KURUNG moden dari fabrik broked disuai padan dengan kurta senada. FOTO: Salhani Ibrahim
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


TAMPIL sedondon pada pagi raya ibarat satu kemestian buat pasangan suami isteri. Apa lagi ketika memenuhi jemputan rumah terbuka, berkunjung ke rumah saudara dan rakan terdekat. Tentu busana senada atau perincian sepadan yang menjadi pilihan.

Selain tampak segak dan menawan, busana sedondon sebenarnya mencerminkan keharmonian rumah tangga, nilai kasih sayang dalam perhubungan, kesepakatan serta kemeriahan menyambut lebaran.

Mewarnai dunia fesyen sempena kedatangan Aidilfitri kali ini, AlteliaAmani tampil dengan koleksi sedondon buat pasangan sehati sejiwa. Tidak terhad kepada pilihan kurung dan baju Melayu, jenama ini menghimpunkan busana pelbagai gaya untuk memenuhi keperluan semua.

Pemilik jenamanya, Mohamad Farid Omardin berkata, koleksi tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya berikutan menyediakan 22 pilihan warna merangkumi terang hingga rona pastel.

“Bagi koleksi Far8 Raya 2019, kami ada baju Melayu potongan jaket dan lima rekaan kurta. Semua baju Melayu dihasilkan dari fabrik Italian Paloma yang selesa dipakai, walaupun dalam keadaan cuaca panas atau hujan.

“Untuk memudahkan padanan sedondon buat pasangan, kami sediakan pilihan warna yang pelbagai. Setiap baju Melayu juga didatangkan khas bersama butang kristal dan sapu tangan,” katanya.

Memenuhi keinginan lelaki yang sukakan gaya ringkas, Mohamad Farid berkata, pihaknya turut menyediakan set kurta sepasang dari fabrik kapas Jepun dengan pilihan warna berbeza.

“Selain itu, kami juga ada lima rekaan kurta dengan perbezaan perincian pada bahagian leher dan potongan baju. Kurta ini tersedia dalam 15 warna berbeza dan sesuai dipadankan untuk gaya kasual, menghadiri rumah terbuka mahupun ke pejabat.


PADANAN baju Melayu dengan kurung moden ringkas.

“Sekalipun koleksi kurta ini mengikut potongan tubuh, namun kami masih menitikberatkan soal etika dan nilai sopan dalam pemakaian. Lebih utama, ia juga mesra wuduk, tidak perlu digosok dan tampak ringkas.

“Bagi koleksi wanita pula, kami sediakan 14 rekaan yang setiap satunya menawarkan empat pilihan warna berbeza. Uniknya, sejak dulu kami sediakan pilihan busana klasik, minimalis dan rekaan mewah.

“Jadi, semua koleksi ini tidak terhad hanya kepada wanita moden, bahkan menepati kehendak mereka yang mahu kelihatan elegan, ringkas dan bercita rasa tinggi dalam fesyen,” katanya.

Jelas Mohamad Farid, antara yang diketengahkan dalam koleksi lebaran tahun ini adalah kurung moden dengan pelbagai potongan dan perincian serta kurung pesak.

“Tahun lalu kurung moden kami banyak menggunakan potongan lengan kembang. Bagaimanapun, kali ini kami banyak menggunakan perincian ropol, ukuran lengan yang lebih kemas dan kembang bercekak longgar di hujung.

“Fabrik pilihan pula lebih kepada jenis broked, sutera krep, sutera bercorak, sifon berlisu dan ropol. Untuk busana mewah, kami juga sediakan kerongsang di samping perincian manik dan bunga tiga dimensi (3D),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:30 AM