KAIN batik linut dijemur sebelum proses pencetakan. Foto Aziah Azmee
Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@mediaprima.com.my


BERMAIN dengan gam sagu, warna dan cahaya matahari. Inilah aktiviti mereka setiap hari. Walaupun kadangkala diuji dengan deraian hujan, ia tetap membuat sekumpulan anak muda yang tekun mempelajari kaedah pembuatan batik linut teruja.

Mana tidaknya, ketika hujan mereka boleh berbincang, mengukur pola dan menekap corak pada helaian yang sudah siap. Sekali lagi, kain yang bercorak cantik itu perlu dijemur hingga kering sebelum proses ‘mengunci’ warna dilakukan supaya semua motif yang ada di atas helaian batik itu kekal menyerlah.

Berbeza dengan warisan seni tradisional lain yang kurang mendapat sambutan golongan muda, batik linut pula berjaya menarik perhatian mereka yang begitu bersungguh-sungguh mempelajari proses penghasilannya daripada sekeping kain putih sehingga lahirnya sehelai pakaian.

Sebenarnya usia batik linut masih terlalu muda, baru diilhamkan Februari lalu dan kini dalam fasa penghasilan produk. Sekali imbas, batik linut tampak seperti helaian kain yang dicorak menggunakan kaedah ikat-celup. Namun apabila diteliti, ia jauh berbeza kerana corak pada setiap helaiannya tidak sama.

adi apakah yang membuatkan 30 pelatih dan pelopor di bawah bimbingan Ketua Penyelaras Batik Linut, Diana Rose ini begitu teruja? Sebenarnya batik baru itu dihasilkan menggunakan makanan! Ya, linut adalah makanan tradisional yang menjadi kebanggaan kaum Melanau di Mukah, Sarawak.

Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Azran Arip, linut dihasilkan daripada sagu mentah (dipanggil lemantak) sebelum diproses menjadi tepung sagu. Di Sabah dan Brunei ia dikenali sebagai ambuyat.

Sagu mentah akan dicampur dengan air panas sehingga menjadi likat dan jernih untuk dinikmati bersama makanan lain sebagai penambah perisa. Rasanya yang tawar membuatkan ia mudah diserasikan dan digandingkan dengan apa juga sajian sampingan.


PELATIH membuat cetakan motif menggunakan teknik cetakan silk screen.

“Apabila dicampur air panas, ia akan cair dan ‘masak’. Apabila kering, ia akan menjadi beku dan keras tetapi boleh dilembutkan semula menggunakan air. Linut yang sudah kering dan membeku ini berpotensi menjadi bahan penghalang air daripada menembusi bahagian sebaliknya.

“Dalam pembuatan batik, linut dilihat mampu menjadi bahan penghalang warna menggantikan lilin berdasarkan sifatnya setelah kering dan boleh ditanggalkan daripada fabrik menggunakan air.

“Idea untuk menggunakan linut sebagai pembaharuan dalam pembuatan batik tercetus apabila diberi tugasan untuk mencari inovasi yang dapat memberikan kelainan sama ada dari segi penggunaan bahan, teknik, proses, reka corak dan mewujudkan identiti baru bagi komuniti setempat.

“Usah bandingkan dengan batik yang dihasilkan usahawan di Terengganu dan Kelantan yang sudah menapak jauh dalam bidang ini. Kemahiran dan kehalusan reka corak batik yang mereka hasilkan memang tinggi dan agak sukar ditandingi pembuat batik dari Sarawak dan Sabah, selain kesukaran mendapatkan bahan mentah yang harganya berlipat ganda.

“Jadi, kami cari kaedah untuk menggunakan sumber bahan semula jadi yang ada di sini untuk ditonjolkan dalam pembuatan produk kraf baru. Pemilihan Mukah pula dibuat berdasarkan pengeluaran sagu yang mudah didapati dengan kos rendah dalam memastikan kelangsungan pengeluaran produk.

