Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


BAGI remaja yang baru mengenali dunia solekan pastinya akan melihat satu transformasi wajah yang indah daripada biasa kepada lebih anggun dan menawan apabila mengenakan alat solek.

Mereka juga bijak membuat rujukan terutama menerusi video tutorial di YouTube, media sosial atau majalah untuk mencari teknik solekan bersesuaian dengan personaliti dan suai supaya dapat menyerlahkan penampilan yang ceria.

Sebagai remaja, penting untuk memperlihatkan gaya keanak-anakan dan manja dalam penampilan harian. Solekan yang terlalu tebal membuat mereka kelihatan tua daripada usia sebenar.

Atas faktor itu, peranan kuasa solekan amat penting bagi memastikan gaya terhasil itu seiring dengan usia remaja sebenar.

Apa yang utama adalah ringkas, namun manis dipandang kerana solekan yang sarat dengan penggunaan rona sememangnya tidak sesuai untuk golongan terbabit.

Berkongsi teknik untuk menghasilkan solekan remaja, jurusolek profesional, Emelia Roslan berkata, bukanlah sesuatu yang aneh melihat remaja seawal usia 13 tahun mula bersolek.

“Senario itu jauh berbeza dengan zaman dulu yang rata-ratanya anak gadis langsung tidak tahu mengenai peralatan mekap apatah lagi boleh menyolek wajah sendiri.

“Hakikatnya, tiada salahnya remaja bersolek asalkan tidaklah terlalu tebal. Solekan matang dan tebal akan membuatkan mereka tampak tua daripada usia sebenar selain risiko untuk tersalah solek lebih besar,” katanya.

Berpengalaman dalam pelbagai bidang solekan lebih 10 tahun, Emelia menjelaskan, solekan perlu sesuai dengan acara dihadiri atau sekadar untuk keluar bersantai.

“Untuk majlis makan malam atau keraian, gunakan rona sedikit terang dan pekat untuk mata dan bibir.

“Bagi acara santai seperti menonton wayang atau sambutan hari lahir, pilih rona lembut seperti coklat kerana ia akan mengekalkan penampilan semula jadi yang tidak menghilangkan seri remaja.

“Paling penting kekalkan bentuk mata dengan mengenakan rona seperti coklat, krim dan sedikit keemasan bagi menampilkan watak lebih muda dan manis,” katanya.

Katanya lagi, ramai terkeliru mengenai pemilihan bedak asas. Dalam peraturan solekan, bedak asas berfungsi menutup keseluruhan cela, sekali gus mengembalikan keceriaan. Untuk remaja, pilih rona bedak asas gabungan kuning langsat dan sawo matang kerana ia dapat mengembalikan penampilan remaja.

“Selepas bedak asas, lakukan sapuan menggunakan bedak kompak diikuti bedak debu bagi meratakan warna kulit. Pada peringkat ini kulit menjadi lebih sekata, halus dan mulus.

“Bagi yang mempunyai bekas jerawat, penggunaan penutup cela mampu melindungi kekurangan ini,” jelasnya.

Untuk pemerah pipi pula, Emelia berkata, pilih rona merah jambu yang digabungkan dengan coklat pudar.

“Sapu secara menaik dan membulat pada bahagian tulang pipi. Kemudian sempurnakan dengan gincu warna ceria yang akan memberikan gaya tersendiri pada acara yang akan dihadiri.

“Apa yang perlu diberikan penekanan dalam solekan remaja adalah kesederhanaan dalam pemilihan warna. Elakkan warna gelap atau garang,” ujarnya.

Walaupun ada berpendapat biarkan remaja mengekalkan keaslian kening, Emelia tetap menyarankan supaya mengemaskan kening supaya kesan solekan lebih memukau.

“Kemaskan namun janganlah bentuk keterlaluan kerana ia dapat menampakkan kematangan dalam solekan. Apa yang penting adalah kesederhanaan.

“Jika remaja itu langsung tidak tahu bersolek bolehlah mencuba secara perlahan-lahan dengan mempelajari daripada laman YouTube atau individu mahir,” katanya.

Emelia berkata, semua tip itu bukan hanya untuk remaja, namun boleh juga digunakan kepada wanita yang mahu menghasilkan solekan yang meremajakan wajah. Beliau turut berkongsi langkah demi langkah menghasilkan solekan remaja yang manis dipandang.

Langkah demi langkah


(DARI krir) 1. Wajah sebelum disolek. 2. Sapukan corrector di sekitar mata dan kawasan gelap sekitar wajah.

3. GUNAKAN penggaris mata bagi menampakkan mata yang lebih bundar, seterusnya maskara.

(DARI kiri) 4. Sapukan pembayang mata menggunakan rona lembut. 5. Sselesai bahagian mata, sapukan bedak asas diikuti bedak padat dengan sekata.

6. LAKUKAN teknik pembentukan wajah.

(DARI kiri) 7. Sapukan pemerah pipi dengan sederhana. 8. Oles gincu menggunakan rona ceria.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 4:30 AM
HASIL solekan remaja yang manis dipandang. FOTO Faiz Anuar