BERI pendedahan awal kepada anak seawal usia tiga tahun mengenai keseronokan bersekolah. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


MUNGKIN ramai yang bersetuju kanak-kanak era kini dilihat jauh lebih matang dan bijak mengawal emosi. Seharian berada di rumah pengasuh atau taska dengan perhatian penjaga yang terbahagi kepada ramai rakan sebaya atau adik yang lebih kecil namun mereka mampu bertahan dan boleh menyesuaikan diri sehinggalah dijemput pulang waktu petang.

Walaupun hanya berusia lima tahun, mereka sudah boleh menguruskan diri dengan baik, lebih mengujakan apabila ramai yang sudah mula melalui rutin harian padat seawal jam 8 pagi dan berakhir hingga ke lewat malam.

Mengikuti kelas tadika diikuti satu persatu kelas tambahan lain membuatkan kehidupan kanak-kanak ini sama sibuk seperti golongan dewasa.

Situasi ini sama sekali berbeza dengan kanak-kanak era 80-an dan 90-an namun hasilnya generasi kini dilihat lebih bersemangat dan berani dalam kehidupannya.

Sesetengah ibu bapa menganggap ia antara langkah terbaik bagi mendisiplinkan anak namun ada pula yang berasa terlalu kasihan terutama apabila melihat si kecil kepenatan dengan rutin harian padat.

Namun tanpa sedar pendedahan awal dan tepat dilakukan ibu bapa ini membuatkan mereka lebih bersikap terbuka dan mampu berdikari seawal usia lima tahun.

Perubahan ini ternyata satu perkembangan positif yang membuktikan kanak-kanak era kini semakin bijak dan mampu mengawal emosi dengan baik walaupun masih kecil.

Menurut Perunding Keluarga dan Kanak-Kanak Nur Aishah Azalan, pendedahan awal daripada keluarga terutama ibu bapa mengenai kepentingan ilmu, keperluan berdikari dan bijak mengawal emosi antara kaedah terpenting dalam proses pembesaran anak-anak.

“Anak perlu didedahkan dengan dunia pembelajaran sebelum mereka memulakan sesi persekolahan sebenar iaitu darjah satu dan disebabkan itu pentingnya untuk menghantar mereka ke tadika, kelas melukis, seni mempertahankan diri, menari dan berenang kerana di situlah bermulanya pemahaman awal mengenai keseronokan belajar dan berkawan.

“Seperti di tadika, anak dididik mengenai kepentingan ilmu walaupun bukan dengan cara yang serius, keseronokan mempunyai rakan dan kaedah untuk menghormati guru sebagai pendidik,” katanya.

Nur Aishah berkata, semua elemen itu amat berguna untuk diteruskan dan digunakan ketika memasuki alam persekolahan kelak.

“Walaupun ramai yang menyatakan sangat tidak sesuai untuk menghantar anak ke pelbagai jenis kelas dalam sehari dan ia seolah-olah membebankan, dalam situasi kini, ibu bapa perlu bertindak bijak.

“Pilihlah kelas yang disukai anak dan boleh mendatangkan banyak kesan positif pada dirinya. Kelas tadika itu memang perlu, yang boleh dipilih ini adalah kelas tambahan lain,” ujarnya.

Tambahnya, pandangan segelintir masyarakat yang menganggap kelas tambahan lain tidak perlu ternyata tidak berasas.

“Saya tidak menyuruh untuk menghantar anak ke semua jenis kelas tambahan. Pilih kelas tambahan yang sesuai dan mengikut kesukaan anak kerana ia sedikit sebanyak akan mengembangkan lagi potensi diri mereka.

“Jika anda dan anak mampu untuk mengikuti pelbagai kelas tambahan, maka ia lebih baik. Ia juga mampu membentuk keperibadian anak supaya mereka tidak lagi berasa takut malah sangat teruja dan bersemangat untuk bersekolah kelak,” ujarnya.

Menurutnya, langkah terbaik adalah dengan memberi kepercayaan dan susun rutin anak sebaik mungkin.

“Daripada mereka habiskan masa melayani gajet di rumah, lebih baik anak anda menyertai apa juga jenis kelas yang digemari. Sekiranya ibu bapa tidak berkemampuan tidak mengapa, anda sendiri boleh bersama-sama anak melukis atau menari. Ajaklah anak jiran berhampiran untuk turut serta.

“Semua ini akan memudahkan anda kelak terutama apabila mereka memulakan sesi persekolahan, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berdikari dan bijak mengawal emosi,” katanya.


KANAK-KANAK era kini semakin bijak dan mampu mengawal emosi dengan baik walaupun masih kecil. GAMBAR hiasan

ENAM LANGKAH LAHIRKAN ANAK BERDIKARI DAN BIJAK KAWAL EMOSI

Beri pendedahan awal kepada anak seawal usia tiga tahun mengenai keseronokan bersekolah terutama daripada aspek berkawan.

Beri kelonggaran kepada anak untuk memilih jenis kelas tambahan yang mereka sukai. Jangan terlalu tegas dengan menentukan semua perkara hinggakan anak terpaksa.

Jangan terlalu memanjakan anak hinggakan mengikut apa saja yang mereka mahukan. Perlu ada kata ‘tidak’ supaya mereka tahu tidak semua yang dimahukan mudah diperoleh.

Ajar anak untuk lebih mesra dengan masyarakat sekeliling. Jangan biasakan anak hanya memerap di dalam rumah menghadap gajet atau menonton televisyen tanpa bergaul dengan jiran terdekat.

Sesekali minta anak anda membuat pesanan makanan apabila berada di restoran. Anda boleh mengajarnya sebelum meminta dia sendiri yang lakukan pesanan. Langkah ini sekali gus membuatkan dirinya lebih berani dan berdikari.

Boleh juga ajar anak untuk mengemas barang permainan mereka atau bilik tidur sendiri. Jangan lupa untuk mendidik anak memasukkan baju yang sudah dipakai ke dalam bakul baju kotor atau mesin basuh. Walaupun nampak mudah, hasilnya sangat berguna terutama dalam melahirkan generasi pelapis yang bertimbang rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 5:00 AM