“Pemilihan motif pula bersandarkan kepada busana tradisional Melanau dan alam semula jadi yang melambangkan identiti masyarakat serta tempat. Justeru, buat permulaan motif seperti kunci (butang) baju bangkuas, buah mulung dan terendak ditonjolkan dalam batik linut dengan teknik cetakan sutera saring,” katanya.

Bagaimanapun, tidak mudah untuk membuat inovasi baru itu. Azran memberitahu, pihaknya melakukan banyak percubaan untuk mengenal pasti bahan sesuai yang boleh menggantikan lilin sebagai bahan penghalang bagi pembuatan batik.

Dalam tempoh lima bulan, pengkhususan lebih tertumpu kepada uji kaji penggunaan linut iaitu kadar serapan pada fabrik, kaedah pembuatan dan tindak balas warna reaktif terhadap bahan kanji dan kesannya pada kain sebelum ia didedahkan kepada Komuniti Kraf Baru di Mukah.

PRODUK EKSKLUSIF MELANAU

Berkunjung ke Lamin Dana di Mukah memberi pengalaman baru kepada penulis yang bertuah dapat menyaksikan proses pembuatan batik linut. Fahamlah penulis kenapa mereka rasa teruja kerana setiap helaian batik linut mempunyai reka corak yang berbeza walaupun menggunakan teknik yang sama.

Menurut Diana Rose, kesan lipatan dan renyuk pada kain bersalut linut akan memberi corak latar yang unik dan berbeza, membuatkan setiap helaian busana yang terhasil tampak istimewa.

“Kami semua memang teruja dengan penghasilan batik linut ini kerana ia menggunakan bahan asas yang ada di keliling kami dan harganya pula murah. Paling penting ia juga menarik minat golongan muda termasuklah pelajar, suri rumah, usahawan dan pereka fesyen. Projek ini juga secara tidak langsung membolehkan kami menghimpunkan orang yang terbabit dalam industri tekstil termasuk dalam Komuniti Kraf Baru.

“Batik yang kami hasilkan ini tentu saja tidak boleh dibandingkan dengan batik Kelantan dan Terengganu. Ini kali pertama kami menghasilkan batik dengan corak yang baru dengan harapan satu hari nanti ia boleh menjadi produk eksklusif penduduk di sini,” katanya.

Malah projek batik linut Mukah turut mendapat kerjasama pereka fesyen berpengalaman, Abdul Latif Mohti yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan rekaan busana menarik terdiri daripada pakaian lelaki dan wanita untuk dipamerkan di Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 di Kota Kinabalu, Sabah pada 12 hingga 21 April ini.

Bertemakan Jalinan Inspirasi Kehidupan Borneo, festival ini diadakan untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf tekstil dari Sarawak dan Sabah serta menggalakkan penduduk Malaysia memakai dan menggunakan hasil seni tempatan. Ia juga bertujuan menyemarakkan semangat cinta kepada seni warisan kraf tempatan yang mula mendapat tempat dalam hati golongan muda.

Pereka pelatih dari Kolej Vokasional Sibu, Nur Azatul Hanim Jeffersen, 20, antara anak muda yang gembira dapat belajar menghasilkan batik linut kerana ia dianggap begitu dekat dengan dirinya sebagai keturunan Melayu Melanau.

“Saya rasa bertuah dapat terbabit secara langsung dalam penghasilan batik linut menggunakan produk tempatan yang mudah didapati pada harga murah. Prosesnya mungkin agak leceh kerana setiap helaian kain itu perlu dicelup warna dan dijemur berulang kali tetapi apabila melihat hasilnya, kami memang teruja. Malah saya dan beberapa rakan di sini turut terbabit secara langsung dalam memotong dan menjahit pakaian daripada batik yang kami hasilkan.

“Saya mahu menimba ilmu sebanyak mungkin di sini supaya satu hari nanti, saya juga boleh menjadi sebahagian daripada komuniti pengusaha dan peniaga batik linut. Secara peribadi, saya memang mahukan batik linut ini diangkat sebagai produk yang menjadi tanda pengenalan kaum Melanau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:30 AM