QISHA ZAIN. -Foto SADDAM YUSOFF
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


PERTEMUAN bersama wanita manis ini berlaku tanpa sengaja ketika dia sedang khusyuk melakukan siaran langsung di Facebook sambil mempromosikan satu jenama tudung.

Penulis yang ketika itu baru menjejakkan kaki memasuki butik terbabit untuk tujuan tugasan ralit melihat kepetahan wanita ini berkata-kata, dia juga bijak menyusun ayat sambil diselitkan lawak jenaka membuatkan siaran langsung dikendalikannya itu lebih ‘bernyawa’ dan berjaya menarik kunjungan ramai pelayar Facebook.

Selesai tugasannya, anak kelahiran Simpang Tiga Sungai Limau, Kedah ini tanpa segan silu terus menyapa penulis walaupun ketika itu kami tidak mengenali antara satu sama lain.

Mengenali pemilik nama Qissha Zain, 34, membuatkan penulis kagum dengan semangat dirinya yang sanggup melakukan apa saja demi menjana pendapatan dengan cara halal.

Qissha mengakui sifatnya yang mudah mesra dan sangat suka bercakap menjadikannya perlu bijak mencari ruang dan peluang menggunakan bakat dianugerahkan Yang Maha Esa.

Memulakan bicara, Qissha yang juga seorang ‘influencer’ media sosial Facebook berkata, dia berusaha mencari bidang kerjaya yang sangat dekat dengan dirinya bagi memastikan apa yang dilakukan itu dapat dilakukan sebaik mungkin.


“Siapa yang mengenali saya tentu tahu saya memang sangat suka bercakap, atas sebab itu saya cuba gunakan sebaik mungkin bakat itu untuk mencari kerjaya yang sesuai dengan diri ini.

“Apabila mula ditawarkan untuk membuat siaran langsung sambil mempromosikan produk, saya pada mulanya seperti teragak-agak adakah saya mampu lakukannya namun tetap berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Menurut Qissha, lama-kelamaan dia semakin biasa dan sangat teruja dengan kerjayanya bergelar ‘influencer’ Facebook.

“Walaupun mungkin ramai yang menganggap kerjaya ini mudah, hakikatnya tidak sama sekali, bayangkan selain bercakap saya perlu pastikan pelayar Facebook akan terus bersama sehingga siaran langsung itu berakhir.

“Pada masa sama, saya juga perlu menerangkan mengenai produk yang ingin diperkenalkan, keistimewaan, cara menggunakan serta apa saja yang berkaitan selain turut perlu menjawab soalan diajukan dengan yakin,” katanya.


Katanya, disebabkan itu, dia perlu membuat perancangan teliti sebelum melakukan apa juga siaran langsung supaya semuanya berjalan dengan baik.

“Saya perlu memahami dan meneliti produk yang ingin diterangkan terlebih dulu, perlu memikirkan peraduan sesuai boleh dijalankan ketika itu selain teknik tertentu untuk menarik perhatian orang ramai terutama generasi muda yang banyak melayari Facebook.

“Saya selalu mengingatkan kepada diri sendiri supaya rajin mencari maklumat mengenai produk yang ingin dipromosikan supaya semuanya berjalan lancar terutama apabila orang ramai mula mengajukan soalan,” katanya.

BUANG RASA MALU

Kata Qissha, walaupun tidak memegang jawatan besar di syarikat ternama, dia tetap berbangga dengan kerjayanya itu.

“Bagi saya setiap kerjaya itu ada keistimewaan dan dugaannya tersendiri asalkan ia dilakukan sebaik mungkin dengan hati yang ikhlas.

“Saya dididik untuk lakukan apa saja dengan sehabis baik dan itulah yang saya terapkan dalam kerjaya ini. Memang seronok apabila apa yang kita lakukan dipuji orang ramai namun lumrah hidup, tidak semuanya dapat dilakukan dengan mudah. Saya juga tidak terkecuali berdepan dugaan terutama apabila ada yang menganggap kerjaya ini tidak profesional,” katanya.

Qissha berkata, walaupun berdepan dugaan, dia tetap seronok terutama apabila berinteraksi bersama pelayar Facebook.


KOMITED untuk melakukan terbaik sebagai ‘influencer’ Facebook.

“Bagi saya, asalkan apa yang dilakukan itu halal dan tidak membebankan sesiapa maka tiada masalah yang perlu difikirkan.

“Saya sangat bersyukur dikurniakan bakat ini kerana melaluinya mampu menjana pendapatan sendiri tanpa menyusahkan orang lain. Saya juga tekad memperbaiki setiap kelemahan dan kekurangan diri daripada semasa ke semasa supaya setiap siaran langsung yang dikendalikan berjalan lancar,” katanya.

Katanya, dia juga bersyukur kerana keluarga dan rakan terdekat banyak memberi sokongan dan semangat kepadanya untuk terus melakukan yang terbaik.

“Kepada generasi muda, jangan sesekali memilih pekerjaan, lakukan apa saja yang boleh mendatangkan pulangan asalkan ia dengan cara yang betul.

“Bersyukurlah dengan setiap ketentuan yang ditakdirkan kepada anda kerana di sebaliknya pasti ada sinar kebahagiaan yang menanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 6:30 AM