AKTIVITI mengikat getah bersama ibu dan anak. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


BERKALI-KALI penulis menyeka air mata saat mendengar kisah inspirasi calon Anugerah Ibu Mithali di pentas utama Majlis Minum Petang Hari Ibu-Harian Metro, Rabu lalu. Kisah diceritakan si anak di hadapan ratusan tetamu.

Umpama mendung diiringi hujan, begitu jugalah sebaknya perasaan apabila kenangan susah payah dibesarkan ibu, diputarkan kembali dalam suasana hening dewan.

Ibu adalah wanita besi. Kasihnya tidak berpenghujung, sayangnya tidak berpenghalang. Oleh itu, khabarkan saja kisah inspirasi mana-mana ibu di dunia ini, tentu sebak dan hiba singgah, mengenangkan jasa serta pengorbanan mereka.

Itu sebahagian kemuncak program Majlis Minum Petang Hari Ibu-Harian Metro sempena sambutan Hari Ibu yang diadakan di Four Points by Sheraton Puchong, baru-baru ini.

Majlis bermula dari jam 2 hingga 6 petang itu menampilkan pelbagai acara menarik termasuk perkongsian ilmu keibubapaan daripada Pakar Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad dan aktiviti solekan dan ikat getah yang mencuit hati.

Sambil menjamu hidangan enak disediakan cef Hotel Four Points by Sheraton sebagai rakan penaja, tetamu turut dihiburkan dengan celoteh pengacara majlis, Azrul Raja Lawak dan penampilan istimewa penyanyi terkenal, Siti Nordiana serta Syamel.

Berucap pada majlis berkenaan, Ketua Pengarang Eksekutif Pengeluaran Harian Metro, Ahmad Shukri Sulaiman berkata, jasa ibu tiada tandingan dan mesti dihargai selagi nyawa dikandung badan.

“Kasihnya ibu sepanjang masa. Tiada yang dapat menggantinya walau dengan apa pun. Kasih ibu lahir dari hati yang tulus ikhlas, tanpa mengharap balasan. Hamparan seribu mutiara di lautan dan longgokan emas setinggi gunung sekali pun tak cukup untuk membalas jasa ibu.


PEMENANG Anugerah Ibu Mithali Harian Metro, Hamidah Seman.

“Pengorbanan ibu mengatasi segala-galanya. Ranjau, onak dan ombak gelora diredah dalam kepayahan mengandung, melahirkan, menyusukan serta bersengkang mata membesarkan zuriat mereka.

“Selepas anak dewasa, ibu tetap menjadi rujukan utama dalam segala hal. Ibulah tempat berkongsi suka duka ketika anak merentasi ranjau perjalanan destinasi dunia mereka. Ibulah insan yang sentiasa memberi sokongan dalam apa jua keadaan. Ibu sentiasa meletakkan kepentingan anak dan keluarga melebihi dirinya.

“Sebab itulah martabat ibu begitu tinggi. Beruntunglah mereka yang masih mempunyai ibu. Belailah dan layan mereka apabila ada kesempatan. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kita sejak kita kecil,” katanya.

Kata Ahmad Shukri, pihaknya berbesar hati mengadakan Sambutan Hari Ibu bertemakan Raikan Kasih Ibu buat kali kelima, selepas yang terakhir pada 2012.

“Walaupun tanpa majlis besar, akhbar ini sentiasa menyokong kempen dan sambutan Hari Ibu menerusi penulisan artikel, berita mahupun rencana. Istimewanya, tahun ini, sambutan hari ibu diadakan sempena sambutan ulang tahun Harian Metro ke-28.

“Kami terharu dengan kerjasama penaja bersama iaitu Hotel Four Points by Sheraton Puchong; rakan penaja, Persada Global Holidays, Air Asia, Carissa Collections Sdn Bhd, Spa Skin Valet Ampang, Khalifah Jewels, Pandora, Wardah Beauty, Rumah Kebaya Bangsar, Schatzs, AEON, Mamee, D&D Beauty House, Shopee dan Nusantara Touch.


ANTARA yang hadir Raikan Kasih Ibu.

“Selain itu, kami turut menghargai sokongan Universiti Malaysia Kelantan, Sunway Berhad, Bina Mutiara Global Sdn Bhd, Platinum PR Sdn Bhd, Acorn Communication Sdn Bhd, Meeracle, Prasarana Malaysia Berhad, Universiti Teknologi Malaysia, Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd, Eila Catering, Tenaga National Berhad, Teraju Construction Sdn Bhd, DSR Medical Group Sdn Bhd dan Hospital Pakar Avisena.

“Turut menyumbang untuk program ini adalah Carlo Rino, Skop Productions Sdn Bhd, Koperasi Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (KOWAJA), Metro IVF dan C Creative Communications. Tanpa mereka, program diatur mungkin tidak dapat berjalan lancar,” katanya.

Majlis dirasmikan Presiden Peniagawati Datuk Azlin Ahmad Shaharbi. Hadir sama, Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong Lee Eu; Pengarang Eksekutif Berita dan Digital Harian Metro, Noor Sham Saleh dan Eksekutif Perhubungan Awam Hotel Four Points by Sheraton Puchong, Aqil Mansiz.

Anugerah Ibu Mithali disandang Hamidah Seman dari Bangi, diikuti tempat kedua, Fatimah Masrun dan ketiga Noraini Abu Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:00 AM