BAGI yang kurang arif, pilih bedak asas sedikit kekuningan kerana ia sesuai semua jenis kulit.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


KEBANYAKAN wanita menggunakan bedak asas dalam solekan harian namun berapa ramai yang tahu secara tepat kod ton atau jenis bedak asas yang sesuai dengan kulit wajah?

Dalam hal ini, sangat penting untuk mengetahui jenis bedak asas yang sesuai bagi membolehkan sapuan tepat dilakukan pada wajah selain mengelakkan penampilan kelihatan janggal, terlalu gelap atau terlalu cerah.

Umum mengetahui di pasaran ada tiga jenis bedak asas iaitu dalam bentuk cecair, krim dan bedak padat.

Menurut jurusolek profesional yang juga penata rias, Helina Isa, bedak asas cecair adalah paling popular kerana ia bersifat lembut, paling mudah digunakan dan sesuai untuk semua jenis kulit terutama kulit kering.

“Bedak asas krim pula sesuai untuk kulit bermasalah kerana ia tidak melekit dan mengeluarkan minyak. Walaupun bedak asas jenis ini sedikit pekat, ia mudah dipakai.

“Elakkan memakai secara berlebihan kerana ia mudah diserap terus oleh kulit. Wanita dinasihatkan menyapu bedak asas secara berhati-hati bagi mengelak warna kulit menjadi tidak sekata,” katanya.

Menurutnya, bedak padat pula sesuai untuk semua jenis kulit normal dan sedikit berminyak. Bedak asas jenis ini tidak perlu dicampur dengan bedak lain kerana ia gabungan bedak asas dan bedak.

CARA PILIH BEDAK ASAS

Menurut Helina, wanita digalakkan memilih bedak asas paling hampir dengan ton kulit supaya wajah tidak bertompok atau kelihatan lebih putih dan gelap daripada ton sebenar.

“Setiap kali membeli bedak asas, anda dinasihatkan mencuba dulu untuk melihat kesesuaiannya pada kulit. Elakkan membeli menerusi dalam talian kerana warna yang ditunjukkan tidak sama dengan warna sebenar kecuali sekiranya anda mengetahui kod warna.

“Langkah terbaik, pilih di butik yang menjual jenama bedak asas itu kemudian sapukan pada bahagian kulit wajah dan bukan di kulit tangan kerana warna kulit belakang tangan tidak sama dengan rona sebenar wajah anda,” katanya.

Menurutnya, sekiranya masih tidak tahu warna sebenar, pilih rona yang seakan-akan sama dengan kulit atau sedikit cerah. Namun bagi yang kurang arif, pilih bedak asas sedikit kekuningan kerana ia sesuai untuk semua jenis kulit.

“Bagi wanita berkulit cerah, pilih bedak asas sedikit merah jambu, wanita berkulit gelap digalakkan memilih bedak asas coklat atau tembaga manakala mereka yang berkulit perang sesuai memakai bedak asas coklat keperangan.

“Tidak salah bertanya kepada individu yang arif mengenai aspek ini daripada anda tersalah pilih rona bedak asas yang akhirnya mencacatkan penampilan keseluruhan wajah,” katanya.


BEDAK asas perlu sesuai dengan kulit.

TEKNIK SAPUAN TEPAT

Untuk membuat sapuan, Helina berkata, kebanyakan wanita memilih menggunakan berus atau span, namun ada juga yang selesa menggunakan jari.

“Apa juga yang digunakan, pastikan wajah bersih daripada peluh dan minyak bagi mengelak solekan tidak tahan lama disebabkan kulit berminyak dan kelihatan tidak sekata.

“Untuk sapuan di sekitar mata, lakukan dari luar atau ekor mata ke dalam dengan cara bulatan. Sapuan membulat dari luar ekor mata sehingga pelupuk mata bertujuan memberikan kesan sekata.

“Sapuan yang betul perlulah dengan cara ke atas atau menarik ke arah luar kiri dan kanan dan bukan menarik ke bawah bagi mengekalkan awet muda,” katanya.

TIP SAPUAN BEDAK ASAS

Gunakan span atau hujung jari. Jika inginkan sapuan nipis tetapi menggunakan bedak asas yang tebal, basahkan span dengan pelembap atau sedikit air.

Gunakan penyamar noda terlebih dulu terutama untuk parut, kesan jerawat atau bintik hitam, selepas itu sapu bedak asas supaya seimbang.

Lindungi mata yang sembap dengan sapuan bedak asas di sekitar mata. Gunakan warna yang lebih cerah kemudian ratakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 4:30 AM