HASIL solekan keatas model.

Siti Nadirah Hafidzin

siti_nadirah@hmetro.com.my

APA yang anda inginkan dalam bersolek? Adakah anda mahu tampak memukau dan mencuri tumpuan setiap mata yang memandang atau sekadar cukup dengan solekan sederhana tetapi masih manis dipandang?

Rasanya ramai yang lebih selesa dengan solekan ringkas dan sederhana tetapi mampu menyerlahkan kecantikan, apatah lagi menjelang ketibaan bulan mulia, Ramadan.

Namun istilah cantik bagi setiap individu itu berbeza. Ada yang yakin tampil dengan solekan tebal dan menyerlah namun ada juga yang memilih mengenakan solekan nipis tetapi tetap kelihatan manis.

Apa juga jenis solekan dipilih, ia bergantung kepada si empunya diri kerana bagi sesetengah wanita, bersolek tebal mampu menutup cela di wajah dan meningkatkan keyakinan diri.

Menurut jurusolek Feiruz Sohor, setiap wanita mempunyai cara atau jenis solekan yang digemari dan ia bergantung kepada personaliti individu itu sendiri.

“Lebih elok sekiranya solekan tebal hanya dikenakan jika mahu ke majlis formal dan solekan nipis untuk hari biasa kerana ia lebih bersesuaian terutama ketika bulan puasa nanti.

“Terasa janggal bukan apabila mengenakan solekan terlalu tebal untuk hadir ke pejabat? Langkah terbaik adalah bersederhana dan tidak perlu menghabiskan masa bersolek lama hanya untuk ke pejabat kerana tujuan kita adalah pergi bekerja bukannya berlibur. Solekan yang tebal juga akan mengambil masa untuk dibersihkan apabila mahu menunaikan solat di pejabat,” katanya.

Menurut Feiruz, sesuai dengan situasi semasa, solekan ringkas lebih sesuai dan rata-rata wanita juga sudah semakin mahir untuk bersolek sendiri.

“Terlalu banyak langkah solekan yang boleh dijadikan rujukan namun diingatkan jangan pula terlalu mengikut tutorial semata-mata tanpa melakukan latihan demi kerana bersolek juga perlukan kemahiran.

“Untuk solekan sederhana ini paling utama adalah pilihan warna. Elakkan memilih rona terlalu terang terutama gincu dan pemerah pipi. Banyakkan bermain dengan rona-rona lembut dan semula jadi.

“Walaupun mahu tampak ringkas, mata antara elemen yang perlu dititikberatkan kerana ia seolah-olah pelengkap kepada solekan yang sempurna. Gunakan rona tanah atau keemasan, sedikit garisan celak dan maskara,” katanya.

Feiruz berkongsi langkah demi langkah melakukan solekan ringkas dan sederhana menjelang kedatangan Ramadan yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada setiap wanita.


RESIPI ringkas penanggal solekan untuk dapatkan kulit wajah bersih dan segar.

‘StepByStep’

1. WAJAH model sebelum disolek.

2. SAPU sekata bedak asas ke seluruh wajah menggunakan rona bedak sesuai.

3. GUNAKAN bedak tabur kemudian lakukan teknik pembayang bagi membentuk hidung dan wajah.

4. BENTUK kening supaya penampilan lebih kemas.

5. GUNAKAN pembayang mata menggunakan rona tanah atau emas.

6. TEKNIK ini sebagai pilihan. Gunakan bulu mata palsu bagi menampakkan mata yang lebih memukau atau sekadar gunakan maskara bagi memanjangkan bulu mata.

7. SAPU pemerah pipi dengan nipis.

8. OLES gincu dengan rona kegemaran yang sesuai warna baju atau kulit

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:01 AM