HASIL solekan menggunakan warna tanah atau warna semula jadi menaikkan seri wajah. FOTO: Supian Ahmad
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


TAMPIL cantik dengan solekan mempesona ketika melangsungkan majlis pertunangan tidaklah sesukar mana terutama bagi mereka yang gemarkan solekan sederhana.

Siapa kata majlis seumpama itu memerlukan si gadis bersolek tebal hingga mengubah wajah asal. Kini, ramai wanita mahu tampil anggun tapi dengan solekan minimalis agar kecantikan semula jadi terserlah sekali gus menjadikan mereka subjek tumpuan yang memukau mata memandang pada majlis bersejarah.

Teknik bayangan dan penyerlah berperanan menampilkan solekan tampak mewah dan mahal persis selebriti walaupun dengan aplikasi solekan yang tipis dan semula jadi.

Ketika melangsungkan pertunangan misalnya, tanpa teknik yang betul pasti hasilnya tidak memuaskan atau menampakkan wajah lebih kusam. Sebenarnya, jika kena dengan teknik solekan wanita akan tampil anggun dan bergaya pada majlis itu.

Jurusolek, Fazleen Fazel berkata, menyolek wajah dengan teknik betul dan pemilihan yang sesuai boleh membantu membangkitkan keremajaan wajah dan paling utama menutup kekurangan pada wajah.

Selain itu, katanya, solekan yang dikenakan perlu disesuaikan bagi setiap majlis atau tempat ingin dihadiri agar tak kelihatan janggal atau tenggelam kerana solekan tidak sesuai atau tidak kena.

“Bagi solekan ini, kebanyakan warna tanah atau warna semula jadi digunakan untuk menampilkan wajah lebih semula jadi manakala teknik penyerlah dan bayangan menjadikan solekan tampak mewah.

“Untuk menampilkan wajah bersinar, penyerlah perlu dilebihkan berbanding pemerah pipi. Penyerlah berpigmen halus lebih sesuai digunakan untuk kesan optimum.

“Berbeza dengan teknik solekan lain, solekan ini tidak fokus pada penggunaan warna menyerlah sebaliknya cukup sekadar permainan warna tanah dan semula jadi untuk tampil berseri,” katanya.

Fazlen berkata, selepas membersihkan wajah dan meratakan produk penjagaan kulit seperti pelembap dan serum, solekan dimulakan dengan menyapu primer diikuti alas bedak pada seluruh wajah.

Menurutnya, alas solekan amat penting dalam teknik ini bagi memastikan solekan tahan sehingga 12 jam.

Alas bedak berfungsi untuk menutup cela atau parut kecil pada wajah, tetapi jika terlalu tebal akan membuatkan solekan bercapuk. Cara terbaik sapukan alas bedak secara tipis.

Untuk membentuk wajah pula, gunakan teknik bayangan agar bahagian seperti hidung dan tulang pipi nampak menyerlah sebelum menyapukan pemerah pipi di atas bayangan.

Menurutnya, buat mereka yang berkulit cerah, alas solekan perlu lebih cerah daripada wajah manakala teknik bayangan dan kontur perlu dikurangkan.

Bagi yang berkulit lebih gelap pula, alas solekan perlu sama dengan ton kulit dan teknik kontur dan bayangan perlu dilebihkan.

Selepas itu, gunakan pensel mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah. Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensel mata tidak terlalu gelap. Warna coklat gelap pilihan terbaik.

Sapukan pembayang mata pada bahagian kelopak mata. Untuk solekan ini, warna yang digunakan juga daripada warna tanah atau semula jadi.

Kemaskan bulu mata menggunakan maskara. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis mata. Untuk bahagian bibir, oles gincu dengan warna semula jadi atau pastel.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. BEDAK asas diratakan di seluruh wajah.

2. TEKNIK bayangan untuk menyerlahkan simetri wajah.


LANGKAH 1 dan 2

3. SAPUKAN penyerlah di bahagian tulang pipi, batang hidung dan bawah dagu.

4. APLIKASI pembayang mata rona semula jadi.


LANGKAH 3 dan 4

5. GINCU rona 'nude' dioles di bibir.

6. WAJAH tampil semula jadi dengan solekan tepat.

7. KEANGGUNAN terserlah.


LANGKAH 5 dan 6

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 4:30 AM