MENDAPAT bantuan anak bagi menyiram tanaman sayur-sayuran.
Siti Zarinah Sahib
sitzarinah@hmetro.com.my


MELIHAT tuaian sayur-sayuran yang diusahakan Harun Che Man, 47, di halaman rumahnya di Bahau, Negeri Sembilan memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja untuk memulakan aktiviti bercucuk tanam.

Sawi dan kubis dengan ukuran luar biasa berkali ganda saiznya berbanding yang dijual di pasar sudah tentu menimbulkan rasa teruja serta ingin tahu bagaimana Harun mendapat hasil tanaman ‘secantik’ ini.

Semua sayur-sayuran berukuran gergasi kelihatan segar, dengan daun menghijau lebar dan besar sudah tentu mencukupi untuk dijadikan juadah harian bagi sebuah keluarga kecil.

Menurut Harun, dia mula berkebun sejak tiga tahun lalu sekadar ingin memenuhi masa terluang. Dia yang tinggal di kawasan perumahan teres dengan halaman yang terhad mula memikirkan kaedah sesuai agar dapat menanam beberapa jenis tanaman mengikut kesukaannya.

“Saya bukannya tidak minat berkebun tetapi halaman rumah sangat kecil. Jadi saya pendamkan seketika hobi ini sehingga satu hari saya terasa rindu untuk bercucuk tanam. Jadi di sinilah ia bermula,” ujarnya.

Bermula dengan modal di bawah RM100, Harun membeli beg poli, tanah, bekas semaian, biji benih dan baja dari nurseri. Apabila pulang ke rumah dia memulakan tanaman pertama iaitu sawi dan kailan kerana dua jenis sayuran hijau ini mudah dijaga serta enak dimakan.


CILI yang ditanam di halaman rumah.

“Saya menyediakan batas kecil kemudian menabur biji benih di atasnya. Alhamdulillah sawi saya mulai membesar dan boleh dipetik apabila sudah matang. Ia cukup menyeronokkan dan ini menambah keazaman saya untuk mula menanam biji benih berbeza,” katanya.

Menggunakan baja organik sepenuhnya tanpa bahan kimia, Harun menghasilkan sendiri baja ini menggunakan lebihan najis kambing dan ayam bersama tanah sawit.

“Selain itu saya turut menggunakan larutan mol (mikro organisme tempatan) sebagai penggalak tanaman yang terhasil daripada peraman sisa dapur seperti sayuran, ikan dan buah-buahan yang dicampur gula merah. Apabila bahan-bahan diperam ia akan menghasilkan baja yang sesuai untuk tanam-tanaman.

“Saya turut menggunakan pelbagai jenis mol antaranya kulit kerang dan pisang bersama larutan mikro organisme yang saya hasilkan sendiri,” katanya.

Setakat ini Harun tidak mengalami sebarang masalah berkaitan tanam-tanamannya termasuk serangan serangga dan ulat hasil penggunaan baja organik ini.

Ini mungkin disebabkan penggunaan baja organik dan larutan mikro organisme menjadikan sayur-sayuran lebih sihat dan imun terhadap serangan penyakit serta tahan pada cuaca yang terik.

“Kebiasaannya saya menyiram sayur-sayuran dua kali sehari iaitu selepas solat Subuh dan pada jam 6 petang manakala aktiviti membaja dilakukan seminggu sekali,” katanya.

Selain kubis, kailan dan sawi, Harun turut menanam brokoli, halia, pegaga, ulam raja dan kunyit yang sering dipetik untuk kegunaan harian.

Sejak berkebun Harun mengakui dia tidak lagi membeli sayur-sayuran dan tumbuhan herba di pasar sebaliknya hanya memetik di halaman rumah untuk kegunaan harian. Sekurang-kurang ia dapat menjimatkan bajet keperluan rumah dan menggalakkan anak makan sayur.

“Sayuran saya juga bebas bahan kimia dan racun perosak jadi kebersihannya terpelihara,” katanya lagi.


SIAPA yang tidak teruja melihat tanaman sebegini subur dan segar?

Mengakui apa juga dilakukan memerlukan kesabaran dan disiplin terutama apabila perlu konsisten menyiram dan membaja semua semaian benih. Pokok juga perlu dibelai dan diberikan perhatian supaya ia tidak ‘merajuk’. Bagi yang tiada pengalaman namun ingin mencuba mereka boleh mendapatkan maklumat menerusi Internet serta bertanya kepada individu yang mempunyai kepakaran dalam tanaman.

Mendapat sokongan keluarga terutama anak, Nurfatihah dan Nurfarzanah yang rajin membantu menyiram dan memetik sayur-sayuran. Bagi Harun, anak turut terdidik untuk meminati aktiviti berkebun.

“Jika tiada pengalaman bertanya kepada yang lebih arif. Jangan malu,” katanya yang turut mengakui setiap kali memetik kubis dan sawi ada rasa sedih kerana selama ini sayur-sayuran ini menjadi santapan mata dia dan anak-anak pada setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 4:30 AM