IBU perlu tahu risiko kelahiran bayi masing-masing.
Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my

PERDEBATAN mengenai kelahiran anak secara normal atau caesarean tidak pernah luput, khususnya di media sosial. Hal ini wujud berikutan sikap sesetengah ibu yang keterlaluan berbangga diri dengan kebolehannya melahirkan anak secara normal.

Kesannya, ramai ibu yang melalui saat mencemaskan di bilik pembedahan berkecil hati. Bahkan ada yang melempar komen seolah-oleh wanita yang melahirkan bayi menerusi pembedahan caesarean gagal memenuhi kriteria wajib untuk menjadi seorang ibu.

Anehnya topik sama diungkit saban tahun. Setiap kali berlaku, pergeseran timbul di celah pendapat ramai. Situasi bertambah hangat apabila tibanya April, Bulan Kesedaran Caesarean Sedunia.

Jika diteliti, banyak fakta menjelaskan kaedah bersalin secara normal adalah jauh lebih selamat berbanding pembedahan caesarean. Namun, bukan semua ibu berpeluang melahirkan bayi secara normal atas beberapa faktor.

Dalam sesetengah kes, pembedahan caesarean diperlukan untuk menyelamatkan nyawa ibu atau bayi. Ini bermakna, kelahiran caesarean juga masih boleh diklasifikasikan sebagai pilihan paling selamat, bergantung kepada situasi.

Kata Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Dr Patricia Lim Su-Lyn, caesarean adalah prosedur biasa dalam pembedahan untuk mengeluarkan bayi menerusi perut ibu. Sebagaimana pembedahan lain, ia juga terdedah kepada pelbagai risiko termasuk jangkitan kuman.

“Lazimnya, prosedur ia membabitkan pembedahan besar pada bahagian perut dan pelvis ibu yang hendak melahirkan. Sebab pembedahan dilakukan terhadap adalah berbeza mengikut penilaian doktor yang merawatnya.

“Ada kes kehamilan yang terpaksa dibedah berikutan masalah kesihatan ibu. Antaranya, ibu mempunyai penyakit darah tinggi atau kencing manis yang tidak terkawal, kedudukan uri di bawah (plasenta previa), ketinggian ibu yang terlalu rendah dan saiz tulang pinggul kecil.

“Sebab lain yang kerap dibicarakan adalah berkait dengan sejarah kelahiran bayi terdahulu. Bagi ibu yang sudah melalui pembedahan caesarean sebanyak dua kali, dia tidak dibenarkan bersalin secara semula jadi atas faktor peningkatan risiko. Bagaimanapun, ada juga sebilangan ibu yang memang sengaja memilih kelahiran melalui pembedahan atas sebab peribadi,” katanya.

Selain masalah kesihatan di pihak ibu, kata Dr Patricia, keperluan caesarean juga ditentukan keadaan bayi dalam kandungan. Misalnya, bayi berkenaan besar, dalam kedudukan songsang atau kembar.


BAYI lapan bulan itu menolak pagar tanpa disedari ibunya. FOTO Agensi

CAESAREAN ADA RISIKO

Perlu diingatkan caesarean adalah prosedur membabitkan pembedahan. Ia jauh berbeza dengan kelahiran normal yang dicetuskan menerusi tindak balas fisiologi tubuh manusia.

Kata Dr Patricia, terdapat banyak risiko kelahiran melalui pembedahan yang perlu diketahui ibu bapa sebelum tiba waktu mereka menyambut bayi.

1. Sakit

Berbanding kelahiran normal, ibu yang menjalani pembedahan caesarean terpaksa melalui tempoh kesakitan lebih panjang dengan penjagaan rumit. Mereka tidak dibenarkan melakukan kerja berat atau mengangkat sebarang beban sekurang-kurangnya enam minggu pertama selepas kelahiran.

Berbeza dengan ibu yang melahirkan secara normal, mereka biasanya pulih dalam jangka masa lebih singkat iaitu dua hingga empat minggu sahaja.

2. Jangkitan kuman

Semua pembedahan berisiko mengalami jangkitan kuman berikutan proses yang berlaku sepanjang prosedur dijalankan. Penjagaan yang teliti sepanjang tempoh pemulihan sangat diperlukan.

Sebelum pembedahan, ibu akan diberi satu dos antibiotik untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan. Bagaimanapun, masih ada peratusan kecil yang mendapat jangkitan selepas pembedahan.

