LEO tidak mahu alpa dengan rezeki dikurniakan dengan menyumbang semula kepada masyarakat.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


KEJAYAANNYA dalam membina empayar perniagaan sekali pun tidak pernah dijadikan modal untuk mendabik dada mahupun lupa diri dengan nikmat kehidupan yang direzekikan untuknya.

Sebaliknya lelaki ini menggunakan sepenuh pengalaman dan jatuh bangunnya untuk mendidik anak muda yang mahu berjinak dengan dunia perniagaan penuh pancaroba.

Baginya, itu sebahagian usaha untuk menyumbang semula kepada masyarakat khususnya anak bangsa yang rata-rata masih tercari-cari hala tuju dalam kehidupan.

Tambahan pula dia mendapat aduan begitu ramai anak muda yang tertipu dan menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya yang menjanjikan bulan dan bintang kini terpaksa berdepan masalah kewangan meruncing.

“Sebenarnya saya sudah hampir dua tahun meninggalkan dunia seminar dan bengkel yang giat dianjurkan pada 2014 hingga 2017 kerana mahu memberikan lebih tumpuan kepada keluarga dan mendalami ilmu agama.

“Tapi kini saya terpanggil untuk menyumbang semula ilmu yang saya ada selepas melihat ramai anak muda menganggur tanpa hala tuju, tiada bimbingan dan tercari-cari arah dalam perniagaan.

“Selepas menyepi agak lama, saya mula kembali berkongsi ilmu perniagaan dalam kumpulan media sosial seperti Facebook yang boleh disertai oleh anak muda tanpa yuran penyertaan,” kata Leo Adi Putra, 39, yang juga pengasas Seminar Gergasi Hijau.

Seminar itu katanya, diberikan secara percuma kepada peserta untuk membantu mereka mengenal potensi diri dan membangkitkan kekuatan jati diri untuk melakukan tindakan.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, matlamat utamanya kini adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda lain, sekali gus mewujudkan komuniti usahawan Bumiputera yang berdaya saing.

Menyingkap pengalamannya dalam perniagaan, segalanya tidak bermula dengan mudah. Berpengalaman luas dalam bidang pengurusan atas pengalaman bekerja di empat buah syarikat pengangkutan Malaysia, Jepun dan Singapura, Leo memulakan kerjaya hanya sebagai kerani akaun 19 tahun lalu sebelum menamatkan kerjaya sebagai pengurus operasi pada 2012.

ILMU perniagaan dikongsi secara percuma kepada anak muda yang mahu bangkit mengubah nasib diri.

Katanya, selepas itu dia memulakan kerjaya sebagai ejen insurans di samping menjual produk kesihatan dan kecantikan secara atas talian dari rumah.

Walaupun gaji ketika bekerja makan gaji sangat baik tetapi ada beberapa perkara yang membuatnya tertekan hingga nekad berhenti kerja untuk memulakan perniagaan walaupun tidak tahu perniagaan apa akan dijalankan.

Pelbagai cabang dilakukan termasuk menjual insurans, membuka gerai burger, menjual aksesori kereta dan menjaja produk kesihatan tetapi semuanya gagal.

Kegagalan ini mulanya membuatkan Leo hampir putus asa tetapi semangat untuk maju masih bersisa. Dia mula sedar kekhilafannya di dalam dunia bisnes yang selama ini dilakukan tanpa sebarang ilmu.

Dia mula menimba ilmu menerusi seminar dan kelas latihan mengenai bisnes hinggalah penubuhan syarikat produk kesihatan Amani4Life Sdn Bhd pada 2014.

Apa yang dilakukan ketika itu adalah belajar mengenai teknik pemasaran di Facebook kemudian membuat sistem ejen, stokis dan pengedar secara lebih sistematik.

Menurutnya, apa yang membezakan sistem yang dijalankannya adalah membantu suri rumah dan sesiapa saja yang ingin berniaga serta mengajar mereka bagaimana memasarkan produk. Secara tidak langsung mereka tidak keseorangan sebaliknya dibantu untuk bersama-sama menjana pendapatan.

Dia mengakui pengalaman dan kegagalan banyak mengajarnya untuk maju ke depan. Dia banyak belajar daripada kesilapan, apatah lagi tidak memiliki sebarang ilmu dalam dunia perniagaan, malah selepas menyertai beberapa kelas dan seminar, barulah dia mengenali erti sebenar bisnes.

Baginya, bisnes bukan sekadar mahu cari duit atau keuntungan semata-mata, sebaliknya niat membantu menambah nilai di dalam kehidupan orang lain.

Dia turut menganjurkan lebih 30 bengkel pemasaran atas talian secara percuma untuk membantu suri rumah dan ibu tunggal. Ia bagi membantu golongan ini mempelajari ilmu pemasaran atas talian hingga mampu berniaga juga secara atas talian hanya dari rumah.

“Saya berkongsi bagaimana memulakan bisnes tanpa modal. Ini kerana ramai beranggapan untuk berniaga memerlukan modal yang besar tetapi sebenarnya tidak.

“Tanpa modal pun boleh berniaga asalkan ada ilmu. Menerusi seminar ini juga kami tidak menceritakan mengenai produk semata-mata sebaliknya peserta diberi bimbingan yang mereka perlukan untuk memulakan perniagaan sehingga akhirnya mereka mampu mengeluarkan produk sendiri.

“Saya tahu ramai ingin berniaga, tetapi masing-masing ada rasa takut dalam diri yang sebenarnya jika dilawan ia akan memberikan kekuatan dalaman kepada mereka.

“Ini yang kami beri dalam seminar iaitu mengubah persepsi orang ramai mengenai perniagaan. Kami juga menjemput ramai individu dalam bidang berbeza yang akan menceritakan pengalaman masing-masing jatuh bangun dalam perniagaan,” katanya.

Leo mengakui, dirinya bertuah kerana setiap usahanya pasti diiringi doa dua wanita penting dalam hidupnya iaitu ibu dan juga isteri tercinta, Munira Azami, 33. Baginya kejayaan hari ini kerana ada insan penting di sisinya di saat jatuh bangun.

MUNIRA sentiasa memberi galakan dan sokongan.

“Isteri saya sentiasa memberi sokongan moral ketika saya dalam keadaan tertekan atau sedih malah tidak jemu mengingatkan saya untuk menjaga amal ibadat ketika saya agak lalai untuk solat berjemaah di masjid, mengaji dan menghadiri kuliah.

“Isteri saya ini diibaratkan seperti ‘jam loceng’ yang berdering apabila saya terlalai dengan dunia. Begitulah pentingnya peranan wanita untuk membantu saya menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:30 AM