AMALAN hidup sihat perlu diikuti senaman dan pengambilan makanan seimbang. FOTO: Nurul Shafina Jemenon
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


KITA mungkin pernah dimomokkan dengan banyak mitos berkenaan penurunan berat badan. Contohnya, jangan ambil sarapan jika mahu turunkan berat badan ialah antara 'nasihat' paling popular tatkala kita dalam usaha menguruskan badan.

Ramai antara kita sebenarnya salah tafsir dengan menganggap jika mitos itu dilakukan, ia dapat mengurangkan berat badan.

Antara mitos lain yang diamalkan adalah cuma makan tiga hidangan sehari. Sebenarnya, jumlah hidangan seperti ini tidak cukup untuk kita mengawal nafsu makan, malah kurang membantu meningkatkan metabolisma badan demi aktiviti harian.

Ramai antara kita mengelak daripada mengambil nasi supaya badan kekal ramping. Sebenarnya, nasi ialah sumber karbohidrat yang baik dan memang benar ia boleh menyebabkan kegemukan, tetapi hanya jika kita mengambilnya dalam kuantiti berlebihan.

Keadaan yang sama juga akan berlaku jika kita mengambil oat, buah-buahan atau roti terlalu banyak. Amalkan pengambilan nasi tidak lebih daripada ukuran segenggam tangan anda untuk satu hidangan.

Pakar Pemakanan UiTM Private Specialist Centre, Nadhirah Mohd Khir berkata, dengan memastikan keseluruhan diet anda betul dan menerusi cara tepat, kehidupan cerdas serta cergas mampu dimiliki.

Katanya, diet sepatutnya menjadi amalan sepanjang masa. Definisi diet itu sendiri adalah amalan pemakanan, oleh itu pastikan anda amalkannya setiap masa, setiap hari. Beliau mengupas beberapa mitos mengenai diet yang sering disalah erti.


PAKAR Pemakanan UiTM Private Specialist Centre, Nadhirah Mohd Khir.

1. Makan malam penyebab gemuk

Sistem pencernaan mengambil masa enam ke lapan jam untuk satu proses pencernaan yang lengkap melepasi usus besar. Tempoh masa untuk makanan dicernakan melepasi perut adalah selama empat jam. Oleh itu, disarankan untuk makan malam dua ke tiga jam sebelum tidur kerana:

Ketika tidur, badan akan mengalami Kadar Metabolisma sewaktu Rehat (RMR) yang mana pada saat itu, badan hanya akan menggunakan tenaga sangat minima untuk pernafasan, kitaran darah dan degupan jantung serta aktiviti otak yang sangat minima.

Apa akan jadi sekiranya seseorang itu makan dengan kuantiti yang banyak (lebih 300kcal) kurang daripada empat jam sebelum tidur? Tenaga minimum yang sepatutnya digunakan ketika badan rehat akan digunakan untuk mencerna makanan dan ini mungkin menjadi punca kegemukan.

Sekiranya sudah makan malam pada jam 7 malam dan waktu kebiasaan tidur 11 malam, disarankan makan makanan yang 'ringan dan sihat' seperti satu atau dua keping roti atau empat hingga lima keping biskut hanya untuk tidak membiarkan perut kosong, bukannya burger, mee goreng dan makanan berat yang tinggi lemak serta tinggi kalori lain.

2. Makanan rendah lemak lebih baik

Memang benar makanan rendah lemak lebih baik, tetapi perlu berhati-hati dengan jenis lemak di dalam makanan itu. Baca label info pemakanan di belakang pek. Hati-hati dengan lemak tepu dan lemak trans. Dua lemak ini sekiranya diambil berlebihan akan menyebabkan kolesterol tinggi dan lebih teruk akan menyebabkan masalah jantung dan strok.


SATU hidangan lengkap wajib ada tiga makronutrien ini, karbohidrat, protein dan lemak. GAMBAR hiasan

Dalam satu hidangan lengkap wajib ada tiga makronutrien ini, karbohidrat, protein dan lemak. Jadi pengambilan lemak yang minimum adalah perlu. Purata lelaki yang kalori seharian 1800-2200 kcal dan wanita 1500-1800kcal, pengambilan lemak yang disarankan adalah 25 ke 30 peratus daripada total kalori seharian. Namun ia berbeza mengikut individu berdasarkan berat badan.

3. Makan banyak karbohidrat sebabkan gemuk

Karbohidrat adalah sumber utama tenaga. Pecahan karbohidrat yang kompleks akan menjadi glukos yang menjadi sumber utama untuk badan melakukan pergerakan.

Karbohidrat akan menyebabkan kegemukan sekiranya diambil melebihi kuantiti yang sepatutnya. Purata daripada kalori seharian lelaki (2200kcal), 50 peratus adalah daripada karbohidrat, bersamaan 275 gram (g) iaitu lebih kurang empat hidangan makan nasi/mee/kuay teow.

4. Melewatkan sarapan boleh turunkan berat badan

Melewatkan sarapan hanya akan mengundang penyakit iaitu gastrik malah sekiranya melewatkan sarapan, seseorang cenderung untuk mengambil kuantiti yang banyak semasa makan tengah hari melebihi kuantiti yang sepatutnya.

5. Tak perlu diet jika berat badan ideal

Fahamkan semula erti diet. Sekiranya berat badan sudah ideal, masih perlu mengawal kuantiti dan kualiti makanan untuk kekalkan berat badan dan untuk menjamin kesihatan badan dalam jangka masa panjang.

Kesilapan masyarakat adalah disebabkan berat badan sudah ideal, lalu individu itu tidak mengawal pemakanan kerana berat sudah cantik. Perlu diingatkan, kebanyakan individu begini tahap kolesterolnya tinggi kerana difikirkan tidak perlu mengawal kuantiti dan kualiti makanan. Ini hanya terjadi sekiranya individu itu banyak makan makanan tinggi lemak.

Pemakanan tidak dapat lari dengan aktiviti fizikal seperti senaman. Diet ikut-ikutan (fad diet) seperti diet tanpa karbohidrat, tanpa lemak hanya boleh diamalkan dengan pemantauan pegawai kesihatan pakar pemakanan atau doktor dan mestilah diamalkan dengan bertujuan.

Contoh pengambilan ketogenik diet (diet tinggi lemak, rendah karbohidrat) untuk penurunan berat badan dengan tujuan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 5:30 AM