KELUARGA sumber kekuatan untuk memacu kejayaan.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

PENGALAMAN pahit seperti ditipu, dipergunakan, silap memilih niche perniagaan selain memilih rakan niaga yang tidak amanah adalah lumrah dalam dunia perniagaan.

Mengakui perkara itu turut menjadi asam garam sepanjang perjalanannya sebagai usahawan, bekas pensyarah universiti ini tidak pernah gentar malah kepakaran yang dimiliki seharusnya dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Bagi Dr Mohd Zuri Ghani, terjatuh dan tersungkur semuanya pernah dirasai, namun sebagai usahawan dia perlu bangkit dan bina semula kerana kegagalan itu juga guru terbaik agar kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

Pernah suatu ketika dia kerugian lebih setengah juta ringgit akibat terlalu percaya kepada individu yang mempergunakannya malah maruahnya turut tercalar akibat kepercayaan yang diberikannya itu.

“Pengajaran yang saya dapat daripada pengalaman ini ialah tiada jalan singkat untuk berjaya atau menjadi kaya. Semuanya perlukan usaha keras.

“Walaupun berdepan dugaan yang hampir meranapkan perniagaan, saya bersyukur kerana isteri, Suzana Ibrahim tidak pernah berputus asa walaupun pernah jatuh tersungkur. Sebaliknya dialah antara insan penting yang percaya saya mampu bangkit semula.

MEMBAWA stokis menunaikan umrah selepas kejayaan mereka dalam jualan.

“Sikapnya yang amat memahami sebenarnya menjadi sumber kekuatan, malah kata-katanya yang positif dan kerap menyuntik semangat agar terus bangkit menjadi azimat buat saya.

“Di saat saya jatuh dialah bahu tempat saya berpaut. Kejayaan hari ini adalah hasil daripada semangatnya yang tidak pernah luntur. Dia sentiasa berfikiran positif dan menjadi penyumbang idea di kala saya buntu,” katanya.

Menyingkap perjalanannya sebelum berkecimpung dalam bidang perniagaan dan mengasaskan syarikatnya sendiri DRMZ Formula Solution, Dr Mohd Zuri terlebih dulu menimba pengalaman sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang selama lebih 11 tahun.

Mengakui jiwanya lebih tertarik kepada dunia perniagaan malah sikapnya yang gemar bekerja dengan cara sendiri serta mempunyai matlamat yang ingin dicapainya, dia lantas memilih bidang perniagaan berasaskan makanan tambahan dan kesihatan.

Ini kerana katanya, kesedaran masyarakat hari ini yang kian mengambil berat mengenai makanan yang diambil, sekali gus mementingkan tahap kesihatan menjadi sumber inspirasinya untuk memulakan perniagaan itu.

Dia juga gemar membaca terutama buku biografi usahawan dan ikon yang sudah berjaya. Dari situ semangatnya semakin berkobar untuk menjadi seperti mereka.

Katanya, bimbingan dan kelas perniagaan pula diberikan secara percuma kepada semua stokis, selain giat mendedahkan pengetahuan produk agar semua stokisnya menjadi peniaga yang berilmu dan mempunyai nilai sebagai seorang usahawan.

ISTERI pendorong kuat Dr Mohd Zuri sehingga berjaya bangkit daripada kegagalan.

Hasilnya, produk yang diusahakan mendapat sambutan amat positif bukan hanya keberkesanannya malah model perniagaan syarikatnya juga mampu melahirkan ramai usahawan dan stokis berjaya.

Katanya, melihat perubahan dalam meningkatkan ekonomi yang berlaku dalam kehidupan stokis membuatkan dia lebih bermotivasi dalam mengembangkan perniagaan itu.

“Niat saya cuma satu iaitu untuk menambah nilai dalam hidup orang lain. Boleh dikatakan kerjaya saya sebagai pensyarah sebelum ini sudah cukup lumayan ditambah dengan kelulusan doktor falsafah yang dimiliki.

“Meskipun perjalanan bidang perniagaan penuh dugaan dan sentiasa berdepan risiko kerugian berbanding kerja makan gaji, namun kepuasan melahirkan ramai usahawan yang bangkit dan berjaya disertakan model perniagaan saya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit,” katanya.

Anak jati Pasir Mas, Kelantan ini turut berkongsi petua kejayaannya iaitu berpegang pada tiga perkara utama iaitu ilmu, mentor dan mengikut sistem ditetapkan.

Baginya, perniagaan memang tidak dapat lari daripada pancaroba, justeru jika ingin terus berjuang dalam industri, usahawan perlu kental dan perlu ada minda usahawan. Pahit manis dan jatuh bangun di dalam dunia perniagaan katanya adalah biasa dan jika tidak tahan dengan cabaran, jangan jadi usahawan.

“Tapi, percayalah yang pahit itu akan manis akhirnya bila anda sudah tahu rentaknya dan kenal sepak terajang dalam dunia ini.

MERAIKAN stokis yang dilatih dan dibimbing hingga berjaya.

“Sasaran saya agar produk lebih dikenali dan terus mendapat tempat bukan saja di dalam, tetapi juga di luar negara. Saya menghasilkan produk berdasarkan kepakaran saya selain dibantu enam ahli kimia yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan semua produk dikeluarkan agar bermutu tinggi.

“Kami tidak mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi juga mengambil kira mengenai kebaikan kepada pengguna. Besar harapan saya agar 2020 nanti syarikat saya mampu mempunyai wisma perniagaan sendiri, sekali gus menambah kekuatan orang Islam dalam ekonomi dan pembangunan ummah,” katanya.

Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada tiga syarikat iaitu Astana MZ Resources, DRMZ Formula Solution dan Double Rich International Sdn Bhd, Dr Mohd Zuri turut menasihatkan mereka yang berminat untuk memasuki arena perniagaan dan keusahawanan agar melengkapkan diri dengan ilmu.

Katanya, jangan jadi seperti dirinya yang melanggar ‘dinding’ dulu baru mencari ilmu. Selain itu, bermula seawal mungkin dan bina empayar anda dengan matlamat yang jelas kerana ‘sepak terajang’ dalam perniagaan terlalu banyak.

“Bermula sebelum orang lain bermula, lakukan tindakan sebelum orang lain bertindak. Jaga reputasi dan yang paling penting jika mahu rezeki yang banyak, jaga hubungan dengan pemberi rezeki kita, Allah.

“Juga perlu sentiasa ingat bahawa dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Jadilah mentor kepada orang lain dan niat kita juga perlu betul. Jadilah khalifah yang memberi manfaat serta menambah nilai dalam kehidupan orang lain. Tindakan anda hari ini, penentu kejayaan hari esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:30 AM