NOR Maziah ikut rentak perniagaan kini dengan kuasai penggunaan
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


PERNAH berada di puncak hingga berjaya membuka lima cawangan kedai termasuk butik dan restoran sebelum dilanda ujian hebat hingga terpaksa menutupnya satu demi satu membuatkan wanita ini tersentak daripada lamunan.

Ketika itu semuanya seakan-akan gelap, tidak ada arah tuju dan terlalu kecewa apabila perniagaan diusahakan sekian lama berakhir dengan kegagalan.

Anak kelahiran Hulu Terengganu ini seolah-olah tidak lagi mampu melangkah. Komitmen bulanannya hampir tidak mampu diselesaikan, dalam keadaan terduduk, wanita ini cuba bangkit daripada kegagalannya itu.

Membuka bicara, Nor Maziah Deraman, 40, tidak malu berkongsi kisah pilunya yang sentiasa segar di ingatan.

Menurut Nor Maziah, dunia perniagaan sangat sebati dengan diri apatah lagi dia sememangnya dilahirkan dalam keluarga yang terbabit dalam perniagaan.

“Semua ahli keluarga berniaga dan saya sudah mengenali dunia perniagaan sejak kecil. Saya sendiri mula berniaga sejak 20 tahun lalu walaupun ketika itu mempunyai pekerjaan tetap sebagai juruteknik.

“Atas faktor mahu fokus, saya membuat keputusan berhenti bekerja pada 2008 untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan fesyen kerana pada pendapat saya permintaan untuk dunia fesyen tidak pernah luntur.

“Syukur semuanya berjalan lancar, selain berasaskan fesyen, saya juga membuka restoran ketika itu bagi mengembangkan cawangan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah cuba mengendalikan perniagaan sebaik mungkin, dia terpaksa akur saingan sengit dan ledakan perniagaan dalam talian selain lokasi kedai tidak strategik membuatkan perjalanan perniagaannya semakin perlahan.

“Saya semakin hilang arah ketika itu, bayangkan saya perlu membayar sewa lima kedai, gaji pekerja selain pelbagai komitmen lain tetapi hasil jualan sangat tidak memberangsangkan.

“Pelanggan semakin berkurangan kerana lebih mudah membeli secara dalam talian tanpa perlu ke butik dan ia membuatkan perniagaan saya semakin teruk. Tidak ada pilihan lain dan saya terpaksa memikirkan jalan penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan perniagaan,” katanya.

Katanya, walaupun sudah sebati dengan asam garam perniagaan, dia akui sangat sukar untuk meneruskan perjalanan perniagaan sekiranya tidak ada jualan.

“Saya ambil masa beberapa bulan untuk memikirkan jalan terbaik yang boleh dilakukan. Pada masa sama, saya gunakan masa itu untuk mencari kelemahan diri dan cuba merangka strategi perniagaan baharu.

“Sangat buntu apabila kita semakin rugi hari demi hari, ketika itu hanya air mata menjadi peneman setia terutama apabila memikirkan arah tuju perniagaan ini, apa yang saya nampak cuma kegagalan dan kerugian ketika itu,” katanya.


BERBINCANG bersama individu yang membantunya, Sharifuddin.

SINAR BAHARU KEHIDUPAN

Ternyata wanita ini sangat tabah dalam berdepan dugaan. Dia tidak mahu terus mengalah dan menyerahkan semuanya kepada takdir. Nor Maziah cuba berusaha mencari rentak baharu dalam meneruskan perjuangan perniagaannya.

“Saya sangat bersyukur apabila bertemu insan yang sangat membantu iaitu Sharifuddin Muda dan kini saya menganggapnya sebagai sifu. Walaupun pengalaman saya hampir 20 tahun dalam bidang ini, saya tetap perlu berguru.

“Pelbagai strategi baharu dirangka dan saya terpaksa menutup butik sebelum menjalankan perniagaan baharu. Kini saya tidak lagi meneruskan perniagaan lama dan menumpukan perniagaan kasut yang dijalankan secara dalam talian atas jenama Ariemaz,” katanya.

Menurutnya, walaupun sukar pada hakikatnya untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian yang memerlukannya mahir dalam penggunaan laman sosial, dia tidak sesekali putus asa.

“Saya sudah agak berusia namun perlu cuba mengikut rentak perniagaan kini. Jika dulu saya tidak boleh melakukan jualan secara langsung di dalam Facebook, kini saya sudah boleh lakukannya.

“Ia satu pencapaian membanggakan bagi diri sendiri kerana secara perlahan-lahan semakin mahir dengan perniagaan dalam talian,” katanya yang tetap menjalankan perniagaan di dua kedainya di Terengganu.

Nor Maziah berkata, selepas melalui satu persatu ujian, dia semakin matang dalam bertindak dan merangka strategi perniagaan.

“Bidang ini sangat memerlukan ilmu dan perancangan tepat, tidak semestinya anda sudah lama berniaga anda sudah tahu segalanya. Jangan sesekali malu berguru walaupun dengan individu yang lebih muda kerana ilmu itu luas.

“Kini semuanya semakin menunjukkan perubahan positif, perniagaan juga sudah kembali bernafas dan saya sangat gembira dengan perkembangan ini. Apa yang saya lalui sangat perit namun saya cari kekuatan demi memastikan apa yang saya usahakan selama ini tidak berakhir begitu saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:00 AM