ZEFIKS tampil dengan koleksi baju Melayu dan kurta.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


REKAAN kemas, warna dan corak yang tidak keterlaluan serta memudahkan pergerakan harian menjadi antara elemen terpenting yang menjadi keutamaan setiap lelaki dalam memilih busana.

Tidak kiralah untuk dipakai setiap hari atau ketika menghadiri majlis majlis tertentu atau untuk mengerjakan solat tarawih ketika Ramadan nanti.

Menyentuh mengenai busana lelaki, rata-ratanya bersetuju rekaan perlulah ringkas dan paling utama penampilan tidak nampak janggal.

Sangat praktikal sekiranya busana itu boleh digayakan dalam pelbagai acara dan tempat kerana lelaki lebih sukakan sesuatu yang boleh menjimatkan kos.

Mencari kelainan, sekali gus menghasilkan gaya lebih kasual, jenama tempatan Zefiks tampil dengan koleksi baju Melayu dan kurta yang menerapkan elemen dikehendaki setiap lelaki.

Menurut pengasasnya Syarifah Nur Zati Abdul Rashid, keistimewaan dan kelainan dalam koleksi terbarunya adalah rekaan terkini yang menghasilkan gaya lebih ranggi dalam sepasang busana.

“Kami cuba mencetuskan kelainan namun tetap mengekalkan ciri kemelayuan dan klasik cuma rekaannya dalam potongan muat padan selain mempunyai zip tersorok bagi memudahkan proses pemakaian.

“Bagi pelanggan yang kurang meminati potongan jenis ini boleh memilih saiz yang sedikit besar bergantung kepada keselesaan diri,” katanya.

Menurutnya, untuk rekaan seluar pula, pihaknya turut memilih potongan muat padan selain disertakan dua poket di bahagian sisi seluar.

“Bagi memberi keselesaan, kami menggunakan material ditempah khas kerana ia lembut, tebal, tidak panas, tidak berkilat dan mudah digosok.

“Koleksi ini bukan saja sesuai digayakan ketika hari raya namun ia juga boleh dipakai pada hari biasa termasuk untuk menunaikan solat Jumaat, solat Tarawih atau menghadiri apa juga majlis,” ujarnya.

Katanya, ia didatangkan bermula saiz XS sehingga XL dan paling penting semua rona ditawarkan sangat menarik kerana mempunyai pilihan warna terang, lembut dan gelap.

“Setiap individu mempunyai minat dan cita rasa tersendiri apabila menyentuh mengenai aspek warna dan disebabkan kami menyediakan kepelbagaian bagi menawarkan pilihan.

“Kami berharap koleksi ini membantu ramai lelaki tampil lebih kemas dan elegan dalam pemakaian busana terkini yang selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:30 AM