersetuju, ibu hamil dan kandungan yang sihat selepas trimester pertama boleh berpuasa jika hendak berpuasa namun sekiranya lemah atau loya hendaklah segera berbuka puasa.

Malah, jika anda berasa sihat tetapi terjadi tanda yang membimbangkan, sebaiknya dicadangkan berbuka puasa demi keselamatan.

Setiap ibu hamil diingatkan supaya jangan memaksa diri untuk berpuasa terutama sekiranya terjadi lima tanda-tanda ini.

1. ALAHAN YANG TERUK

Wanita yang berada pada awal fasa kehamilan ada kalanya mengalami masalah alahan yang teruk. Jika keadaan berlarutan sehingga menyebabkan kekurangan tenaga maka disarankan berbuka puasa.

Ini kerana apabila sudah muntah, tenaga daripada makanan yang diambil hilang dan boleh menyebabkan mudarat pada janin.

2. MENGALAMI DIABETES

Wanita mengandung yang mengalami Diabetes jenis I, II dan Gestasi perlulah berbincang dengan pakar perubatan dan pegawai dietetik berkenaan ubat dan diet yang sesuai semasa berpuasa. Sekiranya tidak memerlukan rawatan atau insulin, boleh berpuasa namun perlu mengawal dan memantau kandungan gula dan kesihatan diri.

Masalahnya yang sering terjadi bukanlah bacaan gula semasa berpuasa tetapi bacaan gula yang tinggi selepas berbuka, sebelum sahur dan selepas sahur.

3. DEMAM, RASA SEJUK, LEMAS, MENGGIGIL DAN BERPELUH

Jangan paksa diri untuk berpuasa ketika hamil sekiranya si ibu mempunyai masalah kesihatan seperti demam. Situasi lain yang perlu diambil berat oleh ibu hamil ialah apabila mengalami kandungan gula rendah dalam darah.

Jika badan mula berasa lemas, menggigil, berpeluh dingin dan pandangan kabur, maka dinasihatkan untuk berbuka puasa.

4. MASIH DALAM TEMPOH PENGAMBILAN UBAT

Sekiranya pengambilan ubat perlu dipatuhi untuk elakkan kemudaratan pada janin, adalah lebih baik untuk tidak berpuasa.

Namun sekiranya kesihatan anda normal dan ingin cuba untuk berpuasa ketika hamil, dapatkan pendapat daripada doktor untuk pengambilan dos yang lebih tepat sepanjang waktu berpuasa.

5. PERGERAKAN BAYI BERKURANG

Jika pergerakan janin berkurangan (selepas 28 minggu kehamilan), hendaklah berbuka puasa dan terus ke hospital untuk penilaian dan pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 4:30 AM