PUPUR kopi membantu menyegarkan wajah dan melancarkan perjalanan darah. GAMBAR hiasan
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


CANTIK semula jadi idaman ramai wanita. Namun, kekurangan pada kulit wajah menuntut kita bergantung kepada penggunaan alat solek untuk tampil menawan.

Sesuai dengan fungsi mekap yang mampu menutup kesan cela pada wajah, ada banyak kaedah solekan yang boleh dipraktikkan supaya bersesuaian dengan penampilan, suasana, majlis dan busana.

Lazimnya, solekan nipis menjadi pilihan untuk keluar bersantai bersama rakan dan keluarga. Solekan kemas pula disesuaikan dengan rutin ke pejabat, manakala tatarias bertema untuk majlis tertentu.

Tidak kira apapun tujuannya, pemakaian alat solek sudah menjadi antara kemestian untuk wanita tampil sempurna di khalayak umum. Oleh itu, usah abaikan kaedah penjagaan wajah selepas seharian mengenakan mekap.


RESIPI ringkas penanggal solekan untuk dapatkan kulit wajah bersih dan segar.

Perhatikan perubahan kulit wajah sama ada terdapat liang pori yang tersumbat, bintik jerawat mahupun kedutan halus, kesan daripada kulit kering. Beri perhatian sama ada mendapatkan rawatan khusus di spa atau rawat sendiri di rumah.

Berikut antara resipi ringkas penanggal solekan dan pupur untuk mendapatkan kulit wajah bersih dan segar biarpun selepas menggunakan mekap untuk tempoh lama.

PENANGGAL SOLEKAN

Bahan-bahan

- 1 sudu madu

- Sepotong lemon

- 1 sudu air mawar

- 1 sudu soda bikarbonat

Caranya

- Campurkan semua bahan.

- Gaul sehingga larut.

- Sapukan pada wajah dan biar seketika.

- Bersihkan muka menggunakan span wajah.

- Bilas muka dengan air bersih.

PUPUR KOPI SUSU

Bahan-bahan

- 1 sudu serbuk kopi (halus)

- Sedikit susu rendak lemak

- Minyak kelapa dara

Caranya

- Campurkan serbuk kopi, susu segar dan tiga titis minyak kelapa dara.

- Gaul sebati sehingga ia menjadi pes yang pekat.

- Gunakan sudu untuk mengoles pupur ke wajah.

- Elakkan daripada mengoles pupur di bahagian mata dan bibir.

- Biarkan pupur kering dalam 15 hingga 20 minit dan bilas dengan air suam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:00 AM