Boleh jadi, jangkitan berlaku di bahagian luka, lapisan uterus atau salur kencing. Kesan kemerahan pada luka pembedahan, berair atau sakit berpanjangan menandakan berlakunya jangkitan kuman.

Jangkitan pada lapisan uterus pula boleh berlaku jika air ketuban pecah lama sebelum sakit untuk bersalin. Ia juga tidak mustahil terjadi ibu menjalani banyak pemeriksaan faraj sebelum pembedahan.

Jangkitan salur kencing pula boleh terjadi berikutan pemasangan tiub nipis ke dalam salur kencing untuk mengosongkan pundi kencing.

3. Darah beku

Apa saja pembedahan memang meningkatkan risiko berlakunya darah beku. Hal ini boleh jadi lebih teruk bergantung kepada di mana pembekuan darah berlaku. Salah satu keadaan yang selalu disebut adalah trombosit vena dalam (DVT). Ia terjadi apabila terdapat gumpalan darah di pembuluh darah vena.

Ketika hamil, aliran darah wanita mengalir perlahan disebabkan faktor hormon. Jadi, jika ibu hamil tidak bergerak dalam tempoh lama atau kekurangan air, pengaliran darah akan jadi bertambah lambat.

DVT boleh dikesan jika wanita mengadu sakit dan bengkak kemerahan pada sebelah kaki saja. Namun, ada juga yang tidak menunjukkan sebarang tanda dan mangsa meninggal dunia secara mengejut.

Kelompok paling berisiko adalah mereka yang ada faktor genetik atau sejarah darah beku. Mereka ini perlu diberi suntikan heparin berat molekul yang rendah (LMWH) untuk membantu mencairkan darah sewaktu hamil.

Bagi wanita biasa yang tidak mempunyai faktor genetik tetapi diketahui berisiko, doktor akan mencadangkan pemakaian stoking thromboembolic deterrent (TED). Ia adalah stoking khas untuk mengelakkan pembentukan darah beku pada kaki.

4. Lekatan

Caesarean berisiko menyebabkan lekatan semasa proses penyembuhan. Ia berasal dari kelompok tisu parut yang boleh menyebabkan organ abdomen melekat sesama sendiri atau pada bahagian dinding perut.

Bagi wanita yang mempunyai sejarah caesarean, kelahiran seterusnya mungkin berisiko mengalami uri melekat pada dinding rahim (plasenta akreta). Sekiranya ini terjadi, pakar bedah mungkin terpaksa membuang rahim selepas ibu selamat melahirkan. Ini bertujuan mengurangkan pendarahan kritikal pada ibu.

Apapun, kira-kira separuh wanita yang menjalani caesarean mengalami lekatan. Keadaan ini boleh jadi menyakitkan kerana ia mengehadkan pergerakan organ dalaman.

5. Pembiusan

Pembedahan caesarean biasanya dilakukan dengan bantuan suntikan epidural untuk mengebaskan perut. Walaupun dikategorikan selamat untuk ibu dan bayi, masih ada risiko yang perlu dipertimbangkan.

Ibu yang alah kepada bius mungkin memberi reaksi berbeza dengan mereka yang normal. Begitu juga ibu yang terpaksa diberikan bius penuh (pembiusan am). Mereka mungkin muntah sebaik sedar atau mengalami sakit kepala.

Selain faktor risiko, Dr Patricia juga mengingatkan wanita mengenai komplikasi yang mungkin berlaku kesan pembedahan caesarean. Biarpun ia jarang terjadi, mereka ibu dinasihatkan lebih berwaspada.

“Perkara pertama yang selalu kita ingatkan adalah mengenai DVT, kemungkinan uri melekat pada dinding rahim, uterus pecah, jangkitan kuman, kesan bius dan keadaan bayi sebaik dilahirkan.

“Semua ini kedengaran hampir sama dengan risiko yang disebutkan di atas. Namun bagi perbezaan keadaan bayi, ia biasanya membabitkan kelahiran usia sebelum 29 minggu.

“Jika kelahiran berlaku dalam usia kandungan tidak cukup bulan ini, bayi mungkin mengalami sesak nafas untuk sementara. Ia berlaku kerana keadaan paru-paru yang masih basah. Selebihnya, saya cadangkan supaya ibu berbincang sendiri dengan doktor yang merawat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:30 AM