HAMIDAH pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro di Puchong. FOTO: Halimaton Saadiah
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kasih ibu membawa ke syurga. Itu perumpamaan tepat menggambarkan wanita bergelar ibu yang sanggup berkorban jiwa dan raga serta bergadai nyawa demi memastikan anak dilahirkan membesar menjadi insan berjaya. Kemiskinan hidup tidak pernah menjadi halangan buat wanita tabah ini membesarkan enam anaknya dengan didikan sempurna. Tidak mahu terus dibelenggu kepompong kemiskinan, wanita ini sanggup memerah keringat dan bergolok gadai bersama suami untuk melihat semua anaknya ke menara gading.

Impian itu nyata bukan omongan kosong apabila hampir semua anak mereka kini berkecimpung dalam kerjaya profesional dan ada antara mereka kini bergelar profesor madya di universiti awam.

Kisah suri rumah, Hamidah Seman, 63, menjadi inspirasi buat ramai ibu bapa yang pernah dihimpit kesukaran dan cabaran hidup. Tiada yang mustahil asalkan diri mahu berubah, sekali gus mengubah nasib hidup. Malah kisah kehidupan Hamidah yang diceritakan anak sulungnya, Prof Madya Dr Hasfalina Che Man melayakkan ibunya itu memenangi Anugerah Ibu Mithali Harian Metro 2019 sempena Majlis Raikan Kasih Ibu di Hotel Four Points by Sheraton, Puchong, baru-baru ini.

Berkongsi suka duka kehidupannya, Hamidah mengakui pengalamannya membesarkan anak dalam kehidupan serba kekurangan tidak pernah menjadikannya lemah, sebaliknya dia semakin kuat mahu memberikan yang terbaik buat semua permata hatinya itu.

Hamidah berkata, suaminya, Che Man Che Pa, 67, yang ketika itubertugas sebagai penyelia ladang kelapa sawit FELDA di pedalaman Gua Musang, Kelantan terpaksa berjauhan dengannya dan anak mereka. Memandangkan

mereka menetap di Kota Bharu dan anaknya bersekolah di situ.

“Jarak perjalanan yang jauh menyebabkan suami hanya sekali seminggu dapat pulang menjenguk kami, jadi saya terpaksa menggalas tanggungjawab membesar dan mendidik anak bersendirian.

“Gaji suami kecil, dia terpaksa berulang-alik ke Kota Bharu setiap minggu. Jika hendak berpindah ke Gua Musang, persekolahan anak pula menjadi cabaran besar kerana hendak keluar dari FELDA itu terpaksa menempuh perjalanan yang jauh,” katanya.

Kehidupan mereka bertambah sempit apabila empat orang anaknya memasuki sekolah berasrama penuh dan gaji suaminya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka.

Ketika itu, Hamidah sanggup bersengkang mata membuat kuih-muih untuk dijual bagi menambah pendapatan namun berapa sangat yang mampu diperolehnya.

“Ada ketika hanya ada RM1 dalam simpanan untuk perbelanjaan selama seminggu dan saya terpaksa pergi ke kedai minta berhutang dan meminjam jiran barang keperluan ketika kesempitan,” katanya.

Menurutnya, bukan sekali bahkan dia kerap meminjam daripada jirannya kerana gaji suami yang hanya bekerja di FELDA Gua Musang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Bagaimanapun, dia bersyukur mempunyai jiran yang amat memahami kehidupan mereka sekeluarga. Bukan sekadar perbelanjaan sekolah anak yang menjadi kesulitan, hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang.

CABARAN BESAR SEKOLAHKAN ANAK

Segala kesusahan dialami Hamidah dan suami terbalas apabila semua zuriat cemerlang dalam pelajaran makan petang. Hamidah beruntung kerana biarpun hidup dalam serba kesusahan, semua anaknya cemerlang dalam pelajaran.

