PERGERAKAN tertentu boleh hilangkan rasa mengantuk. FOTO Hafiz Sohaimi
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


MEMULAKAN hari dengan perasaan gembira, ceria dan cergas mampu menentukan kelangsungan sepanjang hari terbabit. Atas sebab itu, ramai berusaha untuk tampil bersemangat seawal pagi bagi memastikan emosi itu kekal sehingga ke lewat malam.

Namun tidak dapat dinafikan rasa mengantuk amat sukar untuk dibendung terutama kepada golongan ibu yang selalu kurang rehat dan tidak cukup tidur.

Walaupun sedaya upaya menahannya namun rasa mengantuk tetap menghantui terutama pada waktu pagi dan menjelang tengah hari.

Apabila dihantui rasa mengantuk, semuanya seolah-olah tidak kena, wajah kelihatan tidak bermaya, tugas harian banyak yang tergendala dan keadaan menjadi lebih teruk kepada ibu berkerjaya.

Menghilangkan rasa mengantuk dan lesu pada hakikatnya boleh dilakukan sendiri melalui pergerakan tertentu mengikut kemampuan diri.

Menurut jurulatih kecergasan bertauliah, Nurina Mohamad, paling mudah adalah berjalan pantas atau menggerakkan seluruh anggota badan bagi memberi kecergasan dan mengurangkan rasa mengantuk.

Menurutnya, pergerakan badan boleh dilakukan di mana-mana saja termasuk di rumah atau pejabat dengan menari mengikut rentak lagu atau berlari setempat.

“Jika malu dipandang rakan sekerja, boleh saja berdiri dan kemudiannya duduk dalam kiraan 10 atau sekiranya terlalu mengantuk disaran untuk naik turun tangga seketika.

“Tidak perlu berlari, dengan hanya berjalan perlahan menaiki dan menuruni tangga sekurang-kurangnya dua pusingan, semua anggota badan akan bergerak secara automatik dan sekali gus boleh membuatkan diri berasa segar,” katanya.

Nurina berkata, diingatkan apabila menaiki dan menuruni tangga supaya tidak memaksa diri dan lakukan secara bersederhana.

“Mengantuk ini sinonim dengan kepenatan diri, selain senaman dan pergerakan, langkah terbaik adalah cuba untuk berehat seketika atau sekiranya sesuai, bolehlah tidur dalam tempoh singkat.

“Namun sekiranya tidak boleh, langkah terbaik adalah dengan bergerak. Jangan terus duduk dan melayan rasa mengantuk kerana ia lebih memburukkan keadaan. Paling bahaya, jika anda sedang memandu dinasihatkan supaya memberhentikan pemanduan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama terbabas,” ujarnya.

Menurut Nurina, disarankan untuk mendapatkan kesan optimum, bolehlah melakukan semua gabungan pergerakan bermula dengan menarik nafas dalam dan hembus, berlari setempat dan kemudiannya menaiki dan menuruni tangga.

“Paling utama perlu berhati-hati dan menitikberatkan soal keselamatan diri kerana anda sedang berada dalam keadaan tidak segar, lesu dan mengantuk.

“Jika menaiki dan menuruni tangga perlu berhati-hati supaya tidak terjatuh dan disebabkan itu saya sarankan supaya lakukan secara perlahan asalkan anda bergerak,” ujarnya.

Nurina berkongsi langkah demi langkah melakukan senaman bagi menghilangkan rasa mengantuk.


1.BANGUN dan berdiri tegak sambil menarik nafas dan menghembuskannya. FOTO Hafiz Sohaimi

3.JIKA menggunakan tangga, naiki setiap anak tangga sambil menarik nafas. FOTO Hafiz Sohaimi

4.BOLEH juga menambah sedikit kelajuan ketika menaiki tangga dan bergerak ke kiri dan kanan. FOTO Hafiz Sohaimi

5.TURUN tangga secara berhati- hati. Boleh naik semula untuk pusingan kedua. FOTO Hafiz Sohaimi

6.SELESAI menggunakan tangga, boleh kembali berdiri sambil menghayun tangan. FOTO Hafiz Sohaimi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:00 AM