LISA menyantuni pelarian kanak-kanak. Ihsan UNICEF
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

TAHUN ini Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) meraikan ulang tahun ke-30 Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) iaitu perjanjian hak asasi manusia yang banyak mengubah kehidupan golongan kanak-kanak dalam sejarah dunia.

Sejak penganjurannya pada 1989, banyak perubahan terhadap kehidupan golongan ini antaranya keluar daripada belenggu kemiskinan dan hak kanak-kanak di serata dunia meningkat dengan ketara.

Konvensyen ini terbukti menjadi alat yang berkesan untuk memajukan hak kanak-kanak sejak tiga dekad yang lalu.

Perjanjian global ini sangat dekat dengan Malaysia kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara hanya beberapa pemimpin terpilih yang menandatangani CRC dan masih berkuasa hari ini.

Wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark Hattingh berkata, masyarakat awam, sektor korporat dan kerajaan di mana-mana di dunia dan di Malaysia menggunakan undang-undang antarabangsa ini untuk menempatkan kanak-kanak sebagai keutamaan dalam agenda bagi meletakkan kepentingan mereka di barisan hadapan undang-undang dan dasar yang memberi kesan kepada golongan kecil itu.

Katanya, pelaburan sudah dibuat dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk menyediakan keperluan kanak-kanak bagi membolehkan mereka berjuang dan berkembang.

“Bilangan anak gadis dan remaja lelaki terpaksa meninggalkan sekolah, bekerja atau berkahwin semakin berkurang dan kini ada sistem yang lebih baik untuk melindungi kanak-kanak daripada keganasan dan eksploitasi,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-30 CRC yang turut memperbaharui pelantikan selebriti tanah air, Lisa Surihani sebagai Duta Muhibah UNICEF.


MARIANNE dan Lisa bekerjasama memperjuang hak kanak-kanak. FOTO Asyraf Hamzah

Pada 1995, Malaysia menyertai CRC untuk menegaskan komitmennya terhadap perlindungan dan kebajikan kanak-kanak. Dalam tempoh 30 tahun, Malaysia meningkatkan kelangsungan hidup dan mengurangkan separuh kematian kanak-kanak, menyamai negara peserta Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang lain. Ia satu pencapaian mengagumkan yang diperoleh hanya dalam satu generasi.

Hanya pada tahun lalu, Malaysia berjaya menghapuskan penyebaran HIV dan sifilis dari ibu ke anak, menjadikannya satu-satunya negara Islam di dunia untuk melakukannya dan yang kedua di Asia. Ini satu lagi pencapaian dan bukti besar komitmen Malaysia dalam memastikan akses kepada kualiti dan penjagaan kesihatan yang berpatutan untuk semua.

Menurut Marianne, kemajuan yang dibuat di Malaysia turut membawa kepada perlindungan yang lebih baik melalui dasar dan undang-undang terhadap lebih ramai kanak-kanak.

Sebagai contoh, Akta Kanak-kanak digubal pada 2001 dan pada 2017, selepas banyak kempen yang dibuat, Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak diluluskan sebagai langkah ke arah melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

“UNICEF bersama agensi PBB yang lain menyokong perkembangan ini dalam kesejahteraan anak-anak Malaysia. Peluang untuk kanak-kanak yang lahir di Malaysia adalah lebih baik kini berbanding 30 tahun lalu, tetapi bukan untuk semua.

“Jangan dilupakan mereka yang dilahirkan tanpa kerakyatan atau tanpa dokumentasi, dan tidak akan berpeluang untuk memenuhi impian mereka seperti rakan lain,” katanya.

Katanya, isu kanak-kanak yang didera dan diabaikan sering menjadi tajuk utama hampir setiap hari. Kanak-kanak dan remaja yang dibuli atau dipulau pula hanya kerana mereka dianggap ‘berbeza’.

Kemiskinan memaksa kanak-kanak meninggalkan sekolah selepas Tahun 6 untuk mencari kerja bagi meringankan beban hidup keluarga atau dalam beberapa kes, mereka terpaksa bernikah walaupun masih berada di bawah umur


TELATAH menghiburkan pelarian kanak-kanak yang dilawati. Ihsan UNICEF

“Kanak-kanak layak mendapat yang terbaik dan kita perlu melakukan yang lebih baik untuk mereka. Ini tanggungjawab kita bersama. Justeru, kempen CRC@30, menyediakan semua pihak platform untuk menyokong kemajuan dan perubahan yang berterusan buat kanak-kanak, peluang membina Malaysia Baru yang juga Malaysia Biru - negara yang menghormati dan mengutamakan hak setiap kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, pada Perhimpunan Agung PBB di New York pada September depan, pemimpin dari seluruh dunia termasuk Malaysia akan diminta membuat ‘ikrar’ baru untuk kanak-kanak.

Sepanjang tahun ini, UNICEF dan rakan kongsi akan terbabit dengan kanak-kanak dan belia di Malaysia untuk memastikan suara mereka didengar dan memperkasakan mereka untuk menjadi ejen perubahan bagi diri sendiri, rakan dan komuniti mereka. Kempen ini akan berakhir dengan sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia pada 20 November.

Dalam pada itu, Lisa yang sudah menjadi Duta Kebangsaan UNICEF Malaysia selama dua tahun sebelum ini menyatakan ikrarnya untuk terus menyokong pembelaan hak kanak-kanak di seluruh negara sejajar dengan pelantikannya itu.

Katanya, kanak-kanak sering diabaikan tanpa disedari, mereka tidak boleh mengundi, tidak mempunyai suara serta isu mengenai kanak-kanak sering tidak dititikberatkan dan dianggap remeh oleh sesetengah pihak.

“Saya amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk membawa suara mereka. Saya bukan saja bercakap

bagi pihak mereka, tetapi juga memberikan perhatian yang sewajarnya kepada apa yang ingin disuarakan.

“Kita perlu memahami bahawa isu membabitkan golongan ini bukan sekadar isu kanak-kanak, ia juga memberi kesan kepada masyarakat, ekonomi dan negara,” katanya.

Lisa turut melaksanakan komitmennya untuk membuat lawatan ke Kem Pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh baru-baru ini bagi menyokong pembelaan hak kanak-kanak yang tiada kerakyatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:00 AM