ELFAEZA rasa lebih tenang apabila bantu orang dan jadi salah satu terapi diri.
Muhammad Aqashah Ghazali
am@hmetro.com.my


SEBAGAI manusia, kita sering memandang remeh terhadap kebanyakan nikmat yang kita rasai hari ini. Tempat perlindungan, pakaian, makanan bahkan air adalah rezeki yang perlu disyukuri manusia sejagat kerana tanpa kemudahan ini, tidak lengkaplah kehidupan seseorang manusia.

Namun bukan semua orang mampu menikmati limpahan rahmat Allah atas faktor tertentu. Apatah lagi, mereka seakan-akan terkontang-kanting mencari erti hidup dalam meneruskan perjalanan di dunia.

Menyedari keperitan dihadapi golongan rentan di ufuk negara lain, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM), Elfaeza Ul Haq, terbuka hati untuk berkongsi kisahnya yang kini bergiat aktif dalam dunia kemanusiaan agar orang ramai lebih cakna atau peka dengan isu kemanusiaan di peringkat global.

“Sebenarnya apabila saya melihat pelopor dari negara Barat melakukan kerja kemanusiaan terhadap persekitaran kita, ia menyemarakkan semangat saya untuk turut melakukan perkara sama. Apatah lagi mereka bukan beragama Islam namun boleh mengendalikan kerja kemanusiaan dalam skala yang begitu besar. Jadi sebagai seorang Muslim, saya percaya kita lebih dituntut untuk melakukannya.

Disoal mengenai langkah pertamanya dalam kerja sosial, Elfaeza tegas menyatakan kehadirannya dalam bidang ini juga adalah untuk dirinya sendiri.

“Mengikut pengalaman menerusi misi yang pernah disertai, jujurnya saya bukan saja ingin membantu orang lain, namun ia lebih kepada terapi diri. Apabila bantu orang, saya rasa tenang kerana kita tidak fikir kekurangan diri kerana lebih banyak manusia lain menghadapi tekanan hidup yang berat,” katanya.

Elfaeza turut berpendapat dengan usaha murni yang dilakukan ini, dia hanya mengharapkan keredaan Allah SWT atas kekhilafannya yang lalu.

ELFAEZA berusaha menyantuni penerima manfaat di Somalia.

Mula hargai nikmat

Sekembalinya daripada misi kemanusiaan di Sepanyol yang bertungkus-lumus mengumpulkan dana bagi pembinaan masjid, ia seolah-olah membuka minda Elfaeza seluas-luasnya untuk mensyukuri nikmat yang ada

di Malaysia.

“Ketika berada di sana barulah saya sedar kita sebenarnya mengambil ringan terhadap kemudahan tempat berwuduk dan bersuci, bahkan masjid dan surau ada di semua tempat. Kemudahan ini mungkin nampak kecil namun kita lupa sebenarnya di sini kita ada keselesaan dan kebebasan untuk beribadah.

“Lagi buruk apabila kita sering melambat-lambatkan solat, lambatkan niat untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Mereka semua golongan yang susah tetapi macam-macam usaha dilakukan untuk dekatkan diri kepada Tuhan dan kebanyakannya adalah hafiz al-Quran.

“Mereka terpaksa berpisah jauh dari keluarga dan belajar di luar negara untuk mempelajari Islam sedangkan semua itu ada di hadapan mata kita. Sebagai orang Islam, saya sangat malu.

“Saya pernah bertemu seorang lelaki kulit putih yang sudah lebih 10 tahun memeluk Islam dan kini dia lantang bersuara mengenai Islam. Lebih mengagumkan, dia boleh berbahasa Arab dan hafal surah al-Quran sedangkan saya yang dilahirkan Islam tidak belajar bahasa Arab untuk mendalami kalam Allah.

“Bayangkan mat salih yang berambut warna perang boleh menguasai bahasa Arab dalam tempoh 10 tahun tapi saya masih merangkak-rangkak,” kata.

Kutip pengalaman di Gambia

Sepanjang pembabitannya dalam dunia kemanusiaan, Elfaeza turut terkesan dengan pengalamannya ketika mengikuti misi di Gambia. Berbeza dengan landskap Malaysia dari pelbagai sudut, masyarakat di Gambia hidup dalam kesusahan dan tahap kemiskinan mereka jauh lebih besar daripada kita.

“Di Gambia, saya melihat sendiri keadaan kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan dengan faktor cuaca serta landskap yang sangat berbeza. Kalau di Malaysia, cuaca panas sedikit pun kita sudah merungut! Tapi di sana, mereka hidup keadaan berpasir, berdebu dan kering.

“Walaupun berpakaian dan berkasut, seluar mereka akan dipenuhi dengan pasir dan muka pula sentiasa berdebu. Bayangkan keluar saja dari rumah, seluruh anggota badan akan dipenuhi debu! Itulah keadaannya setiap hari. Ia benar-benar memberi kesan kepada saya,” katanya.

Menurutnya, menerusi pengalaman itulah yang mematangkan pemikirannya untuk terus bersyukur dengan nikmat yang ada meskipun sedikit seperti bekalan elektrik, air, makanan, tempat perlindungan, kemudahan pendidikan dan keluarga tersayang.

Namun dalam setiap misi pasti ada cabaran yang terpaksa ditempuhi. Sepanjang berada di Gambia, Elfaeza menjelaskan dia ditempatkan di tengah-tengah orang kampung sehingga satu persatu hadir untuk meminta bantuan dan memberitahu masalah yang mereka alami.

“Sejujurnya, saya rasa sangat sedih. Saya rasa kosong dan tidak berdaya kerana tidak punya apa-apa untuk membantu mereka. Saya hanya mampu mendengar rintihan yang mereka lontarkan. Tangan saya ibaratnya terikat dan tidak boleh menghulurkan bantuan langsung.

“Saat itulah saya belajar sesuatu bahawa kita semua sebenarnya manusia yang lemah walaupun niat ingin membantu membuak-buak, tapi ia terbatas atas faktor yang tidak boleh dielakkan.

“Saya tahu ramai orang mahu menyertai misi kemanusiaan tapi apakah caranya jika kita tidak punya apa-apa untuk meringankan beban mereka? Dalam masa satu hari pertemuan, bagaimana kita boleh meringankan beban yang mereka tanggung berbulan-bulan lamanya? Jika sendirian, kita tidak mungkin dapat membantu mereka. Oleh itu, kita perlu bersama-sama berkongsi kesenangan yang kita ada,” katanya.

BERSAMA Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin (dua dari kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak Somalia.

Pada masa sama, Elfaeza turut menggalakkan orang ramai untuk terus berbakti kepada golongan rentan menerusi apa jua bentuk bantuan yang termampu baik dari segi wang ringgit mahupun tenaga.

“Pada saya, berikan bantuan walaupun sedikit. Pada saya, lebih baik jika kita dapat membantu secara kerap walaupun sedikit daripada memberi dalam kuantiti besar tetapi cuma sesekali.

“Kita juga perlu sedar dan bersyukur kerana Allah memberi peluang ini untuk kita menjadi pengantara dan orang tengah dalam menyantuni golongan yang susah. Moga-moga inilah antara bekal yang boleh kita bawa apabila pulang mengadap yang Maha Esa,” katanya.

Penulis adalah pembaca Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:00 AM