CORAK eksklusif. FOTO: Aziah Azmee
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

TAMPIL dengan pilihan busana klasik moden sepanjang lebaran ini, pereka muda Elly Emylia menonjolkan kelainan menerusi padanan Kebaya Pario Viral dan kemeja batik hasil kreativitinya.

Mengambil inspirasi daripada populariti batik nusantara, koleksi ini cukup istimewa berikutan menggabungkan enam perincian khusus. Berbeza dengan kebanyakan kain kebaya lain, koleksi ini menggunakan kain pario yang mudah diselaras menepati saiz pinggang dan labuh diingini.

“Kami gunakan batik sebagai simbol seni fesyen nusantara klasik yang diberi sentuhan mewah. Fabriknya kapas suteranya lembut, sejuk, mudah dan selesa dipakai dalam suasana keramaian.

“Corak yang dipilih juga lebih eksklusif, dipadankan dengan warna pastel yang kini menjadi trend dan sesuai dipadankan oleh semua wanita, tidak kira umur dan latar belakang,” katanya.

Jelas Elly, koleksi itu juga banyak mengambil inspirasi daripada gaya fesyen biduanita negara, Puan Sri Saloma berikutan mahu menonjolkan elemen klasik moden dalam rekaannya.

“Kami bawakan fesyen siluet klasik dengan 10 pilihan warna pastel menarik dan mudah dipadan dengan ton kulit serta pelbagai aksesori lain. Untuk pasangan, kita sediakan kemeja dan kurta potongan eksklusif.

“Saya percaya setiap wanita perlu memiliki sekurang-kurangnya sepasang kebaya pario untuk mengekalkan rasa cinta terhadap tradisi Melayu yang lama dilupakan. Ia juga sebagai tanda menghargai seni batik dan kebaya yang tidak pernah lapuk dek zaman.


PILIHAN rona pastel yang memikat.

“Sejak dulu, kebaya menjadi tanda pengenalan wanita Melayu. Busana klasik ini mampu memberikan sentuhan unik kepada pemakai dan menyerlahkan bentuk badan,” katanya.

Semua pario dan kemeja batik diperbuat daripada fabrik kapas sutera, manakala kebaya menggunakan fabrik jenis renda yang dijahit dengan lapisan fabrik lain di bahagian dalam.

“Kita juga gunakan gabungan renda untuk kebaya pario dan fabrik plisket bagi kebaya klasik. Saiz bagi koleksi ini tersedia bermula S hingga XL,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 5:00 AM