ELAKKAN berpuasa jika terdapat tanda berbahaya. GAMBAR hiasan
HM Digital
am@hmetro.com.my


SETIAP kali tibanya Ramadan, pasti ada pelbagai coretan di media sosial yang mengingatkan ibu hamil dan menyusukan bayi supaya tidak sewenang-wenangnya meninggalkan puasa.

Bagi ibu berpengalaman, coretan sedemikian mungkin tidak mendatangkan sebarang kesan kepada diri berikutan sudah tahu membezakan situasi yang membolehkan mereka meninggalkan puasa atau meneruskan kewajipan seperti biasa.

Namun, bagi ibu muda atau mereka yang pertama kali hamil, sindiran, peringatan dan nasihat yang tular di media sosial boleh mengganggu emosi. Tentunya golongan ibu hamil bimbang dengan keadaan diri dan bayi menjelang Ramadan.

Sekalipun semangat berkobar untuk meneruskan puasa, namun mereka sukar untuk menghentikan perasaan risau. Lazimnya, tahap kekuatan diri dan kesihatan bayi dalam kandungan yang menjadi fokus utama. Ditambah lagi dengan cakap-cakap orang dan komen negatif di media sosial, keadaan ini secara tidak langsung mencipta lebih banyak tekanan buat kebanyakan wanita hamil.

Pensyarah Kanan Akademi Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Zilal Saari berkata, dalam menangani isu ini, wanita hamil atau sedang menyusukan bayi seharusnya mengambil rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Islam.

“Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri sebelum ini sudah menjelaskan bahawa, perempuan hamil dan menyusukan dibolehkan berbuka puasa dalam dua keadaan saja iaitu; kalau semata-mata

kerana bimbang diri sendiri, bolehlah dia berbuka dan qada sahaja atau kalau kasihankan janin dan juga anak yang disusukan, maka bolehlah dia berbuka dan membayar fidyah.


DR Zilal

“Rukhsah ini menunjukkan Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada umatnya. Ia tidak memberatkan umatnya di luar kemampuan. Dalam kehidupan wanita, kita sedia maklum bahawa ibu yang melalui fasa hamil, pasti akan melalui fasa menyusu pada tahun berikutnya.

“Kemudian, tahun berikutnya mungkin hamil kembali. Jadi, bolehlah ibu hamil mengambil rukhsah dengan panduan yang ditetapkan oleh Islam. Pahala seorang wanita yang hamil dan menyusukan bayi tetap tercatat sebagai amal soleh,” katanya.

Berikut panduan ringkas buat ibu hamil. Mereka yang mengalami tanda seperti berikut, perlu SEGERA BERBUKA dan jangan memaksa diri untuk meneruskan puasa;

1. Pening, pengsan, lemah atau letih. Cuba berehat selama setengah jam dan jika tiada perubahan segera hubungi doktor.

2. Loya atau muntah.

3. Sekiranya usia kandungan melebihi 20 minggu, perhatikan jika ada perubahan ketara pada pergerakan bayi anda (tidak bergerak atau kurang menendang).

4. Berasa sangat dahaga atau air kencing berwarna gelap, berbau kuat dan kuantitinya sedikit. Ini tanda dehidrasi.

5. Berat badan tidak bertambah atau berkurangan.

6. Rasa sakit seakan sakit bersalin.

7. Sakit kepala atau demam.


AMALKAN pemakanan berserat tinggi sepanjang bulan puasa.

PANDUAN PEMAKANAN

Tip pemakanan yang boleh diamalkan bukan saja pada wanita hamil, tetapi pada semua wanita yang ingin kekal bertenaga ketika berpuasa:

- Utamakan pengambilan makanan berprotein tinggi seperti daging dan telur kerana protein boleh disimpan di dalam tubuh pada kadar lebih lama berbanding kumpulan vitamin yang lain.

- Banyakkan makanan berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar supaya mampu menahan lapar.

- Jangan lupa mengambil vitamin tambahan ketika sahur bagi mengekalkan kesegaran badan sepanjang hari.

- Lewatkan bersahur. Kalau boleh, bersahurlah hingga ke saat akhir imsak supaya anda tidak cepat lapar di siang hari.

- Usahakan untuk minum dua liter air masak selepas waktu berbuka hingga ke waktu imsak.

- Minum sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan dehidrasi pada siang hari.

- Pelbagaikan pilihan makanan berbuka dan sahur, sebaiknya pilih sajian sihat.

- Makan sederhana ketika berbuka dan makan perlahan-lahan.

- Elakkan makanan berasid atau bergoreng yang boleh membuatkan anda mengalami masalah pedih ulu hati, terutama sebelum tidur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 4:30 AM