Tiga anaknya bersekolah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) iaitu Hasfalina di MRSM Taiping, Mohd Hairy (MRSM Beseri) dan Mohd Hasrizam (MRSM Balik Pulau) manakala Mohd Hasnan di Sekolah Menengah Sains Gong Badak.

Kini anaknya meraih kejayaan dengan memegang jawatan profesional dengan anak sulung, Hasfalina, 42, sebagai pensyarah; anak kedua, Mohd Hairy, 40, sebagai jurutera projek; anak ketiga, Mohd Hasnan, 39, sebagai jurutera operasi; anak keempat, Mohd Hasrizam, 33, kini di tahun akhir pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) Kejuruteraan Aeronotik; anak kelima, Siti Fatihah, 31, memiliki perniagaan sendiri dan anak bongsu, Mohd Amir Hafidz, 23, di tahun akhir ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik.

Sementara itu, Hasfalina yang menemani ibunya pada majlis berkenaan mengakui pengorbanan ibunya untuk keluarga tidak ternilai dengan wang ringgit, hanya kejayaan dia dan adik-adiknya yang lain sebagai ‘hadiah’ buat usaha dan penat lelah ibu bapanya selama ini.


KENANGAN Hamidah dan Che Man bersama sebahagian keluarga ketika bercuti.

Menurutnya, masih segar dalam ingatannya bagaimana ibunya bertungkus-lumus memastikan mereka adik beradik mendapat keperluan mencukupi dengan mengetepikan keperluannya sendiri.

“Pernah juga ibu terpaksa menjual barang kemas iaitu seutas rantai yang satu-satunya milik ibu. Kadangkala ibu juga terpaksa berhutang dengan jiran. “Tapi ibu tidak kisah dengan keperluan dirinya asalkan anak-anak tidak terabai dalam pelajaran.

Berkat doa ibu, enam anaknya berjaya ke menara gading. Alhamdulillah,” katanya. Hasfalina dan ibunya turut merangkul hadiah utama iaitu pakej umrah tajaan Persada Global dan mereka berhasrat untuk menunaikan umrah pada Oktober ini.

Menurutnya, ibunya pernah diuji dengan penyakit ketumbuhan di dalam sinus hidung dan sudah tiga kali menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu pada tahun yang berbeza. Kali ini katanya, wanita itu diuji lagi dengan ketumbuhan berkenaan yang mula merebak ke sinus lain dan akan menjalani pembedahan untuk kali keempat.

“Mudah-mudahan dengan kunjungan umrah kali ini, ibu sembuh sepenuhnya tanpa perlu pembedahan lagi. Semoga Allah menyembuhkan ibu kami dan membalas segala jasa ibu dengan kebaikan untuknya,” katanya. Dalam pada itu, Hasfalina turut berkongsi pengalaman mereka adik-beradik yang tidak mungkin terpadam dalam ingatan iaitu peristiwa ayah mereka hampir lemas ketika cuti sekolah pada Disember 1988.

“Kami adik-beradik pergi ke tempat ayah bekerja di Gua Musang yang ketika itu musim banjir. Ketika ayah pergi bekerja, air sungai sudah sampai ke tebing, jadi ayah terpaksa menaiki bot untuk menyeberangi sungai.


PERSEDIAAN Hamidah dan Che Man sebelum berangkat menunaikan haji pada 2014.

“Ketika ayah berada dalam bot, tiba-tiba bot itu terbalik dan ayah terjatuh ke dalam sungai dan hanyut. Ayah tidak tahu berenang, namun syukur Alhamdullilah, dia dapat berpaut pada dahan pokok dan terselamat.

“Kejadian hitam ini memberi kesan buat kami agar sentiasa beringat dan berbakti kepada ibu dan ayah selagi hayat mereka masih ada.

“Pengorbanan ibu dan ayah yang sanggup berpisah jauh demi mencari nafkah dan memberi pendidikan

terbaik untuk kami akan sentiasa dikenang untuk selama-lamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 5:00 AM