JURU solek, Siti Murzianawaty (kanan) bersama model yang telah siap dengan solekan menutup lingkaran gelap bawah mata. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

LINGKARAN hitam bawah mata atau kantung mata antara masalah menghantui wanita yang mementingkan penampilan diri. Ia bukan saja membuatkan wajah nampak tidak bermaya, malah kelihatan lebih tua daripada usia.

Lingkaran hitam ini terjadi apabila kekurangan darah atau kurang tidur selain tekanan. Justeru, wajah tampak pucat dan muncul lingkaran gelap di sekeliling mata.

Walaupun masalah lingkaran hitam bawah mata mahupun kantung mata sering dikaitkan dengan masalah penuaan, kini ramai remaja atau wanita muda yang belum menginjak usia 40-an tetap menghadapi masalah ini.

Ini mungkin disebabkan pelbagai faktor antaranya gaya hidup, pemakanan dan kekurangan nutrien yang diperlukan untuk mengekalkan keremajaan kulit wajah mahupun kesihatan mata.

Pada zaman serba moden ini, ramai wanita muda berkerjaya yang sibuk perlu berdepan waktu kerja yang lebih panjang, selain pemakanan tidak seimbang yang menambahkan lagi masalah ini.

Justeru, amalan gaya hidup sihat dan teknik solekan mampu membantu wanita mengatasi masalah lingkaran hitam bawah mata supaya tampil segar serta bertenaga tanpa suntikan botoks.

Jurusolek Siti Murzianawaty Mohd Kusairry (@sitiekusairrymakeup) berkata, menyolek wajah dengan teknik yang betul dan pemilihan yang sesuai boleh membantu membangkitkan keremajaan wajah serta paling utama mengurangkan kesan kantung mata.

Katanya, ramai pelanggan terutama wanita muda yang belum pun menginjak usia 30 tahun menghadapi masalah lingkaran hitam bawah mata, kantung mata dan garis halus di sekitar mata.

“Bagi wanita bermasalah seperti ini, sebelum memulakan solekan, sapukan serum di sekitar mata yang bermasalah. Selain itu, penggunaan krim khas (corrector) untuk masalah kantung mata amat penting bagi menghilangkan lebam bawah mata. Pilih warna seperti jingga atau tona kemerahan,” katanya.

Menurutnya, alas bedak atau penyamar noda tidak mampu menutup kesan lebam atau gelap bawah mata, sebaliknya corrector mampu memberi kesan maksimum untuk mata kelihatan segar.

Sapukan alas bedak secara tipis dan diratakan sebelum menggunakan penyamar noda.

“Kita mahu kulit nampak bersinar dari dalam, bukannya berkilat dan berminyak. Untuk kesan begini, sapukan bedak tabur di atas tulang pipi, tulang alis dan bahagian tengah hidung sebelum merapikannya.

“Selepas itu, gunakan pensel mata atau berus kening dan bentukkan kening mengikut kesesuaian bentuk wajah. Untuk kelihatan muda dan lebih lembut, pastikan warna pensel mata tidak terlalu gelap, Warna coklat gelap pilihan terbaik,” katanya.

Sapukan pembayang mata pada bahagian kelopak. Pilihan warna untuk tampak muda dan segar adalah warna cerah. Elakkan warna gelap kerana ia akan menampakkan wajah lebih garang atau tua daripada usia.

Kemaskan bahagian bulu mata menggunakan maskara. Gunakan celak mata di bahagian dalam dan luar alis kelopak mata. Sapukan gincu mengikut bentuk bibir menggunakan warna bersesuaian sekiranya memilih warna lembut.

Siti Murzianawaty menunjukkan teknik dan langkah solekan bagi melindungi lingkaran gelap bawah mata untuk tampil segar dan berseri.

LANGKAH DEMI LANGKAH


(DARI krir) 1. Wajah sebelum disolek. 2. Sapukan corrector di sekitar mata dan kawasan gelap sekitar wajah.

(DARI kiri) 3. Ratakan alas bedak di sekitar wajah sebelum menyapu penyamar noda di bahagian menonjol pada wajah. 4. Lakukan teknik bayangan di bahagian hidung dan tulang pipi.

(DARI kiri) 5. Sapukan pembayang mata warna cerah diikuti celak mata dan maskara. 6. Sapukan bedak tabur.

7. OLES gincu warna lembut untuk wajah kelihatan segar.

KUALA LUMPUR 01 APRIL 2019. Model yang telah siap dengan solekan menutup lingkaran gelap bawah mata. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 4:30 AM