RUANG Centre Court pusat beli-belah The Curve menjadi taman permainan kanak-kanak dengan mainan berisi angin Sesame Street.
HM Digital
am@hmetro.com.my


MANA-MANA kanak-kanak pun pasti teruja saat bertemu watak Sesame Street yang mewarnai dunia si kecil sejak 50 tahun lalu. Bersempena ulang tahunnya, karakter utama Sesame Street seperti Elmo, Cookie Monster, Bert dan Erni meluangkan masa bertemu peminatnya pada musim cuti sekolah lalu.

Ruang Centre Court pusat beli-belah The Curve ceria apabila ia dijadikan menjadi taman permainan kanak-kanak dengan mainan berisi angin Sesame Street. Mereka boleh melompat sepuas hati selain dapat beramah mesra dengan empat watak berkenaan.

Pelbagai stesen aktiviti akan disediakan untuk pilihan kanak-kanak berdasarkan minat mereka, seperti stesen mewarna, teka-teki carian perkataan dan misi memburu harta karun. Pengunjung muda dan mereka berjiwa muda turut dapat menyaksikan persembahan tarian istimewa.

Selain berseronok, kunjungan ke pusat beli-belah yang menawarkan aktiviti kreatif seperti ini secara tidak langsung membuka ruang ibu bapa menghabiskan masa berkualiti dengan anak. Malah ia juga boleh menjadi saat berharga untuk seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:30 AM