PILIH gaya paling ringkas dan mudah dibuat dalam masa yang cepat. FOTO: Zunnur Al Shafiq
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


BERSOLEK untuk majlis rasmi atau makan malam selalunya mudah, terutama bagi mereka yang mengenakan mekap setiap hari. Kalau ke pejabat, merias ringkas, majlis istimewa hanya perlukan sedikit sentuhan tambahan di bahagian mata.

Beri fokus kepada pemilihan rona pembayang dan pemilihan bulu mata palsu. Kemudian, pilih gincu bersesuaian supaya hasil solekan tampak seimbang.

Kata jurumekap artis, El Manda Zuhairy (@mandalicious_ official), agak mudah buat wanita bertudung kerana tidak perlu memikirkan gaya rambut bersesuaian untuk dipadankan dengan busana.

Tambahan mengenakan tudung hanya memerlukan sedikit kreativiti berbanding menguruskan rambut yang menuntut penjagaan dan penelitian rapi.

Namun demikian, tidak bermakna mendandan rambut terlalu sulit untuk dilakukan. Sebagai permulaan, pilih gaya paling ringkas dan mudah dibuat dalam tempoh jangkaan.

Ketepikan dulu dandanan jenis sanggul walaupun ia sudah menjadi sebahagian trend setiap kali tibanya undangan ke majlis rasmi atau keraian istimewa.

Cuba mahirkan diri dulu menggunakan penggulung rambut. Pilih jenis selamat dan tidak mudah mencederakan.

Menariknya kalau sudah mahir, anda boleh mencuba pelbagai jenis dandanan rambut tidak kira untuk ke majlis atau sekadar mencantikkan diri di rumah.

Mana tahu lebaran nanti lebih meriah dengan pelbagai ragam dan gaya rambut menawan. Cuba perhatikan bagaimana El Manda mendandan rambut modelnya untuk majlis makan malam.

LANGKAH DEMI LANGKAH


1. BAHAGIKAN rambut kepada lima bahagian. 2. GULUNG bahagian demi bahagian bermula dengan bawah.

3. TINGGALKAN bahagian atas dan rapikan. 4. AMBIL separuh rambut bahagian atas (tengah) dan sasak untuk membentuk ‘bun’. Sikat kemas dan pinkan.

5. TARIK separuh bahagian rambut di kiri (depan) dan pintal ke bahagian dalam. Pin kemas di tengah. 6. ULANG langkah lima untuk bahagian rambut kanak (depan). Kemaskan dandanan dengan semburan jika perlu.

HASIL dandanan daripada El Manda. FOTO: Zunnur Al Shafiq

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 5:00 AM